webnovel

Rumah Lelong Roh Api (5)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Tapi memandangkan Ling Yue tertanya-tanya sama ada Penasihat Agung atau lelaki itu yang lebih menawan, mungkin elok juga kalau Adik Xuan boleh bantu selesaikan keraguannya. Beta akan berpura-pura tidak dengar apa-apa dan tak akan beritahu Penasihat Agung tentang hal ini." kata Lei Chen. Perasaan terhibur terpapar di matanya sewaktu memandang Fu Xuan yang sedang duduk di sisinya. Hubungan rapat mereka ditunjukkan melalui panggilan mesra yang digunakannya tadi.

Fu Xuan terus tersipu-sipu malu. Matanya terpancar kegembiraan sekilas sebelum dia menjawab, "Patik tak pasti siapa yang lebih tampan kerana rupa luaran itu hanya cangkerang kosong. Apa yang lebih penting ialah sikap dalaman. Kalau kita buat pertimbangan hanya berdasarkan rupa, mungkin kita akan mendapat orang yang cantik tetapi dungu dan tidak berguna."

Fu Xuan mungkin hanya bercakap dengan bersahaja. Tetapi maksud di sebalik kata-katanya ialah dia menganggap Jun Wu Yao dan Penasihat Agung sebagai orang yang dungu.

Minda Qu Ling Yue yang naif dan tulus itu tidak menangkap maksud di sebalik kata-kata tersebut tetapi Lei Chen memahami pernyataan itu sepenuhnya. Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan sebarang komen.

Fu Xuan menyedari reaksi Lei Chen dan mula tersenyum kecil.

"Lelaki itu juga nampaknya seorang yang budiman. Sewaktu mereka masuk tadi, dia melindungi rakannya sepanjang masa. Saya tertanya-tanya jika si kecil itu ialah adiknya kerana dia bersikap sangat baik." Qu Ling Yue langsung terlepas maksud kata-kata Fu Xuan dan dia terus bersandar di tepi tingkap untuk merenung lelaki kacak itu. Matanya dipenuhi perasaan kagum.

Lei Chen ketawa dan berkata, "Oh? Lelaki bagaimana yang buatkan hati Ling Yue begitu berdebar-debar ni? Kamu dah jatuh cinta padanya?"

Muka Qu Ling Yue menjadi kemerah-merahan dan dia cepat-cepat menggeleng lalu berkata, "Patik cuma rasa dia tu tampan. Itu saja!" Dia tidak berani bertentang mata dengan Lei Chen sewaktu bercakap.

Mata Lei Chen mengecil sedikit tetapi cepat-cepat kembali normal. Dia bersungguh-sungguh mahu kelihatan bersahaja dan berkata, "Beta mahu lihat sendiri betapa tampannya dia sehinggakan kamu begitu terpesona dan mata kamu bersinar-sinar."

Wajah Qu Ling Yue semakin merah.

Lei Chen menyusuri pandangan mata Qu Ling Yue dan memandang ke arah yang sama. Seperti yang dijangka, di sudut yang tidak begitu menonjol itu, dia terlihat seorang lelaki yang tampan tanpa tandingan. Tetapi kegembiraan terus lenyap dari matanya. Dia berpaling memandang Qu Ling Yue dan berkata, "Kamu tahu siapa lelaki tu?"

Qu Ling Yue menggeleng.

Lei Chen membalas, "Dia dari Akademi Zephyr."

"Apa?" Qu Ling Yue terkejut.

Dia datang dari Akademi Panji Perang. Hanya ada dua akademi lain iaitu Akademi Pembunuh Naga dan Akademi Zephyr yang setanding dengan mereka. Sejak bertahun yang lalu, tiga akademi ini sering bersaing dengan sengit untuk menundukkan lawan mereka dan sikap ini secara tidak langsung turut diikuti oleh para pelajar setiap akademi ini. Apabila para pelajar dari tiga akademi ini bertembung, sedikit persaingan akan muncul secara semula jadi.

"Dia dari Akademi Zephyr? Macam mana Tuanku tahu?" Qu Ling Yue cepat-cepat bertanya.

Lei Chen memberitahunya, "Mereka baru saja masuk ke bandar ini sebentar tadi. Ketika mereka masuk, potret mereka telah dilukis dan diserahkan pada Beta. Kamu pun tahu Tuanku Maharaja iaitu ayahanda Beta telah membenarkan Beta bertanggungjawab penuh ke atas Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini. Jadi Beta mengenali ahli-ahli penting dari setiap akademi. Walaupun Beta belum bertemu dengan orang-orang dari Akademi Zephyr, Beta tetap dapat mengingati wajah-wajah mereka."

Wajah Qu Ling Yue berkerut. Dia memandang Lei Chen, kemudian berpaling pada lelaki di tingkat bawah itu.

"Tapi berdasarkan umurnya, dia nampaknya tidak ke sini untuk ambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh."

"Kalau dia bukan pelajar pun, mungkin dia ke sini sebagai guru atau apa-apa sajalah. Akademi Zephyr hanya menghantar sejumlah sepuluh orang tahun ini, termasuklah Guru Besar yang baru iaitu Fan Jin. Sebelum ini Fan Jin sudah menghantar senarai nama peserta mereka untuk Kejohanan Pertempuran Roh. Tahun ini hanya enam orang dari Akademi Zephyr yang akan mengambil bahagian," kata Lei Chen.