webnovel

Hati Su Qianci tersentak dengan bunyi pintu yang dihempas kuat itu. Dia hanya melihat Li Sicheng dengan bingung. Selepas seketika, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon seseorang.

Song Yifan baru sahaja menaiki kapal terbang ketika dia mendapat panggilan daripada Su Qianci. Disebabkan itu adalah kali pertama Su Qianci menelefonnya, dia berasa sangat gembira. Dia segera menjawabnya dan memanggil, "Qianci!"

Sebaik mendengar suara Song Yifan, Su Qianci merasakan seperti telah bertemu penyelamatnya. Air matanya berterusan jatuh ketika dia memanggil lemah, "Ayah…"

Song Yifan terkejut mendengar tangisannya dan segera bertanya, "Apa yang berlaku?"

Suaranya tersekat dengan tangisan dan dia tidak mampu berkata-kata. Su Qianci terus menangis dengan kuat.

Song Yifan mula panik. "Apa dia? Beritahu Ayah."

Su Qianci menenangkan dirinya dan berkata, "Boleh saya tinggal dengan Ayah selama beberapa hari? Saya…"

"Dah tentu. Kamu di mana? Ayah akan pergi ambil kamu. Jangan menangis dan terus duduk di tempat kamu berada."

Song Yifan menurunkan kembali bagasinya yang telah diletakkan di petak atas kepala. Tanpa menghiraukan pramugari yang memandangnya dan bertanya apa yang berlaku, dia terus turun dari kapal terbang itu dan berjalan keluar dari lapangan terbang.

Su Qianci tidak menunggu Song Yifan di dalam rumah tetapi di persimpangan jalan yang tidak akan dilalui Li Sicheng. Dia hanya membawa sepasang pakaian di dalam bagasinya. Song Yifan tiba dengan menaiki teksi. Sebaik melihat Su Qianci, dia menyuruh pemandu teksi berhenti. Apabila melihat mata Su Qianci yang bengkak, dia tidak berani bertanya banyak dan terus meletakkan bagasi Su Qianci ke dalam teksi sebelum membawa anak angkatnya itu balik ke rumahnya.

Tang Mengying sedang mendapatkan rawatan bagi mukanya ketika dia menerima panggilan daripada Li Sicheng. Dia langsung tidak menyangka Li Sicheng mahu melawatnya. Ini adalah kali pertama sejak zaman kolej mereka. Walaupun wajahnya masih bengkak akibat ditampar Su Qianci, Tang Mengying tidak dapat menahan diri daripada tersenyum dengan kejutan itu.

Li Xiao dan Li Beixing turut ada bersama Li Sicheng. Sebaik melihat mereka, Tang Mengying terus tersenyum dan bertanya, "Abang Sicheng, kamu perlukan apa-apa daripada saya?"

Li Sicheng menjelingnya dengan dingin dan berkata, "Ikut saya."

Tang Mengying merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan bertanya dengan gementar, "Kenapa? Tak bolehkah kita bercakap di sini?"

"Jangan buat saya terpaksa ulang."

Mata Tang Mengying terkebil-kebil dan dia segera berdiri. Sikap Li Sicheng terhadapnya masih tidak berubah. Sudah hampir tiga bulan sejak kali terakhir dia berada berhampiran lelaki itu. Tang Mengying mengimbas kembali detik-detik itu.

Ketika mengikuti Li Sicheng, Tang Mengying merasakan seperti tempat itu sangat dikenalinya.

Dia sudah berada di sini semalam dan juga hari sebelumnya. Ini ialah bahagian genetik. Tang Mengying berhenti berjalan kerana mempunyai firasat buruk. "Abang Sicheng, kenapa kamu bawa saya ke sini?"

"Untuk buat ujian darah."

Pada masa yang sama, Cheng You datang menghampiri mereka dengan satu fail di tangannya. "Encik Li, ini keputusan ujian semalam."

Li Sicheng mengambil fail itu dan melihat kandungannya. Ia sama seperti keputusan yang dilihatnya semalam. Pandangan matanya kelihatan sedingin ais. "Macam mana kamu nak jelaskan tentang keputusan ini?"

Jantung Tang Mengying berdegup kencang ketika dia memberanikan dirinya dan bertanya, "Apa maksud kamu? Bukti dah ada di depan mata, kamu masih nak nafikannya?"

"Jadi bagaimana dengan yang ini?"

Tang Mengying mengambil keputusan itu dari tangan Li Sicheng dan terus melihat nombor yang tertera padanya - 0.00%.