webnovel

Jamuan di Istana (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie mengangguk kecil ke arah Lei Chen. Meskipun dia tidak tersenyum, perlakuan itu masih dianggap sopan.

Tindakan balas Jun Wu Xie itu membuatkan kemarahan Lei Fan semakin membara. Dia bergelut untuk menahan perasaan berang di dalam hatinya. Wajahnya tetap tersenyum.

Kalau bukan disebabkan insiden mengejutkan berkaitan Qu Ling Yue itu, pasti Jun Xie kini sudah menjadi pembantu yang paling rapat dengannya. Lei Chen pun tidak akan ada peluang untuk menunjuk-nunjukkan hubungan rapatnya dengan Jun Xie.

Kebenciannya begitu kuat sehinggakan dia berharap dapat menendang Lei Chen jauh-jauh. Tetapi dia terpaksa mengekalkan senyuman naif di wajahnya. Lei Fan hampir muntah darah akibat memendam perasaan.

Akhirnya selepas seketika menanti, Maharaja Negara Yan berjalan perlahan-lahan masuk ke tempat jamuan. Jubahnya yang labuh itu disulam dengan naga emas bercakar lima. Baginda juga memakai mantel yang berkilauan. Maharaja itu berjalan menuju takhta baginda.

"Beta pasti dah buat tetamu kehormat Beta ini ternanti-nanti. Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini sangat mengagumkan. Walaupun Beta tidak bertuah untuk menyaksikan semua anak-anak muda kita yang hebat dan berbakat ini bertempur, banyak yang Beta dengar di dalam Istana Diraja. Malam ini, Beta menjemput kamu semua ke sini untuk mengucapkan tahniah. Beta harap kamu semua akan mendapat kejayaan dan pengiktirafan serta menempa nama sendiri di seluruh dunia!" kata Maharaja itu sambil tersenyum mesra. Baginda mengangkat cawan sebagai tanda ucap selamat.

"Terima kasih Tuanku!"

Sepuluh anak muda itu berdiri tegak dan menghabiskan wain di dalam cawan mereka dengan sekali teguk.

"Duduklah. Kamu semua tak perlu menahan diri malam ini," kata Maharaja sambil ketawa. Dalam diam matanya memandang ke arah enam orang pelajar Akademi Zephyr itu. Baginda memerhatikan mereka seorang demi seorang lalu berasa amat terperanjat.

Baginda sudah melihat potret Jun Xie serta yang lain sebelum ini jadi baginda tahu lima daripada enam orang ini memiliki rupa paras yang amat menawan. Namun setelah dilihat dengan mata sendiri, baginda mendapati mereka berjuta kali lebih menawan daripada apa yang digambarkan di dalam potret-potret itu.

Mereka berenam mempunyai penampilan yang mengagumkan. Sekali pandang sahaja baginda sudah tahu yang anak-anak muda ini akan menjulang tinggi di masa hadapan!

Apabila memikirkan enam anak muda yang luar biasa dan hebat ini telah berpihak pada Lei Chen, Maharaja itu merasakan hatinya pedih. Kalau anak-anak muda ini rapat dengan Lei Fan, pasti hati baginda akan melonjak kegembiraan.

Fei Yan baru sahaja duduk ketika dia tiba-tiba membongkokkan badannya sedikit untuk merapati Jun Wu Xie.

"Orang yang duduk di sebelah Lei Chen tu Putera Keempat, Lei Fan?"

Jun Wu Xie mengangguk kecil. Lei Fan sudah dua kali bertemu dengannya. Sewaktu kedua-dua pertemuan itu, rakan-rakannya tidak berada di sampingnya.

"Kalau begitu, pelik juga." Bibir Fei Yan menguntum senyuman.

"Kenapa?" kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

"Kamu tahu kan, saya lakukan siasatan untuk dapatkan lebih banyak maklumat tentang Negara Yan? Kebetulan saya terjumpa potret gundik kesayangan Maharaja. Saya dah lihat potret tu, dia memang cantik. Menurut apa yang Lei Chen beritahu kita sebelum ni, Lei Fan pasti bukan dilahirkan olehnya. Tapi… rupa paras Lei Fan sangat mirip dengan wanita dalam potret tu." Fei Yan tiba-tiba merasakan penemuan ini agak menarik.

Anak luar nikah Maharani dan pegawai berpangkat tinggi, mirip dengan wanita kesayangan Maharaja? Apa yang sebenarnya sedang berlaku ni?

Jun Wu Xie mengecilkan mata. Ketika bertemu dengan Lei Fan sebelum ini, dia tidak begitu memerhatikan rupa paras putera raja itu.

"Patutlah Maharaja sayangkan sangat Putera Keempat. Wajahnya itu akan sentiasa mengingatkan Maharaja pada perempuan yang paling disayanginya. Pastilah Maharaja akan memanjakan Lei Fan, kan?" Fei Yan ketawa sendiri.

"Teknik Penukar Wajah," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

"Boleh diuraikan?" tanya Fei Yan dengan amat teruja.

"Saya perlu tahu kaedah apa yang digunakan." Jun Wu Xie memilih untuk tidak bertindak terburu-buru. Dalam dunia ini, ada banyak kaedah untuk melakukan Teknik Penukar Wajah. Seseorang itu perlu tahu kaedah mana yang digunakan sebelum dapat mendedahkannya.

Nampaknya Lei Fan sedar Jun Xie memandang ke arahnya. Dia berasa terkejut tetapi terus tersenyum naif. Dia mengangkat cawannya dan mengunjukkannya ke arah Jun Xie lalu berkata, "Malu pula Beta bila Jun Xie pandang Beta begitu. Jarang kita dapat peluang untuk minum-minum di tempat yang sama. Harap Jun Xie dapat terima."