webnovel

Itu Kumpulan yang Paling Kuat atau yang Paling Lemah? (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang Fan Jin yang sedang cuba tersenyum itu. Kemudian dia tiba-tiba berpusing dan berjalan pergi dari situ.

Fan Jin tak akan membiarkan Jun Xie berjalan berseorangan sambil dipandang dengan benci oleh orang-orang lain. Dia berlari mendapatkan Jun Xie.

Ning Xin dan Yin Yan memerhatikan Fan Jin serta Jun Xie, sambil bersembunyi di celah-celah kerumunan pelajar itu. Sebaik melihat kedua-duanya dipulaukan, mereka tersenyum gembira.

"Mereka nak ke mana tu?" Ning Xin terlihat Jun XIe tiba-tiba berpusing dan berjalan menuju sekumpulan besar para pelajar.

"Itu cuma sampah dari kampus cawangan," kata Yin Yan sambil nada menghina.

Sama seperti para pelajar dari kampus utama, para pelajar dari kampus cawangan juga perlu mengambil bahagian dalam Perburuan Roh. Namun suasana di sini amat berbeza. Muram dan suram. Roh berkontrak serta kuasa rohani mereka tidak setanding dengan pelajar kampus utama. Paksaan supaya menjalani pengalaman pahit untuk bertahan selama tujuh hari di dalam Hutan Roh Pertempuran yang penuh bahaya itu menyebabkan mereka berasa amat gerun.

Kumpulan pelajar kampus cawangan ini masih mengelamun memikirkan nasib malang mereka apabila terlihat dua orang dari kampus utama menghampiri mereka. Mata mereka semua terbeliak kerana terkejut.

Para pelajar dari kampus utama sentiasa melayan para pelajar kampus cawangan dengan penuh hina. Mereka selalu mengelakkan diri, malah langsung tidak ingin memandang para pelajar kampus cawangan ini.

Kini, betul-betul di hadapan mata mereka, dua orang pelajar kampus utama sedang berjalan menuju tempat di mana para pelajar kampus cawangan ini berkumpul. Mata mereka tertumpu pada dua orang ini.

Sewaktu mereka terus merenung Fan Jin dan Jun Xie, para pelajar ini langsung tidak dapat menduga apa yang dua orang ini mahukan dari mereka.

"Meow~" Kucing hitam kecil itu duduk di bahu Jun Wu Xie dengan ekornya dilingkarkan di belakang leher tuannya. Kucing itu menunjukkan ke satu arah dan Jun Wu Xie terus bergerak menuju tempat yang ditunjukkan.

Di kawasan itu, empat orang pemuda sedang berkumpul dan duduk di bawah sebatang pokok. Mereka berbual-bual sesama sendiri.

Tiba-tiba, satu susuk tubuh kecil muncul di hadapan mereka. Empat orang yang sedang rancak berbual itu mendongak. Sebaik terlihat wajah orang berkenaan, keempat-empat pelajar ini terus terdiam. Raut wajah mereka menunjukkan perasaan terkejut.

"Jun Xie?" Qiao Chu yang sedang menggigit sebilah rumput panjang tiba-tiba melompat bangun dari tanah sebaik terpandang Jun Xie. Dia menerkam Jun Xie tanpa ragu-ragu dan bersedia mahu memeluknya dengan erat.

Namun begitu, Qiao Chu tiba-tiba dihalang.

Wajah Fan Jin berkerut. Tangannya dihulurkan ke hadapan untuk menghalang pemuda yang ceria dan tampan ini daripada menerkam Jun Xie.

"Siapa kamu? Apa kamu nak buat pada Jun Xie?"

"Sepatutnya saya yang tanya kamu ni siapa?" Qiao Chu berkerut memandang Fan Jin yang muncul tiba-tiba. Dia sudah lama tak bertemu dengan Jun Xie, siapa pulak si dungi yang cuba menghalangnya ni?

"Nama saya Fan Jin, pelajar dari kampus utama," kata Fan Jin sambil mengerutkan keningnya.

Qiao Chu turut mengerutkan keningnya dan meludahkan bilah rumput dari mulutnya lalu berkata dengan selamba, "Qiao Chu."

Pergaduhan nampaknya akan tercetus di antara kedua-dua pemuda yang suka berterus-terang dan tidak berpura-pura ini.

Fei Yan terus berdiri pada ketika itu dan berjalan menuju ke sisi Jun Xie. Dia berkata sambil ketawa, "Kamu ingat lagi ya nak datang cari kami. Ingatkan kamu dah lupakan kami!"

Memandangkan kini Jun Xie ada terlalu ramai musuh, Fan Jin pada mulanya berniat mahu mengesahkan identiti orang-orang ini sebelum membenarkan mereka berinteraksi dengan Jun Xie. Tetapi apabila terlihat Fei Yan, si "gadis" manis yang tersenyum itu menyapa Jun Xie dengan mesra, dia tidak sanggup mengangkat tangannya untuk menghentikan Fei Yan.

Seorang lelaki mestilah….

Melayan perempuan dengan lembut dan hormat.

"Kamu kenal satu sama lain?" Fan Jin terdengar kata-kata Fei Yan lalu bertanya pada Jun Xie.

"Kami datang bersama-sama untuk mendaftar masuk ke Akademi Zephyr dulu," Rong Ruo turut berdiri dan berkata sambil tersenyum.

Fan Jin berpaling memandang Jun Xie. Selepas melihat Jun Xie mengangguk sedikit, Fan Jin akhirnya mempercayai kata-kata pemuda-pemuda ini dan tidak lagi terlalu berwaspada dengan mereka.

"Maaf kalau saya menyinggung perasaan kamu." Setelah memastikan kumpulan ini berniat baik terhadap Jun Xie, wajah Fan Jin menguntum senyuman mesra.