webnovel

Tamparan Kesembilan (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Walau bagaimanapun, Jun Wu Xie langsung tidak berasa takut. Dia hanya berpaling dan memandang Feng Yue Yang dengan tenang.

"Senior Feng boleh periksa nadi Qu Ling Yue sekali lagi sekarang."

Xiong Ba terus menjeling marah pada Jun Wu Xie. Dia tidak pasti apa yang gadis itu cuba lakukan.

Feng Yue Yang berkerut sedikit dan teragak-agak seketika. Kemudian dia perlahan-lahan berjalan menuju katil Qu Ling Yue dan memeriksa nadi Cik Muda mereka itu sekali lagi.

"Kalau Cik Muda kami dalam bahaya, walaupun kamu ni cuma budak muda saya akan pastikan kamu terima balasannya!" Xiong Ba menjeling marah pada Jun Wu Xie. Matanya membara dengan niat membunuh.

Tetapi renungan membunuh itu langsung tidak membuat Jun Wu Xie tertekan. Dia membalas dengan suara dingin, "Kamu tak akan dapat peluang pun nak buat begitu."

"Ketua Dewan Xiong! Budak tak guna tu berani bertindak ke atas Cik Qu di depan mata kamu! Siapa tahu apa niat sebenar dia!?" Tabib Diraja Li melangkah ke hadapan dengan resah. Matanya dalam diam mencuri pandang pada Lei Chen. "Hari tu pun budak tak guna ni bersikap sombong dan kasar. Lama kami bertekak dengannya. Tapi memandangkan Tuanku Putera Mahkota mendesak kami untuk biarkan dia merawat Cik Qu, tentulah kami sebagai tabib biasa ni tak ada kuasa untuk menolaknya. Saya ada dengar Tuanku Putera Mahkota cakap sebelum ini yang Cik Jun ini ialah Cik Muda Istana Lin di Kerajaan Qi. Namanya Jun Wu Xie. Satu dunia ni tahu yang Istana Lin tu tak terkenal dengan kemahiran perubatan. Niat Cik Muda Jun ni memang mencurigakan! Tak ada jaminan yang dia tak akan mengapa-apakan Cik Qu."

Xiong Ba terkejut seketika. Dia memandang Jun Wu Xie dengan penuh tanda tanya.

"Kamu dari Istana Lin?"

Jun Wu Xie hanya mengangkat sebelah kening sebagai tanda mengiakan.

"Istana Lin dan Bandar Seribu Binatang biasanya tidak masuk campur hal masing-masing dan tidak mempunyai apa -apa hubungan. Tapi kalau kamu datang ke sini nak cetuskan masalah, tak kiralah dengan adanya Tentera Rui Lin dari Istana Lin yang berjumlah seratus ribu anggota tu, kerumunan Binatang Roh dari Bandar Seribu Binatang tak akan membiarkan hal ini begitu saja!" kata Xiong Ba sambil mengetap gigi.

Tabib Diraja Li dalam diam tersenyum jahat.

Tetapi sebaik sahaja Tabib Diraja Li berharap dapat melihat kemarahan dan kebencian Xiong Ba semakin memuncak selepas mengetahui identiti Jun Wu Xie, kedengaran satu suara yang bernada terkejut.

"Tak mungkin!?" Suara Feng Yue Yang bergema di telinga setiap orang yang berada di dalam bilik itu.

Tanpa sedar, mereka semua serentak berpaling memandang Feng Yue Yang. Xiong Ba tidak mahu terus berbalah dengan Jun Wu Xie. Dia berpaling dengan bimbang.

Dia terlihat tangan Feng Yue Yang masih berada di pergelangan tangan Qu Ling Yue. Wajah lelaki tua itu pula dipenuhi riak tidak percaya dan terkejut. Matanya terbeliak. Mulutnya hampir melopong disebabkan begitu terperanjat.

Ketika Tabib Diraja Li terlihat reaksi Feng Yue Yang, dia ketawa kuat di dalam hatinya. Matanya yang penuh cemuhan itu memandang Jun Wu Xie yang masih diangkat tinggi di udara oleh Xiong Ba.

Kemarahan yang membuak-buak meledak di dalam dada Xiong Ba. Dia merenung dengan perasaan membunuh yang tidak ditahan-tahan dan menjerit dengan suara yang kuat, "Apa yang kamu dah buat pada Cik Muda kami!? Kalau ada apa-apa berlaku pada Cik Muda kami hari ni, saya akan…"

"Ketua Dewan Xiong!" Feng Yue Yang tiba-tiba menjerit dengan kuat.

Feng Yue Yang terus melenyapkan perasaan terkejut di dalam hatinya. Dia bergegas ke sisi Xiong Ba lalu berkata, "Ketua Dewan Xiong! Turunkan Cik Jun sekarang! Macam mana kamu boleh jadi begitu biadab!?" Nada suaranya berbaur peringatan.

Xiong Ba terpempan. Dia berpaling memandang Feng Yue Yang dengan wajah yang berkerut akibat berasa bingung dan keliru. Xiong Ba tidak faham mengapa Feng Yue Yang menyebelahi Jun Wu Xie.

"Senior Feng! Apa maksud kamu!?"

"Kamu turunkan Cik Muda Jun sekarang juga!" Feng Yue Yang mengulangi kata-katanya dengan tegas.

"Tapi… tapi..." Xiong Ba tak mampu meneruskan kata-katanya.

Wajah Feng Yue Yang berkerut marah dan dia berkata, "Bila kamu nak ubah sikap kamu ni!? Apa saja yang berlaku, kamu nak selesaikan dengan keganasan dulu. Patutlah Ketua Besar suruh Qing Yu datang bersama-sama kamu. Perangai kamu tu pasti akan datangkan masalah pada kita satu hari nanti!"