webnovel

Membuka Keranda (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sewaktu Jun Wu Xie sampai ke bilik bacaan itu, Jun Xian dan Jun Qing sudahpun pergi. Malah Long Qi dan sekumpulan pengawal turut hilang. Jun Wu Xie pergi berjumpa Pak Cik Fu dan mendapat tahu yang Jun Xian dan Jun Qing telah membuat keputusan untuk melindungi keselamatan Keluarga Jun. Mereka menuju ke kubur Jun Gu.

Niat mereka amat jelas.

"Mari!" Kucing hitam kecil Jun Wu Xie dicampak ke luar dan berubah bentuk menjadi binatang hitam. Bulu emas di dada binatang hitam itu memanjang menjadi surai, menjadikan penampilannya semakin agung dan megah.

Setiap tahun, Keluarga Jun akan pergi ke kubur Jun Gu untuk berdoa, maka sudah tentulah Jun Wu Xie tahu jalan ke sana. Di bawah langit malam yang penuh bintang, Jun Wu Xie menunggang binatang hitam itu dan memecut ke arah kubur Jun Gu.

Keluarga Jun tidak akan tunduk! Kubur Jun Gu tidak akan dicemarkan!

Binatang hitam itu membawa Jun Wu Xie menuju ke kawasan perkuburan. Kebanyakan yang dikebumikan di sana ialah askar atau pegawai di bawah pimpinan Keluarga Jun. Mereka ialah perajurit yang berkorban nyawa di medan perang dan merupakan orang-orang yang berani.

Jun Xian ada mengatakan yang rakan sepasukan dalam Keluarga Jun perlu dikebumikan di tempat yang sama, supaya mereka kekal bersama walaupun sudah mati.

Sewaktu Jun Wu Xie sampai ke tanah perkuburan, ada dua orang pengawal yang memakai pakaian seragam Istana Lin. Mereka terkejut melihat Jun Wu Xie dan binatang hitam itu meluru melepasi mereka sebelum sempat mereka membuka mulut untuk memberi hormat.

Pengawal yang menggelabah itu berdiri tegak sebagai tanda hormat, menghadap ruang kosong setelah binatang hitam itu melepasi mereka sebelum sempat mereka memberikan reaksi.

Jauh di dalam kawasan perkuburan itu, sepuluh orang askar Tentera Rui Lin berdiri di sekeliling sebuah batu nisan sambil memegang obor. Wajah mereka hiba dan pergerakan mereka menunjukkan mereka berat hati.

Long Qi mengetuai sekumpulan lelaki yang sedang menggali semula kubur Jun Gu. Setiap inci tanah yang mereka gali membuatkan mata mereka semakin merah.

Di tempat inilah bersemadinya Dewa Perang mereka. Lelaki ini ialah seseorang yang mereka semua hormati dan sanjungi. Dan hari ini mereka terpaksa mencemarkan kuburnya dengan tangan mereka sendiri, mengganggu ketenangan abadinya.

Jun Xian berdiri di sisi sambil menutup mata, tak sanggup melihat apa yang berlaku. Jun Qing berdiri di sebelah ayahnya dengan wajah muram.

"Anakku, demi Keluarga Jun, Ayah terpaksa membuatkan kamu sedih di tempat persemadian kamu ini," kata Jun Xian dengan suara yang rendah. Dia merasai kesedihan yang teramat.

Jun Qing menundukkan kepalanya sambil menggenggam erat penumbuknya.

Debu berterbangan sebaik keranda itu dinaikkan. Jun Xian memandang sekilas dan susuk tubuhnya yang tinggi itu terhuyung-hayang melangkah ke belakang.

"Tuan! Kita benar-benar…." Long Qi yang matanya merah dan tangannya menggeletar, bertanya pada Jun Xian.

Jun Xian menarik nafas dalam untuk menenangkan gelora dalam hatinya. Dia menutup mata dan mengetap giginya. "Buka!"

Demi melindungi Keluarga Jun, Wu Xie telah menentang mantan Maharaja. Dia tidak mahu melibatkan cucunya itu dalam hal ini. Walaupun Jun Gu meninggal dunia sewaktu anak itu masih kecil, tetapi ini tetap kubur ayahnya. Jun Xian tak sanggup membiarkan anak itu menyaksikan kubur ayahnya sendiri dicemari dan digali keluar dari tempat persemadian abadi ini.

Jun Xian dan Jun Qing terus keluar sebaik Jun Wu Xie meninggalkan bilik bacaan itu, Mereka memang tidak berniat untuk memberitahunya tentang hal ini.

Long Qi mengetap giginya dan menolak penutup keranda yang berat itu, bersama-sama dengan askar-askar lain di sekelilingnya.

Penutup itu berkeriang-keriut dengan kuat akibat digerakkan. Tiba-tiba, ada satu bayang-bayang besar menerkam keluar dari arah kegelapan.

"Jangan buka keranda itu!" Kedengaran suara Jun Wu Xie. Jun Xian dan Jun Qing mendongak sebaik terdengar suara itu dan terlihat Jun Wu Xie duduk di atas binatang hitam yang kelihatan mengagumkan. Ada perasaan resah pada wajah gadis itu.

"Wu Xie? Kenapa kamu di sini?" Jun Xian kelihatan menggelabah dan mengerling sekilas pada Jun Qing.

Jun Qing perasan kerlingan ayahnya itu dan berjalan ke hadapan untuk menghalang Jun Wu Xie daripada terus melangkah.

"Wu Xie! Apa yang kamu buat di sini? Balik sekarang!" Buat pertama kalinya Jun Qing memarahi Jun Wu Xie dengan tegas. Dia tidak mahu Jun Wu Xie menyaksikan kubur ayahnya dicemarkan seperti ini.