Dalam kepekatan malam, lima puluh orang yang berpakaian biasa menyelinap keluar daripada pintu belakang Istana Diraja. Mereka cepat-cepat bergerak ke pelbagai lokasi di seluruh bandar. Jika diperhatikan dengan teliti, dapat dilihat yang destinasi mereka melibatkan seluruh kawasan Bandar Diraja.
Dangan senyap, lima puluh buah pintu dikunci rapat, menyembunyikan sumber-sumber mimpi ngeri yang bakal melanda seluruh Bandar Diraja, tanpa diketahui oleh para penduduknya.
Beberapa hari berlalu...
Tentera Rui Lin milik Jun Wu Xie sudah berada di dalam Bandar Diraja selama seminggu. Sepanjang tempoh masa ini, Jun Wu Xie bersembunyi di dalam Istana Lin untuk melatih kuasa rohaninya. Jun Xian juga sudah sembuh sepenuhnya, hasil jagaan rapi oleh Jun Wu Xie.
Mo Qian Yuan berjalan melewati Istana Diraja yang nampaknya sudah dibersihkan dan kembali kelihatan megah. Selama tujuh hari ini, dia menurut arahan Jun Wu Xie dan memaksa dirinya melihat realiti kehidupan seharian rakyat biasa.
Sudah menjadi kebiasaan untuk dia berjalan-jalan di sekitar bandar setiap hari, membuat kebaikan dan memberi kurnia, sesuai dengan statusnya sebagai Putera Mahkota Kerajaan Qi.
Sewaktu melepasi sebuah kediaman, bersama-sama pengawal daripada Tentera Rui Lin, pintu yang terkunci rapat tiba-tiba terbuka. Satu susuk tubuh meluru keluar sambil meraung terseksa dan berlari ke jalanan, bagaikan sudah naik gila.
Memandangkan waktu masih pagi, jalan-jalan di situ dipenuhi kerumunan orang ramai. Orang gila itu telah melanggar beberapa orang sewaktu mula-mula meluru keluar tadi.
"Pergi lihat apa yang sedang berlaku!" Melihatkan kekecohan itu, Mo Qian Yuan mengarahkan pengawal Tentera Rui Lin untuk menyiasat.
Di tengah-tengah kerumunan orang ramai, badan lelaki itu kelihatan kembung dan kemerah-merahan. Dia sedang merintih kesakitan. Badannya semakin lama semakin mengembung, bajunya koyak dan kulitnya menjadi tegang. Darah mengalir keluar di tempat di mana kulit dan dagingnya tegang melebihi batasan. Luka-luka di badannya semakin bertambah.
Mukanya begitu kembung sehingga tidak dapat dikenali. Luka-lukanya mula terbuka dan darah menutupi seluruh wajahnya. Semuanya kelihatan sangat mengerikan.
Dia berlari ke arah orang ramai, tangannya mencakar-cakar badannya sendiri. Pengawal Tentera Rui Lin yang menghampirinya untuk menyiasat mahu menahannya, tetapi dicampak dengan kekuatan luar biasa. Kuasa yang dimilikinya itu sangat tidak normal.
Tindakan lelaki gila itu menyebabkan orang ramai menjadi huru-hara dan ramai yang melarikan diri sambil menjerit ketakutan.
Mo Qian Yuan nampak keadaan kacau-bilau di hadapannya dan membuat keputusan untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Dia menyeru roh berkontraknya yang berbentuk lembing panjang, dihiasi rumbai hitam. Dia melompat dan melayang menuju lelaki gila itu. Hujung lembingnya seperti naga, menusuk lengan lelaki itu dan menghimpitnya ke tanah serta menghentikan amukannya.
Walaupun sudah dihimpit ke tanah oleh lembing itu, lelaki itu tetap bergelut tanpa menghiraukan kesakitannya. Dia tidak mempedulikan mata lembing itu yang tertusuk di lengannya dan meraung seperti binatang. Lelaki itu meronta-ronta mahu berdiri.
Mo Qian Yuan berdiri di sebelah lelaki seperti binatang itu sambil berfikir. Tindak-tanduk lelaki ini yang aneh, membuatkan Mo Qian Yuan curiga dan dia baru sahaja mahu bertanyakan sesuatu…
Lelaki gila itu tiba-tiba meraung sekuat-kuatnya dan badannya mengembang dengan lebih cepat.
Dengan satu bunyi letupan yang kuat, badan lelaki itu tercampak ke merata-rata arah dan bahagian yang berkecai, turun seperti hujan. Letupan itu menyebabkan Mo Qian Yuan, diliputi darah dan sisa-sisa lain, daripada kepala sehingga ke kaki.
Letupan yang ganas di bandar itu menyebabkan berlakunya hujan darah dan daging, yang kelihatan seperti bunga teratai merah sedang berkembang di jalanan.