webnovel

Bandar Chan Lin (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Fan Zhuo mencari Fan Jin dan memberitahu abangnya yang dia mahu keluar bersama-sama Jun Xie. Lama Fan Jin mendiamkan diri. Setelah melihat Fan Jin teragak-agak, Jun Xie mengatakan sesuatu yang menghilangkan perasaan bimbang Fan Jin.

Bukan hanya Fan Zhuo dan Jun Xie yang akan keluar bersama-sama. Mereka akan turut ditemani Qiao Chu dan rakan-rakannya.

Setelah melihat sendiri kuasa Qiao Chu dan rakan-rakannya yang menakjubkan, Fan Jin yakin dengan perlindungan yang dapat mereka berikan. Namun begitu, kampus cawangan masih lagi terletak agak jauh dari kampus utama dan agak sukar bagi Jun Xie untuk memberitahu hal ini kepada Qiao Chu dan yang lain. Jadi tugas ini digalas oleh Fan Jin.

Sebagai anak Guru Besar, mudah untuk dia pergi ke kampus cawangan dan meminta pelepasan pelajar-pelajar tersebut.

Tugasan itu diselesaikan pada tengah hari itu juga. Malah Fan Jin turut menyediakan kereta kuda untuk mereka dan mengingatkan supaya mereka berhati-hati dalam perjalanan.

Perjalanan ke rumah lelongan yang paling dekat dengan Akademi Zephyr mengambil masa kira-kira separuh hari. Kebetulan pula pada hujung bulan itu, para pelajar diberikan lima hari cuti kerana berjaya menempuh cabaran meletihkan di Hutan Roh Pertempuran sebelum ini. Dalam tempoh waktu yang diberikan itu, ada pelajar yang memilih untuk memulihkan diri dengan tinggal di akademi dan ada yang berkumpul lalu pergi ke bandar-bandar berdekatan dengan Akademi Zephyr untuk berehat.

Bandar paling maju dan sibuk yang berdekatan dengan Akademi Zephyr ialah Bandar Chan Lin.

Chan Lin dahulunya hanya bandar kecil yang tidak begitu dikenali. Disebabkan lokasinya yang berdekatan dengan Akademi Zephyr, bandar ini berkembang sedikit demi sedikit sehingga berkembang maju seperti sekarang. Yuran kemasukan ke Akademi Zephyr amat tinggi dan semua pelajarnya datang daripada keluarga yang kaya dan berpengaruh. Ahli-ahli perniagaan telah menyasarkan peluang perniagaan ini dengan tepat dan berpusu-pusu datang ke bandar kecil ini untuk cuba mendapatkan tempat di bandar tersebut.

Pada hari-hari cuti mereka pada hujung setiap bulan, para pelajar Akademi Zephyr dari kampus utama dan kampus cawangan akan menaiki kereta kuda dan bergerak menuju Bandar Chan Lin. Para pelajar ini akan menghabiskan kekayaan mereka di sana untuk melepaskan tekanan yang telah mereka kumpulkan selama sebulan.

Kampus utama dan kampus cawangan Akademi Zephyr tidak berada di lokasi yang sama. Jadi Qiao Chu dan yang lain hanya dapat bertemu dengan Jun Wu Xie setelah mereka tiba di Bandar Chan Lin.

Sewaktu kereta kuda itu bergerak, Fan Zhuo memandang ke luar tingkap dengan mata yang bersinar-sinar, memerhatikan pemandangan yang berlalu. Matanya menikmati setiap pokok dan bilah-bilah rumput. Wajahnya yang sedikit pucat itu menjadi berseri-seri.

Setelah lama terlantar sakit, Fan Zhuo tidak ingat bila kali terakhir dia keluar dari hutan buluh itu atau keluar dari kawasan Akademi Zephyr. Tumbuh-tumbuhan dan bangunan-bangunan yang dapat dilihat sepanjang jalan itu mungkin tidak menarik dan membosankan. Namun di mata Fan Zhuo, semuanya kelihatan sangat menarik.

Fan Zhuo dapat membayangkan tidak lama lagi dia akan dapat pulih daripada keadaannya yang diselubungi masalah kesihatan ini. Dia akan dapat menikmati semua pemandangan menakjubkan yang ada di dunia ini, mengembara ke seluruh pelusuk lautan dan gunung-ganang.

Keinginannya terhadap masa depan mengujakan yang diimpikannya itu mula memuncak. Fan Zhuo berpaling untuk merenung Jun Xie.

Jun Wu Xie tidak berminat dengan pemandangan itu. Apabila melihat Fan Zhuo memandangnya, tanpa sedar dia mengambil kucing hitam kecil di pangkuannya dan mencampakkan kucing itu tepat ke muka Fan Zhuo!

"Meow!!"

Apa hal ni? Kalau jatuh ke luar tingkap tadi macam mana?

Fan Zhuo terkejut sewaktu kucing itu dicampakkan ke mukanya. Dia cepat-cepat mengambil kucing yang gebu itu dan memeluknya. Tidak lama kemudian, wajahnya mula kemerahan-merahan sewaktu jari-jemarinya mengusap-usap bulu kucing itu yang lembut.

Kucing hitam kecil itu berhenti bergelut lalu mula menggeliat. Matanya sayu memerhatikan Tuan Embek Embek yang semakin selesa dalam pelukan Jun Wu Xie.

Sejak kemunculan kambing biri-biri bodoh tu, kedudukannya di mata Jun Wu Xie semakin hari semakin rendah.

[Hidup ini tidak ada lagi "meowaknanya!"]