webnovel

Anak Muda, Gunakan Lidah Kamu untuk Cari Kesalahannya

編集者: EndlessFantasy Translation

Cuaca semakin sejuk seolah-olah musim luruh bertukar kepada musim sejuk dalam sekelip mata. Pejalan-pejalan kaki di jalan dalam bandar diraja sudah mula memakai baju tebal berlapik kapas. Sambil berjalan di awal pagi, wap keluar dari mulut mereka bila menghembus nafas.

Bang bang bang!

Bunyi hentaman datang dari arah pintu masuk. Bu Fang yang baru saja bangun dan sedang berlatih Teknik Pemotongan Meteor di dapur, agak terkejut. Dia berkata dalam hati, 'Siapa yang datang ketuk pintu pagi-pagi buta ni?'

Bu Fang meletakkan pisaunya dan segera membuka pintu restoran. Orangnya adalah Ouyang Xiaoyi yang memakai jaket merah jambu. Matanya yang besar itu berkelip-kelip sambil dia memandang Bu Fang.

"Xiaoyi? Kenapa kamu datang awal hari ni?" Bu Fang bertanya kehairanan. Dia berkata dalam hati, 'Bukankah dia biasanya sampai selepas Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya habis makan?'

Xiaoyi termengah-mengah seperti dia berlari-lari anak semasa datang ke situ. Wajah lembutnya kemerah-merahan dan hujung hidungnya menjadi sedikit merah kerana cuaca sejuk. Dia nampak lebih comel.

"Tauke busuk, Kekanda Tuan Putera akan berangkat meninggalkan bandar diraja hari ini. Jom kita ucapkan selamat tinggal." Ouyang Xiaoyi berkata dengan penuh harapan. 

Bu Fang termangu-mangu. Dia baru teringat yang Ji Chengxue ada sebut yang dia akan meninggalkan bandar diraja untuk menyertai kempen peperangan terhadap sekta di luar sempadan.

Bila Bu Fang mengenangkan yang Ji Chengxue sudah lama menjadi pelanggannya, dia fikir dia patut mengucapkan selamat tinggal. Jadi, dia tak menolak ajakan Ouyang Xiaoyi dan mengangguk setuju.

"Tunggu saya." Bu Fang berkata sambil masuk ke dalam kedai. Selepas seketika, dia membawa keluar satu papan kayu.

Di atas papan kayu itu tertulis:

Restoran ditutup hari ini.

Selepas menggantung papan itu di pintu masuk, Bu Fang mencangkung dan mengusap bulu Si Hitam yang lembut dan bersih itu. Dia menutup pintu masuk dan meninggalkan restoran bersama Ouyang Xiaoyi.

Bu Fang memakai jaket luar daripada fabrik Kashmir yang membaluti badannya dan skaf kelabu gelap yang dililit di tengkuknya untuk menghalang angin sejuk.

Ouyang Xiaoyi tak sangka yang Bu Fang menerima ajakan dengan mudah. Dia hanya mencuba-cuba saja bila dia datang bertanyakan Bu Fang. Dia juga sudah bersedia sekiranya ajakan dia ditolak. Tapi, apa yang berlaku jauh daripada sangkaannya.

Kedua-dua mereka berjalan ke permulaan lorong itu. Xiao Xiaolong dan Xiao Yanyu, adik-beradik yang rupawan itu sedang berdiri berhampiran. Wajah Xiao Yanyu ditutup vel jadi wajahnya yang sempurna itu tak dapat dilihat. Auranya halus tapi menonjol, seperti seorang dewi yang turun dari langit.

Kecederaannya hampir pulih dan ia tak menghalang pergerakannya. Bila Xiao Xiaolong nampak Bu Fang dan Ouyang Xiaoyi, dia melambai-lambaikan tangannya dari jauh.

Kedua-dua adik beradik itu memakai kot luar bulu berwarna putih yang menyerlahkan lagi aura megah mereka. Bila dipadankan dengan rupa mereka yang sempurna itu, mereka menjadikan pemandangan di jalan itu begitu cantik.

"Tauke Bu, kamu setuju ikut kami ucap selamat tinggal kepada Tuan Putera?!" Xiao Xiaolong memandang Bu Fang dengan perasaan kagum dan rasa tak percaya.

Sebelum ini, bila Ouyang Xiaoyi memberitahu yang dia mahu mengajak Bu Fang, dia fikir Bu Fang yang tak mesra itu tak akan setuju. Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya.

"Kenapa? Pelik ke?" Bu Fang berkata sambil memandang Xiao Xiaolong tanpa perasaan.

Xiao Xiaolong tergelak dengan kekok dan tak berkata apa-apa. Xiao Yanyu, yang berdiri di sebelah Bu Fang, memandangnya. Selepas seketika, dia tunduk hormat dan berkata dengan lembut, "Terima kasih kerana selamatkan saya…"

Bu Fang mengangguk dan tiba-tiba mereka berempat terdiam. Kemudian, mereka meninggalkan lorong itu dan menuju ke jalan utama bandar diraja.

Angin awal pagi itu sejuk sampai ke tulang. Bu Fang mengetatkan skaf di tengkuknya sambil memandang sekeliling. Dia jarang meninggalkan restoran itu jadi dia tak berapa mengenali bandar diraja. Walaupun dia telah berada di bandar diraja itu selama hampir dua bulan, dia masih tak biasa dengan jalan-jalan di situ. 

Di pinggiran jalan, langit semakin cerah dan gerai-gerai penjaja mula dibuka. Dalam cuaca sejuk itu, mereka menjerit memanggil pelanggan sambil wap keluar dari mulut mereka.

Di kedua-dua belah jalan itu, kelihatan pembantu kedai yang mengantuk sedang menguap sambil mereka membuka kedai. Selepas berehat semalaman, bandar diraja itu bangun perlahan-lahan dengan cahaya pagi.

Bu Fang tak menyorokkan rasa ingin tahunya. Ouyang Xiaoyi pula dengan cerianya memperkenalkan bangunan dan benda-benda lain di sekeliling tempat itu kepada Bu Fang.

"Itu ke Restoran Phoenix Abadi yang dikatakan restoran nombor satu dalam bandar diraja?" Bu Fang tiba-tiba berkata sambil dia menunjuk ke arah bangunan tiga tingkat yang diubah suai dengan cantik.

Ouyang Xiaoyi dan lain-lain termangu-mangu seketika dan kemudian mengangguk.

Ouyang Xiaoyi menunjuk ke arah perkataan "Restoran Phoenix Abadi" yang ranggi di atas pintu masuk. Dia kemudian berkata dengan comel, "Tauke busuk, tiga perkataan itu ditulis oleh Nenda Maharaja!"

Sambil Bu Fang memandangnya, dia mendapati yang tiga perkataan itu penuh dengan konotasi. Kaligrafi maharaja memang hebat. Sayangnya, kalau sistem tak menolak, dia mungkin sudah menerima permintaan maharaja pada masa itu.

Dia pun teringin untuk dapatkan papan tanda untuk restorannya secepat mungkin.

"Misi mendadak: tuan, sila rasa tiga belas sajian di Restoran Phoenix Abadi, nilai kualiti dan kelemahan mereka dan cari tiga kekurangan setiap hidangan pada hari ini."

(Orang yang berjaya perlu melindungi kelemahan mereka dengan kekuatan. Anak muda, gunakan lidah kamu yang cerewet untuk cari kesalahan Restoran Phoenix Abadi.)

Ganjaran misi: Peningkatan pertapaan daya tulen sebanyak sepuluh peratus, kaedah memasak tahap tinggi bagi salah satu sajian dari Restoran Phoenix Abadi.

Sambil Bu Fang meneliti restoran itu, suara bersungguh sistem berbunyi dalam mindanya dan menyebabkan dia termenung seketika.

Dia berkata dalam hati, 'Satu lagi misi mendadak? Kali ini aku perlu cari kesalahan dengan lidah?'

'Baiklah… Nampaknya, misi ini memang sesuatu yang sistem akan beri. Tapi, tak salah sorokkan kelemahan dengan kekuatan.'

Walaupun Bu Fang dapat pertolongan sistem, dia tak boleh mengasingkan diri daripada orang lain. Ia tak akan membantu perkembangannya untuk menjadi Tuhan Masakan.

Lagipun, ganjaran misi mendadak kali ini ialah sepuluh peratus peningkatan pertapaan daya tulen dan kaedah memasak sajian baru. Tak lama lagi, dia akan mencapai Semangat Pertempuran kelas keempat. Bila tiba masanya, tahap sistem akan meningkat dan menyediakan banyak fungsi lain.

"Tauke busuk, kenapa kamu berangan? Kita kena segera kalau tak nanti tak sempat ucapkan selamat tinggal kepada Kekanda Tuan Putera." Ouyang Xiaoyi berkata sambil menarik kot Bu Fang.

Bu Fang memberi perhatian kepada mereka semula dan mengangguk. Dia memandang Restoran Phoenix Abadi sekali lagi sebelum kembali menyertai mereka yang menuju ke jalan utama bandar diraja.

Tak lama kemudian, mereka berempat tiba di pintu gerbang bandar. Di kedua-dua belah pintu gerbang itu, satu barisan askar yang memakai perisai logam sedang berdiri. Ekspresi mereka serius dan aura mereka suram.

Di luar tembok bandar, sekumpulan tentera sedang berbaris dengan teratur. Mereka askar di bawah putera ketiga yang akan melindunginya sepanjang kempen melawan sekta.

Ji Chengxue tak memakai jubah hari itu. Sebaliknya, dia berpakaian seragam tentera dengan perisai dan ketopong logam. Wajah tampannya tak selembut biasa. Sebaliknya, dia nampak tegas.

"Terima kasih kerana datang mengucapkan selamat tinggal, Tauke Bu. Beta berbesar hati." Bila Ji Chengxue nampak Bu Fang datang mengucapkan selamat tinggal, dia berasa sedikit terkejut dan terharu.

"Tuan Putera, jagalah diri semasa kempen itu. Badan Tuan Putera lebih penting daripada yang lain. Apa-apapun, ingatlah siapa diri Tuan Putera!" Xiao Meng menggesa dengan bersungguh-sungguh.

Kempen terhadap sekta daripada luar sempadan itu bukanlah perkara kecil dan ia sangatlah bahaya. Satu kesilapan boleh menyebabkan kemusnahan seluruh tentera. Lagipun, ahli sekta dari luar sempadan ialah pakar. Walaupun askar empayar kuat, seekor naga yang berkuasa tak mungkin dapat menawan ular di dalam sarangnya. Maharaja Changfeng sendiri pun tak berjaya menghapuskan sekta-sekta ini walaupun bertahun-tahun lamanya bertarung.

Ji Chengxue mengangguk sambil dia menaiki unikorn berwarna perang gelap dan menggenggam tali kekangnya. Dia memandang ke arah istana diraja. Tak dapat dilihat kegembiraan mahupun kesedihan dalam matanya.

Tentera itu berarak teratur dan perlahan meninggalkan bandar diraja. Kelibat mereka perlahan-lahan hilang di ufuk... 

Bila kelibat Ji Chengxue sudah tak kelihatan, Ouyang Xiaoyi memusingkan badan dan berkata kepada Bu Fang, "Tauke busuk, kita dah ucapkan selamat tinggal kepada Tuan Putera. Adakah kita akan kembali dan buka restoran?"

Xiao Yanyu dan Xiao Xiaolong memandang ke arah mereka pada masa yang sama. Kalau Bu Fang nak balik buka restoran, mereka pun akan ikut sekali. Dapat makan sajian Bu Fang setiap hari ialah satu kegembiraan.

Namun, Bu Fang menggelengkan kepalanya tanpa perasaan dan memandang ke arah Restoran Phoenix Abadi. Hujung mulutnya menggulung ke atas.

"Jom kita makan di Restoran Phoenix Abadi hari ini dan cuba bagaimana rasanya makanan dari restoran nombor satu di bandar diraja…"