webnovel

"Kenapa kau bersusah-payah ni? Kau mati seorang saja lebih baik daripada membuatkan mereka semua mati bersama-sama kau, bukan?" Lelaki berjubah putih itu ketawa dengan ceria tetapi matanya kelihatan berbisa, seperti telah dicelup di dalam racun.

Jun Wu Xie mengetap giginya dengan kuat. Sejak dilahirkan semula, inilah kali pertama dia merasai kegagalan.

Di dalam dunia yang aneh ini, ada ramai musuh berkemahiran tinggi dan racun Jun Wu Xie tak sentiasa berkesan ke atas mereka!

"Kami hidup atau mati bukan kamu yang tentukan. Bunuh saja saya kalau kamu mampu! Tak payahlah membebel!" Qiao Chu bersusah-payah menolak dirinya untuk bangun. Sebahagian mukanya lebam teruk, bahagian atas matanya luka dan darah mengalir dengan laju. Dia tak dapat melihat melalui sebelah matanya itu tetapi dia masih enggan mengalah. Qiao Chu mengheret dirinya dan berdiri di sebelah Jun Wu Xie. Dia termengah-mengah sedikit dan meletakkan tangan di atas bahu Jun Wu Xie.

"Saya dah kata dulu. Selagi kita berada dalam kawasan Kumpulan Qing Yun, saya akan melindungi kamu. Kita masih lagi berada di Puncak Berawan, bukan?" Qian Chu menudingkan jari ke arah laluan turun dari gunung itu. Dia cuba tersenyum dengan wajahnya yang berlumuran darah itu.

"Kita dah berjanji untuk balik buat eliksir. Kalau kamu tak pergi dari sini, kami pun sama." Hua Yao mengheret dirinya menuju ke arah mereka. Tulang bahunya hancur. Walaupun dia mampu mengawal bentuk dan keadaan tulangnya, dia tidak boleh mengalihkan kedudukan tulang yang sudah hancur.

Pernafasan Jun Wu Xie menjadi perlahan pada ketika itu. Satu perasaan aneh muncul dari hatinya dan menyelubungi dirinya. Perasaan ini agak asing... tetapi pada masa yang sama masih lagi sesuatu yang dikenalinya.

"Kalau kau semua teringin sangat nak mati, aku boleh tunaikan!" Lelaki berjubah putih itu menggunakan seluruh kekuatan tangannya dan mematahkan leher binatang hitam itu. Binatang tersebut berhenti meronta-ronta. Keempat-empat kakinya menjadi kaku.

Qiao Chu dan Hua Yao mula bergerak untuk menyerang semula, tetapi kali ini Jun Wu Xie menghalang mereka dengan tegas. Dia menendang tanah lalu melompat, melayang menuju lelaki berjubah putih itu.

Dia belum cukup kuat, dan mungkin tidak akan dapat menyelamatkan dirinya. Tetapi kalau dia mensasarkan kemusnahan bersama-sama, itu sesuatu yang dia mampu lakukan!

Datuk, Pak Cik… Wu Xie minta maaf…

Mata Jun Wu Xie bersinar penuh keazaman dan jarum-jarum perak yang muncul di tangannya dicucuk ke arteri penting badannya sendiri. Tubuh badannya dengan pantas menghampiri lelaki berjubah putih itu. Lelaki tersebut terpegun seketika, tak pasti kenapa Jun Wu Xie tiba-tiba meluru ke arahnya dan menempah maut. Sewaktu dia teragak-agak, binatang hitam yang telah dipatahkan lehernya tadi tiba-tiba bergerak kembali dan menerkam belakang badan lelaki itu. Binatang hitam tersebut menggigit leher lelaki itu sebelum dia sempat bertindak.

Lelaki berjubah putih itu naik berang sewaktu gigitan binatang hitam itu menyebabkan dia berdarah. Dia menggenggam kepala binatang hitam itu dengan satu tangan dan mahu mencampakkan binatang tersebut jauh dari badannya. Satu kuasa yang aneh tiba-tiba mengalir ke seluruh badan lelaki itu. Dia merasakan seperti di dalam tubuhnya itu ada satu roh lain yang telah menerpa masuk secara paksa! Ini membuatkan kesedarannya menjadi kucar-kacir.

"Kamu mahu sangat roh berkontrak saya? Baiklah, saya akan berikan! Selepas kamu mati! Saya pasti akan berikan kepada kamu!" Jun Wu Xie berdiri di sebelah lelaki berjubah putih itu dan mengangkat kepalanya. Matanya yang dingin kelihatan menakutkan. Keazamannya teguh dan tidak boleh disangkal.

Sewaktu sepasang mata dingin itu merenungnya, lelaki berjubah putih itu mendapati dirinya tidak mampu bergerak!

Taring binatang hitam besar itu masuk semakin dalam ke daging lelaki itu dan membuka laluan ke arah rohnya.

Jun Wu Xie dan kucing hitam kecil itu merupakan gabungan satu roh. Apabila roh mereka membara, mereka mampu menyerang roh musuh mereka dengan kuat serta mematahkan kekuatan kuasa rohani musuh tersebut.

Lelaki berjubah putih itu dengan mudah dapat menundukkan mereka, tetapi serangan ke atas rohnya tidak mudah dapat dielak!

Jun Wu Xie membuatkan binatang hitam itu berpura-pura mati supaya mereka mendapat peluang kecil ini!

Dia lebih rela mengorbankan diri untuk mengalahkan musuh daripada menyebabkan kematian rakan-rakan seperjuangannya sewaktu mereka bertempur untuk melindunginya!

Tidak lagi! Tak ada orang perlu mati untuk melindunginya lagi!

Tidak sekali-kali! Dia akan tanggung semuanya!