webnovel

Luo Zhan, Kau Sudah Gila!

Editor: EndlessFantasy Translation

Luo Zhan ketawa kecil mendengar kata-kata itu. "Kau yang tak berguna. Aku cuma tak pandai masak. Nak bertanding dalam perkara lain?"

"Contohnya membersih? Atau bergaya? Atau pikat perempuan?" Lu Yihan mengeluarkan nasi dari periuk nasi itu dan mengangkat keningnya. "Nampak macam tak ada apa-apa yang sesuai dengan kau." 

Luo Zhan terdiam seketika sebelum berkata, "Aku handal main bola keranjang, tenis, bola tampar dan rentas desa." 

"Macam mana dengan bangkit tubi, berenang dan angkat berat?"

Luo Zhan terdiam.

Kalah!

Luo Zhan memutuskan untuk tidak mengendahkan Lu Yihan. Selepas membasuh tangan, dia menyediakan peralatan makan di atas meja. Apabila Lu Yihan selesai memasak bubur, lebih separuh ketam api di atas meja sudah berada di dalam perut Luo Zhan. Lu Yihan mendekati Luo Zhan dengan wajah geram dan merampas sepit ketam yang berada di tangan lelaki itu.

Setelah mereka selesai makan, Luo Zhan mencuci semua peralatan dapur yang digunakan. Setelah selesai, dia keluar dari dapur dan melihat Lu Yihan sudah tertidur dengan tubuhnya bersandar pada sofa. Sebelah tangan Lu Yihan berada di tempat letak tangan sofa dan sebelah lagi di belakang sofa itu. Kepala Lu Yihan terlentok di sudut sofa itu. Nafasnya menderu perlahan dan matanya tertutup rapat.

Luo Zhan memandang wajah Lu Yihan dan tanpa sedar memperlahankan langkahnya. Dia mendekati Lu Yihan dengan perlahan-lahan dan merenung wajah lelaki itu sambil menahan nafasnya. Lu Yihan memang sangat kacak. Lelaki ini mempunyai kemampuan dan rupa yang hebat. Namun Luo Zhan tahu dia telah terjatuh hati kepada orang yang tidak sepatutnya.

Luo Zhan berasa simpati terhadap hatinya sendiri. Dia mengambil selimut yang berada di sebelah sofa itu dan menyelimutkan Lu Yihan. Badannya dibongkokkan sedikit. Secara tidak sengaja, nafas Lu Yihan menderu ke mukanya.

Gatal dan agak… menggoda. Jantung Luo Zhan berdegup kencang. Dia sendiri merasakan dirinya tidak bersedia. Namun tubuhnya… seakan terkaku. Luo Zhan merenung lelaki di hadapannya, kemudian membongkok dan menghampiri wajah Lu Yihan perlahan-lahan.

Bulu mata Lu Yihan tebal dan panjang. Ketika ini, matanya sedang tertutup dan bulu matanya yang panjang kelihatan cantik pada kulitnya yang putih mulus. Wajah mereka semakin hampir dan Luo Zhan dapat merasakan sesuatu yang lembut pada bibirnya. Satu perasaan aneh yang tidak tergambar membuatkan Luo Zhan terkejut.

Luo Zhan terus kembali berdiri tegak dan berundur sambil memandang Lu Yihan dengan wajah tidak percaya. Dia terus berlari ke sudut koridor untuk menyembunyikan diri. Apa yang sedang dilakukannya?

Apa yang kau buat ni!!

Luo Zhan, kau dah gila!!

Jantung Luo Zhan seakan hampir meletup. Dia bergegas masuk ke biliknya lalu menutup pintu dan bersandar di belakang pintu dengan nafas tercungap-cungap. Gila, gila, memang gila…

Di sofa itu, bulu mata tebal Lu Yihan bergerak-gerak sebelum matanya terbuka.

Lu Yihan memandang ke arah Luo Zhan melarikan diri dan memegang bibirnya tanpa sedar. Itu… Luo Zhan? Mata Lu Yihan terkebil-kebil dan dia berasa tidak percaya. Luo Zhan yang mengatakan dirinya menyukai wanita, benar-benar… menciumnya secara curi-curi? Luo Zhan sukakannya?

Lu Yihan tiba-tiba tersedar lalu bangun dan masuk ke biliknya. Selepas tinggal bersama selama tiga tahun, Luo Zhan tidak pernah menunjukkan apa-apa tanda, tetapi… Rupa-rupanya dia telah tinggal bersama seorang lelaki gay selama ini? Apa yang patut dilakukannya sekarang? Lu Yihan merasakan hatinya bercelaru. Walaupun dia seorang yang amat pintar, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Adakah dia patut menghalau Luo Zhan?