webnovel

Pengekor Kecil di Sebalik Bayang (6)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Binatang Roh Gred Penjaga itu membuka mulutnya yang besar itu dan mengaum dengan kuat. Bunyi ngauman itu seolah-olah mampu membelah langit!

"AUMMMM!"

Habislah kita!

Matilah kita!

Habislah kita semua mati!

Minda semua orang tiba-tiba menjadi kucar-kacir. Mereka langsung tidak menyangka kambing biri-biri dungu yang mengekori Jun Wu Xie itu sebenarnya ialah Binatang Roh Gred Penjaga! Apatah lagi Binatang Roh yang sama telah bertempur dengan mereka sebelum ini!

"Tolong beritahu saya…..ini semua ilusi….." Kaki Qiao Chu tiba-tiba menjadi lemah longlai. Dia berpaut pada bahu Hua Yao untuk menyokongnya agar dapat terus berdiri.

'Kambing biri-biri dungu itu ialah Binatang Roh Gred Penjaga yang sama!?'

'Ini satu gurauankah?'

'Betulkah dia sebelum ini dia telah menggomol Binatang Roh Gred Penjaga? Mujurlah dia tidak dicarik-carik…..'

'Syukurlah…..masih dapat terus hidup…..'

Sebenarnya orang yang paling terkejut ialah Jun Wu Xie. Namun perasaannya tidak banyak terpamer di wajahnya. Dia hanya terdiam merenung Binatang Roh bersaiz gergasi itu dan tidak ada siapa yang tahu apa yang dia sedang fikirkan.

Paling sengsara dalam kalangan mereka ialah binatang hitam itu….

Memandangkan ia telah dipertanggungjawabkan untuk menghalau kambing biri-biri itu tadi, badannya kini dipenuhi air liur Binatang Roh Gred Penjaga itu.

Sambil merenung taring Binatang Roh itu yang hampir sebesar badannya, bintang hitam itu hampir hilang akal. Fikirnya, habislah Cik kali ini!

"Meow~" Binatang hitam itu berundur dan menyelinap ke arah Jun Wu Xie. Ia cepat-cepat bertukar rupa menjadi kucing hitam kecil dan berlari lalu melompat naik ke bahu Jun Wu Xie untuk bersembunyi!

"Meow….."

[Saya hampir mati tadi!]

"....." Jun Wu Xie menepuk-nepuk kepala kucing hitam kecil itu untuk menenangkannya

Binatang Roh Gred Penjaga itu tersenyum sinis melihatkan binatang hitam itu kembali bertukar rupa menjadi kucing hitam. Binatang Roh itu mengangkat kepalanya dengan angkuh dan mendengus marah.

Selepas itu, Binatang Roh itu membaringkan badannya ke tanah dan merenung Jun Wu Xie dengan matanya yang besar. Sembilan ekornya bergoyang-goyang gembira dan perlahan-lahan dilipat masuk ke dalam badannya. Seluruh tubuh Binatang Roh itu mula mengecil sehinggalah menjadi saiz kambing biri-biri kecil yang telah mengekori mereka selama ini.

"...…" Mulut Qiao Chu menjadi herot.

Mata Fei Yan terbeliak dan dia menelan air liurnya.

Hua Yao dan Rong Ruo saling bertukar pandangan dan tersenyum kelat.

Fan Jin kaku seperti patung.

Tap, tap, tap.

Kambing biri-biri yang dungu tetapi teramat kuat itu, berjalan dengan kakinya yang pendek dan kecil, menuju ke arah Jun Wu Xie. Si kecil itu kelihatan bangga dan mula menegakkan kakinya, cuba berdiri setinggi mungkin.

"Kenapa kamu ikut saya?" Akhirnya Jun Wu Xie menyedari identiti sebenar kambing biri-biri dungu itu. Ini bukannya Binatang Roh gred rendah yang tidak mempunyai sebarang kesedaran. Binatang ini sebenarnya ialah Binatang Roh Gred Tinggi yang pintar.

Binatang ini akan memahami kata-katanya.

Kambing biri-biri dungu itu datang lebih dekat dan berjalan mengelilingi kaki Jun Wu Xie. Binatang itu mula tunduk dan makan rumput hijau yang segar. Kemudian ia mengangkat kepalanya dan membiarkan Jun Wu Xie melihat ia mengunyah dan akhirnya menelan rumput di dalam mulutnya.

"Embek~"

[Rumput di sekeliling kamu sedap~]

[Saya suka~] 

Jun Wu Xie tidak faham bahasa kambing biri-biri. Mujurlah kucing hitam kecil itu nampaknya faham maksud kambing biri-biri dungu itu dan menterjemahkannya untuk Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie akhirnya faham mengapa kambing biri-biri kecil dungu ini, yang sebenarnya ialah Binatang Roh Gred Penjaga yang teramat kuat, terus mengekorinya.

Memandangkan roh berkontrak Jun Wu Xie ialah dari jenis tumbuhan, walaupun orang lain tidak akan merasainya, semua tumbuhan di sekelilingnya dapat mengesan intipati Teratai Kecil. Kesannya, tumbuhan-tumbuhan ini akan mengalami perubahan kecil.

Sewaktu bertempur dengan Jun Wu Xie, Binatang Roh Gred Penjaga ini dapat mengesan haruman intipati ini dan tertarik dengannya.

Cuba fikir, kambing biri-biri mana yang tidak akan tertarik dengan rumput hijau yang lebih lazat dan enak….

Pilihannya terlalu jelas!