webnovel

Perkara Ini Tidak Berapa Normal!

Editor: EndlessFantasy Translation

Lagipun, dia sudah menghantar seorang pensyarah ke hospital, tidak ada banyak bezanya untuk menghantar seorang lagi!

Jadi dia membuat keputusan untuk meneruskan rancangannya tanpa menghiraukan akibatnya. Pensyarah Inggeris Smith ini akan dihantar ke hospital juga! Keazaman dan...niat membunuh memancar dari mata Bulu Lembut...

"Senior Song, Pensyarah Smith awak tu orang asingkah? Rupanya macam mana ya?" Bulu Lembut berpura-pura ingin tahu dan bertanya.

"Oh, lelaki tu? Dia seorang yang ketinggalan zaman. Tapi, sebenarnya dia boleh mengajar dengan bagus." Song Shuhang ketawa dan dengan bersahaja mengklik nama Smith dalam mesej itu.

Selepas itu, terpapar gambar seorang lelaki Inggeris yang berwajah tegas dan kaku dengan rambut yang disikat rapi.

Kampus Bandar Kolej Jiangnan ada pangkalan data yang bebas. Asalkan seseorang itu ada hak yang mencukupi, mereka boleh mencari semua maklumat tentang pelajar dan pensyarah.

"Rupanya kelihatan garang, dia tinggal di apartmen guru juga?" Bulu Lembut bertanya dengan gementar.

"Ya." Song Shuhang ini memang tidak banyak berfikir? Dia hanya mengangguk dan meneruskan mengisi data kad ID Bulu Lembut untuk pendaftaran dan membeli tiket.

Bulu Lembut senyum malu-malu sebelum sembunyi-sembunyi kembali ke balkoni dan memakai alat sihir, 'Naik ke Aras yang Lebih Tinggi, Jika Ingin Memandang Lebih Jauh'.

Sebentar kemudian, dia menemui sasarannya, Professor Smith, yang sedang membawa anjing berjalan di tepi sungai dalam kawasan kampus.

'Peliknya, ada angin sejuk bertiup tadi ke?' Tiba-tiba, orang Inggeris tua yang tegas ini terasa angin sejuk yang aneh lalu menarik kolarnya dengan rasa bingung.

'Maaf, saya betul-betul minta maaf. Sama saja dengan Cikgu Renshui, selepas semua perkara selesai, saya akan memberi pampasan kepada awak.' Bulu Lembut sekali lagi bergumam setengah hari sebelum kedua-dua tangannya menggelek kertas Azimat Emas itu.

Kampus, tepi sungai...

Profesor Inggeris yang tegas merasa keadaannya tidak begitu bagus hari ini dan membuat keputusan untuk kembali ke tempat kediamannya. "Haimu, jom balik. Masa sudah sampai, saya perlu sediakan bahan untuk kelas esok."

Selepas bercakap, Profesor Smith menarik tali cawak anjingnya.

"Wuu.. wuu!" Pada masa itu, anjing peliharaan yang asalnya jinak tiba-tiba melolong dan matanya bertukar merah.

Profesor Smith mengerutkan mukanya dan menarik tali cawak dengan lebih kuat lagi.

"Woof!" Anjing peliharaan itu mengikuti daya tarikan cawak kali ini, tetapi dengan mata merahnya anjing itu terus menerkam tuannya! Dengan mulutnya yang terbuka luas, anjing itu menuju ke arah betis kurus lelaki Inggeris itu, dan terus menggigit dengan ganas.

"Oh no! Help! Help me!" Perkataan Inggeris kedengaran di tepi sungai akibat pekikan sengsara Profesor Smith.

❄️❄️❄️

Lima belas minit kemudian.

Hospital bergabungan Kolej Jiangnan, wad untuk dua orang.

Cikgu Renshui terlantar di katil dengan kedua-dua kakinya tergantung di udara, posisi yang amat memalukan. Isterinya mendukung anak mereka dengan wajah seseorang yang tidak tahu sama ada hendak menangis atau ketawa.

Pada masa yang sama, pintu terbuka dan seorang lelaki tua Inggeris yang tegas ditolak masuk ke dalam wad.

"Eh? Profesor Smith? Bukankanh awak menggantikan saya petang esok? Apa yang telah berlaku?" Cikgu Renshui bertanya dengan terkejut.

"Saya...telah digigit oleh Haimu. Tsk, anjing yang dipelihara oleh saya. Doktor cakap gigitannya terlalu ganas sehingga mencederakan tulang, oleh itu saya perlu dimasukkan ke dalam hospital. Tsk, saya akan menyembelihnya dan masak stew selepas saya keluar hospital esok! Ss..." Lelaki tua Inggeris itu menjawab dalam bahasa Mandarin, dengan sebutan yang jelas dan tepat, walaupun dalam keadaan marah.

Jelas sekali, perasaan lelaki tua Inggeris yang tegas itu dilukai oleh anjing peliharaannya, memang anjing yang tidak tahu mengenang budi. Dengan gigitan yang begitu kuat, memang hampir membunuhnya! 'Stew! Pasti akan dijadikan stew!'

"..." Cikgu Renshui merasa kejadian hari ini memang tidak berapa normal!

❄️❄️❄️

Sementara itu, Song Shuhang sudah menempah tiket kereta api untuk Bulu Lembut.

Ketika itu, satu lagi mesej terpapar daripada akaun dalam rangkaian kampus.

"Sila beri perhatian, pelajar Kursus Kejuruteraan Mekanik Kumpulan 19, Kelas 43, Fakulti Rekabentuk Mekanikal dan Pembuatan: Profesor Smith juga tercedera dan dimasukkan ke dalam hospital. Oleh itu, kelas Inggeris kolej petang esok akan dibatalkan. Pelajar daripada Kumpulan 19, Kelas 43, Fakulti Rekabentuk Mekanikal dan Pembuatan akan berehat selama separuh hari. Para pelajar, sila sebarkan berita ini dan buat persediaan yang sewajarnya! Terima kasih."

Mesej pendek ini dihantar tiga kali seperti biasa.

Ia turut diaturkan untuk diulang setiap setengah jam, menutupi mesej yang sebelumnya.

"..." Apabila Song Shuhang membaca mesej pendek ini, dia merasa seperti sepuluh ribu kuda lumpur rumput menderap melintasinya hatinya.

Dia berpusing dan memandang wajah penuh senyuman Bulu Lembut yang kelihatan seperti bunga. Dia merasakan kejadian hari ini memang tidak berapa normal!

❄️❄️❄️

Akhirnya, Song Shuhang bersetuju untuk menemani Bulu Lembut ke Bandar J—sebab dia sudah tiada alasan untuk tidak berbuat begitu.

Dia memang tidak akan terfikir kedua-dua pensyarah akan dihantar ke hospital satu demi satu. Kebarangkalian kejadian ini berlaku memang sama dengan dengan peluang memenangi cabutan loteri, dan memikirkan mereka telah mengalaminya... Disebabkan pengalaman kedua-dua pensyarah yang tragis ini, dia ada masa kelapangan satu hari esok dan di bawah pandangan teruja Bulu Lembut, dia pun menempah tiket kereta api menuju ke Bandar J.

Oleh kerana nombor tiket dia dan Bulu Lembut dikeluarkan satu demi satu, tempat duduk mereka sebelah-menyebelah.

"Oh ya, Bulu Lembut, adakah kebetulan saja yang kedua-dua pensyarah dihantar ke hospital pada masa yang sama?" Shuhang merenung Bulu Lembut dengan teliti tanpa mengelipkan mata. Ini merupakan kemahiran yang hebat, menggunakan renungan mata untuk membunuh dan menekankan musuh dengan gaya keganasan. Menerima renungan seperti ini, orang yang sedang berbohong akan merasa tidak tenteram.

Kejadian yang berlaku pada hari ini terlalu kebetulan, seorang pensyarah dihantar ke hospital, dan seorang lagi menggantikannya. Selepas itu, tidak sampai tiga minit dia juga dihantar ke hospital. Ini plot melodramatik apa ya?

Song Shuhang ingat dia sudah melangkaui umur untuk berfantasi. Wuxia, orang abadi dan sebagainya sudah lama lenyap dalam hidupnya. Tetapi, sekarang, dia sedang mengesyaki Bulu Lembut —mungkin dia mempunyai kebolehan istimewa yang telah menghantar kedua-dua pensyarahnya ke dalam hospital?

Tambahan pula, imaginasinya yang liar memikirkan sesuatu yang jahat—mungkin gadis ini sebenarnya seorang cik muda daripada organisasi gelap yang sangat menakutkan seperti dalam filem? Dan secara sembunyi, di sekelilingnya akan ada ramai orang yang akan memuaskan semua kehendak hatinya pada bila-bila masa sahaja? Akhirnya, disebabkan gadis ini mahu dia menemaninya ke Bandar J esok, orang suruhan yang tersembunyi itu dengan ganasnya telah menghantar kedua-dua professor ke dalam hospital?

Walaupun Bulu Lembut direnung dengan tajam dan teliti oleh mata hitam Song Shuhang, dia berjaya menenangkan diri. "Mana mungkin? Kita bukan orang yang akan membuat benda macam tu, tau? Awak perlu percayakan kita, Senior Song!"

Matanya cerah seperti air di dalam tasik suci yang tidak pernah dicemari. Namun... kenapa dengan tabiatnya mengguna perkataan 'kita'?

Mujurlah Shuhang tidak meneruskan perbincangan topik ini sebab dia hanya saja-saja bertanya.

"Kita akan bertolak sekitar jam 3:10 petang dan sampai di Stesen Kolej Jiangnan pada jam 3:30. Memandangkan adda masa lagi, apa kata awak pergi cari lebih banyak maklumat tentang 'Tokong Lampu Berhantu' dalam talian? Saya akan keluar untuk membeli dua set makanan tengah hari. Ada apa-apa yang awak tidak boleh makan?" tanya Song Shuhang.

"Tak ada, saya boleh makan apa-apa saja!" jawab Bulu Lembut. Oleh kerana dia sedang cuba menyembunyikan keresahannya, lada hijau yang paling dia benci sekalipun akan tetap ditelannya!

"Kalau macam tu, harapnya awak dapat cari lebih banyak maklumat tentang Tokong Lampu Berhantu, saya akan balik sebentar lagi. Kalau rakan sebilik saya tiba-tiba balik, beritahu mereka yang awak kawan saya." Song Shuhang melambaikan tangan dan pergi.

Selepas Song Shuhang pergi, Bulu Lembut mengecilkan dirinya di depan komputer dengan perasaan bersalah. Selepas itu, dia meneruskan pencarian tentang maklumat semua tokong di kawasan Jalan Luo Xin di Bandar J, dan meneliti kesemuanya satu persatu.

❄️❄️❄️

2 Jun, 3 petang.

Tiga rakan sebilik Song Shuhang telah menerima pemberitahuan daripada Rangkaian Kampus, dan tidak pulang hari ini.

"Bulu Lembut, jom bertolak," Song Shuhang memanggil.

"Ya," Bulu Lembut menundukkan kepalanya tanpa semangat dan bangun dari depan komputer.

Setelah mencari setengah hari, dia masih tidak jumpa apa-apa maklumat tentang Tokong Lampu Berhantu. Malah, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Pertapa Malas Sungai Utara, dia tidak berada dalam talian sepanjang tengah hari.

Song Shuhang mengemas dan meletakkan makanan yang dibeli daripada Syurga Makanan ke dalam peti sejuk, dan meninggalkan nota kecil untuk tiga rakan sebiliknya untuk memberitahu mereka dalam peti sejuk ada makanan untuk mereka.

Dia membawa beg sandang—di dalamnya ada telefon bimbit, bank kuasa, dan pengecas telefon. Dia tidak tahu perjalanan ini akan mengambil masa berapa lama, tetapi memang susah jika telefon bimbitnya kehabisan bateri.

Bulu Lembut menarik bagasi besarnya dan mengikut Shuhang dari belakang.

Memandang wajahnya yang muram, Shuhang bertanya, "Awak tidak menjumpai Tokong Lampu Berhantu?"

"Tak ada maklumat tentangnya langsung. Saya pun tak pasti kalau namanya telah ditukar atau tokong itu sudah dirobohkan. Sekarang, saya hanya boleh pergi ke Bandar J dan tanya penduduk di sana." Bulu Lembut menjawab dengan muram.

"Jangan risau. Mesti ada cara untuk mencarinya. Kita pergi sana dulu."

Mereka berbual sambil berjalan dan turun menaiki lif.

Jam 3 petang. Bilangan orang di dalam asrama telah meningkat dan semua pelajar yang menghadiri kelas harian mula kembali ke asrama seorang demi seorang.

"Ah Hang, awak nak pergi ke mana ni?" Rakan sekelasnya berada di depan dan melambaikan tangan untuk menegur sapa. Seterusnya, perhatian mereka tertarik kepada Bulu Lembut yang berada di belakang Shuhang—'tinggi dan cantiknya gadis itu!'