webnovel

Menampar Orang Ramai (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sebaik berpuas hati yang semua pelajar sudah diam, mata Gu Li Sheng kelihatan serius. Dia mendiamkan diri seketika lagi sebelum bersuara dengan jelas, "Selama ini, fakulti Pemulih Roh sering memiliki jumlah pelajar yang sedikit. Saya yakin kamu semua tahu tentang hakikat ini. Kamu semua fikir diterima masuk ke fakulti ini merupakan penghormatan istimewa kerana kamu akan mempelajari Teknik Pemulihan Roh. Teknik ini akan membolehkan kamu hidup mewah tanpa bimbang. Benar, bukan?"

Mendengarkan soalan Gu Li Sheng ini, semua pelajar mengangguk tanda setuju.

Gu Li Sheng bertanya lagi, "Kamu semua rasa menjadi pelajar di bawah bimbingan Gu Li Sheng itu ialah sesuatu yang akan memberikan kamu penghormatan tanpa bandingan?"

Para pelajar Akademi Zephyr tidak berani bersuara dan hanya mampu mengangguk sekali lagi.

"Kamu semua fikir yang saya, Gu Li Sheng, sebagai pengasas Teknik Pemulihan Roh, amat arif tentang teknik ini melebihi sesiapa sahaja di dunia?" Gu Li Sheng bertanya pada kerumunan itu.

Itu tidak dapat disangkal lagi! Mereka semua mengangguk sekali lagi.

Gu Li Sheng memandang para pelajar Akademi Zephyr itu dengan puas hati. Mereka semua mengangguk-angguk seperti ayam yang yang sedang makan. Kemudian Gu Li Sheng tersenyum kecil lalu berkata, "Bagus."

Para penonton itu bingung dengan hala tuju soalan-soalan Gu Li Sheng itu, tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain menunggu dengan sabar.

"Jadi sekarang ini, kalau saya beritahu kamu mengenai kewujudan seseorang yang memiliki pengetahuan tentang Teknik Pemulihan Roh melebihi saya, seseorang yang saya sendiri tidak mampu ajar, adakah kamu akan percaya?"

Dengan pantas anggukan-anggukan tersebut bertukar menjadi gelengan.

Senyuman Gu Li Sheng semakin lebar.

"Kamu semua tahu tak mengapa kamu tak diterima masuk ke fakulti Pemulihan Roh?"

Para pemuda di dalam kerumunan itu serentak menggelengkan kepala.

"Sebabnya kamu semua tak faham pun apa itu Teknik Pemulihan Roh dan kamu tak memiliki keupayaan untuk memahaminya. Sejujurnya, pelajar yang saya ada di fakulti Pemulihan Roh sekarang, semuanya tidak layak berada di situ. Kalau standard saya sendiri yang digunakan untuk menilai mereka, fakulti Pemulihan Roh itu tak akan menerima seorang pun pelajar yang gagal memenuhi kriteria saya!" Kata-kata Gu Li Sheng mula berubah dan nadanya tiba-tiba menjadi tegas!

"Saya menerima mereka bukanlah kerana mereka lebih bagus daripada kamu semua. Sebabnya hanyalah, sebagai guru di Akademi Zephyr, saya perlu menerima pelajar atau saya perlu menjawab pada Guru Besar," kata Gu Li Sheng tanpa berselindung.

Sewaktu Gu Li Sheng berucap, Fan Qi yang telah berundur ke belakang tiba-tiba menjadi pucat. Bukannya kerana dia marah atau berang, tetapi kerana dia malu.

Semua yang Gu Li Sheng katakan itu amat mengejutkan para pelajar yang berkumpul di hadapannya. Pelajar-pelajar dari fakulti Pemulihan Roh yang berada di situ pula menggeletar disebabkan kejutan yang dilemparkan pada mereka.

Selama ini, mereka menyangkakan yang mereka itu lebih bagus berbanding para pelajar lain. Sebab itulah mereka diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh dan diberi peluang untuk belajar Teknik Pemulihan Roh di bawah didikan Gu Li Sheng. Walau bagaimanapun, kata-kata Gu Li Sheng hari ini ibarat tamparan besar ke muka mereka. Di hadapan semua orang di akademi ini, status elit yang mereka banggakan selama ini telah dihancurkan dan dimusnahkan sehingga menjadi debu!

Namun begitu, Gu Li Sheng tidak menahan dirinya dan terus menyambung, "Saya sudah pasrah memikirkan yang saya tak mungkin akan menemui seseorang yang mampu mempelajari Teknik Pemulihan Roh. Sehinggalah satu hari, saya bertemu dengan seorang pemuda! Kemunculannya membuatkan saya sedar apa yang dimaksudkan dengan seorang genius…. Tidak, lebih tepat lagi, dia bukan sekadar genius tetapi amat luar biasa. Pemahamannya tentang Teknik Pemulihan Roh melebihi pemahaman saya!"

Setelah mendengarkan kata-kata Gu Li Sheng ini, kesunyian di dataran itu tiba-tiba dipecahkan.

Kebolehan melangkaui Gu Li Sheng dalam Teknik Pemulihan Roh. Ini sangat sukar dipercayai. Gu Li Sheng sememangnya seorang yang lembut sikapnya, tetapi dia amat tegas berkenaan Teknik Pemulihan Roh. Berdasarkan apa yang dia katakan tentang standard pemilihan pelajar, jelas yang dia tidak akan berkompromi dalam bidang kepakarannya.