webnovel

Teratai yang Mabuk (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie tenang memandang kucing hitam kecil dan Teratai Kecil yang masih berbalah. Dia mengangkat kucing hitam kecil itu dan meletakkannya ke atas meja. Kemudian dia mengeluarkan teratai daripada besen dan menyerahkan besen itu kepada Teratai Kecil.

"Buang wain yang ada dalam besen ini." Menurut catatan di dalam buku lama itu, sewaktu menanam Teratai Salji Biru Diraja, jangan gunakan semula Nektar Jed yang tersisa di dalam besen. Apabila paras wain sudah tidak lagi cukup untuk menutupi akar teratai, wain itu perlu diganti secepat mungkin. Sebab itulah Jun Wu Xie sering menuang lebihan Jed Nektar ke dalam kolam teratai.

Teratai Kecil mengangguk dan bertatih-tatih berjalan ke arah kolam teratai sambil memeluk besen itu dengan erat.

Sewaktu berjalan sepantas mungkin menuju ke kolam itu, haruman dari besen itu menusuk ke hidung Teratai Kecil dan membuatkan pipinya menjadi kemerah-merahan. Dia berpaling untuk mengintai Jun Wu Xie dan nampak tuannya sedang khusyuk memandang teratai tadi. Tiba-tiba Teratai Keci menelan air liurnya dan mengesat lelehan air liurnya sebelum jatuh dari bibirnya.

Semua ini tidak dikehendaki, bukan?

Jadi, tak apalah kalau diminum sedikit?

Teratai Kecil mengangkat besen itu ke mulutnya...

[Kamu buat apa tu?] Kucing hitam kecil itu tiba-tiba menjerit.

Teratai Kecil menjadi panik apabila terdengar jeritan itu dan menuangkan semua Nektar Jed itu ke dalam mulutnya. Dia tercekik dan terbatuk-batuk sehingga mukanya bertukar menjadi merah, lalu memandang kucing hitam kecil itu dengan ketakutan..

"Tak...Tak ada apa-apa…" Teratai Kecil tergagap-gagap menjawab.

Kucing hitam kecil itu melompat turun dari meja sepantas kilat, dan berjalan menuju Teratai Kecil.

Teratai Kecil berundur dari kucing hitam kecil itu. Kakinya semakin menghampiri tebing kolam.

"Ja….. jangan datang dekat….."

"Kamu curi-curi minum wain." Kucing hitam kecil itu mengecilkan matanya dan merenung Teratai Kecil.

"Saya….. Saya tidak….. ARGHHH!!"

Teratai Kecil menjerit sewaktu terjatuh ke dalam kolam teratai.

SPLASH!

Teratai Kecil jatuh diikuti percikan yang kuat.

Kucing hitam kecil itu terkejut. Niatnya hanya mahu menakutkan budak kecil itu dan Teratai Kecil begitu panik sehingga jatuh ke dalam air?

"Hentikan perangai mengarut kamu." Jun Wu Xie memandang mereka berdua dengan pandangan tidak berdaya, sambil dia memegang teratai itu dalam tangannya.

Kucing hitam kecil itu mengangkat bahunya, menunggu Teratai Kecil timbul semula.

Selepas beberapa lama, bayang Teratai Kecil sekalipun tidak kelihatan.

Bolehkah tumbuhan air….lemas? Kucing hitam kecil itu tertanya-tanya sewaktu melangkah ke pinggiran air kolam sambil berasa sedikit risau.

Sebaik kucing hitam kecil itu sampai ke tebing kolam, satu bayang hitam muncul di dalam air dan bergerak pantas naik ke permukaan kolam.

Titisan-titisan air menitik dari susuk tubuh berwarna putih yang meluru keluar dari kolam itu.

Susuk tubuh itu milik seorang pemuda yang agak tampan dan rambutnya berwarna putih seperti perak. Pakaiannya yang berwarna putih perak itu diselubungi kabus nipis. Sewaktu mendarat di atas tanah, air yang terpercik dari badannya disinari cahaya matahari dan bergemerlap seperti berlian.

"MEOW!!" Kucing hitam kecil itu bertukar rupa menjadi binatang buas berwarna hitam dan berdiri di antara Jun Wu Xie dan orang asing ini.

Pemuda berambut putih itu mendarat dengan lembut, kakinya menyentuh batu-batu yang basah itu dengan perlahan. Rambutnya yang basah dirapikan ke belakang dan wajahnya yang tampan bersinar-sinar.

"Kamukah yang selalu membuli saya?" tanya pemuda itu sambil mengerutkan kening. Matanya yang berwarna biru, merenung binatang hitam itu.

"Tak guna betul. Dibuli oleh kucing kurap….. Ish!" Wajah pemuda berambut putih itu kelihatan marah. Matanya jelas menunjukkan dia sedang meradang.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya memandang pemuda yang tiba-tiba muncul di halamannya itu.

"Kamu siapa?"

Wajah pemuda berambut putih itu menjadi merah sambil dia memandang Jun Wu Xie dan bertanya, "Kamu tak kenal roh berkontrak kamu sendiri?"