66 Boleh Beta Pilih Nama untuk Restoran Kamu?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kerja bawah Beta, gaji bulanan kamu sebanyak... sepuluh ribu biji kristal!"

Maharaja berkata dengan senyuman sambil melihat Bu Fang dengan mata yang bersinar dan menghulurkan tangannya yang menggeletar.

Bu Fang memandang ke arahnya tanpa emosi dan dia perasan tangan maharaja yang menggeletar itu. Matanya menjadi kabur dan dia berkata di dalam hatinya, 'Hmm? Tadi Maharaja cakap aku dapat berapa untuk sebulan? Sepuluh ribu biji kristal?'

"Tuan, sebagai seorang yang mahu menjadi Tuhan Masakan, matlamat utama Tuan tak boleh dicemarkan dengan ideologi materialisme. Tuan perlu kuatkan azam dan tak boleh terpengaruh dengan kekayaan! Tuan perlu berusaha sendiri untuk mencipta masa depan yang indah."

Sokongan sistem yang bersungguh-sungguh itu telah menyedarkan Bu Fang daripada angan-angannya dan azamnya menjadi pudar. Bu Fang tersenyum lebar.

Tanpa rasa tak peduli, Bu Fang melihat maharaja dengan pandangan yang serius dan bertanya, "Kenapa Patik harus bekerja di bawah Tuanku?"

Senyuman yakin pada muka maharaja tiba-tiba membeku dan dia berkata dengan muka masam, "Sebab Beta seorang maharaja dan juga pemerintah tertinggi. Beta tak layak ke upah kamu sebagai cef diraja?"

"Ramai cef di dunia ni yang mahu bekerja di dapur diraja hanya untuk memasak sajian untuk Beta..."

"Tuanku ni hebat sangat? Jika mereka mahu bekerja di sana, biarkanlah mereka." Kata Bu Fang dengan selamba. Raut wajahnya kelihatan tenang. Dia tak bersikap sombong, seolah-olah dia sedang berbual tentang perkara biasa.

Maharaja tiba-tiba menjadi kaku. Xiao Meng yang memerhati mereka berdua dari jauh pun turut terkejut.

Apabila maharaja sedar semula, mulutnya menggerenyet. Bu Fang mungkin satu-satunya orang di dunia yang berani bercakap dengan cara seperti itu... Namun, dia tak boleh berbuat apa-apa terhadap Bu Fang di dalam restoran itu.

"Jangan buang tenaga, Tuanku. Patik tak akan terpengaruh dengan sesiapa pun. Sekiranya Tuanku mahu makan hidangan Patik, datang saja ke restoran Patik. Patik memang tak berminat langsung nak bekerja di dapur diraja tu." Kata Bu Fang sambil berdiri. Nadanya tenang, seolah-olah dia hanya sedang minum air.

Maharaja memberi pandangan penuh makna kepada Bu Fang dan menganggukkan kepalanya. Dia memang keras kepala. Ada perkara yang perlu ditanya kalau mahu tahu jawapannya.

'Cef ni idealistik dan bercita-cita tinggi.' Kata maharaja di dalam hatinya. Dia tak berkata apa-apa lagi. Dia mengecilkan matanya dan terus menikmati Wain Jed Penyejuk Hati itu.

Tak lama kemudian, maharaja akhirnya selesai makan. Semasa dia membersihkan janggutnya, kedutan di wajahnya seolah-olah hidup.

"Hebat! Sungguh enak! Sudah lama Beta tak merasai hidangan lazat macam ni! Kamu berhak diberi ganjaran!" Maharaja berkata sambil mengusap janggutnya, "Ganjarannya... susah nak tentukan."

Bu Fang menjadi bingung. Dia memang tak mengharapkan maharaja untuk memberikan apa-apa ganjaran.

Maharaja meletakkan kedua-dua tangannya di bahagian belakangnya apabila dia melihat persekitaran restoran itu. Tiba-tiba, dia melemparkan senyuman di mukanya.

"Tauke Bu, Beta dah tahu nak beri ganjaran apa kepada kamu. Kristal biasa mungkin terlalu murah dan kamu tak guna eliksir yang mahal. Beta nampak restoran kamu masih tak ada papan tanda, jadi boleh tak kalau Beta sendiri pilih nama untuk restoran kamu?" Maharaja memandang Bu Fang dengan senyuman yang mesra.

Dari sudut pandangannya, Bu Fang memang tak akan menolak ganjaran ini. Kalau maharaja sendiri yang menulis papan tanda itu, restorannya pasti akan mencapai kemasyhuran dan menjadi sangat terkenal dalam Empayar Bayu. Ganjaran itu jauh lebih praktikal bagi sesebuah restoran daripada dibayar dengan kristal.

"Notis kepada tuan, perabot dalaman restoran akan disediakan oleh sistem. Sistem papan tanda juga akan disediakan. Tuan rumah tak boleh menerima sebarang papan tanda yang diberikan oleh orang lain."

Bu Fang dah tahu tentang perkara itu. Sifat sistem yang angkuh itu memang tak benarkan dia menerima ganjaran yang mewah sebegitu.

"Patik bersyukur dengan ganjaran yang diberikan. Jika Tuanku suka hidangan Patik, Tuanku boleh datang ke restoran Patik bila-bila masa saja. Tapi Patik tak perlukan papan tanda Tuanku. Perabot dalam restoran ini pun masih elok, jadi tak perlu tukar apa-apa." Kata Bu Fang tanpa perasaan. Dia tidak mengendahkan suara hatinya dan menolak niat baik maharaja.

Maharaja berasa sangat malu. Pelawaan untuk bekerja di bawahnya ditolak dengan kejam oleh Bu Fang. Sekarang, Bu Fang menolak pemilihan nama untuk restorannya.

Memang restoran berhati kejam ini sungguh biadap, tapi mereka ada hak untuk berbuat demikian.

"Bagus, sangat bagus! Beta ingin ucapkan terima kasih kepada Tauke Bu atas layanan baik kamu." Maharaja mengangguk kepalanya dengan wajah tanpa ekspresi. Dia meletakkan beberapa biji kristal di atas meja dan keluar dari restoran bersama pengiring Xiao Meng.

Ramai pelanggan tetap restoran Bu Fang tak boleh masuk ke dalam disebabkan oleh lawatan maharaja tadi.

Xushi pada asalnya merancang untuk makan Ikan Rebus pada hari itu. Bagaimanapun, ketika tiba di pintu masuk lorong, dia mendapati ramai orang sedang menghalang jalan itu. Dia terkejut dengan orang ramai yang berkerumun di situ dan hanya mengetahui sebabnya selepas bertanya beberapa orang.

"Ya Tuhan, Maharaja sendiri telah melawat restoran Tauke Bu! Aku mesti maklumkan perkara ni kepada Putera Mahkota dengan segera!" Xushi terkejut. Seleranya dengan serta-merta hilang dan dia terus pergi dari tempat itu.

Pada masa yang sama, berita tentang lawatan maharaja ke sebuah restoran yang terletak di dalam lorong itu telah tersebar di seluruh kota diraja dengan pantas sekali.

Maharaja yang terkenal itu telah menyebabkan kesan selebriti sebegitu. Restoran Fang Fang betul-betul menjadi terkenal sekarang. Disebabkan oleh kemasyhuran maharaja, restoran itu terkenal di seluruh kota diraja. Hampir setiap orang kaya dan berpengaruh tahu tentang perkara ini.

"Apa yang kamu kata? Benarkah Ayahanda sendiri pergi ke restoran tu?"

Di sebelah kiri Pintu Gerbang Dataran Misteri Menakjubkan di dalam istana Putera Mahkota, Xushi melaporkan perkara itu kepada Putera Mahkota dengan jujur. Anak mata Putera Mahkota mengecil dan dia tiba-tiba berdiri.

"Ya, Tuan Putera. Pintu masuk ke lorong itu disekat sepenuhnya oleh Ketua Sida-sida Lian dan pengawal-pengawalnya... " Kata Xushi.

Putera Mahkota menyilangkan kedua-dua tangan di bahagian belakangnya sambil berjalan mundar-mandir. Kemudian dia mengangkat kepalanya dan bertanya, "Xushi, ada berita baru tentang Ayam Phoenix Merah Darah yang saya suruh kamu cari?"

"Tuanku... ada satu berita. Ia akan tiba di bandar diraja dalam beberapa hari lagi." Kata Xushi sambil menunduk hormat.

Ji Chengan mengangguk kepalanya dengan ekspresi yang serius. "Beta tak pasti sama ada Ayahanda dapat tahu tentang Sup Ayam Phoenix Berempah Sej atau tak semasa lawatannya. Bila Ayahanda tahu tentang perkara ni, Beta perlu berikan Ayam Phoenix Merah Darah dengan segera. Kalau Ayahanda tak tahu... Beta sendiri akan bawa bahan-bahannya dan suruh Tauke Bu masak Sup Ayam Phoenix Berempah Sej."

Putera Mahkota mengurut jari-jemarinya dan bersenyum.

...

Kediaman Raja Yu, di tengah-tengah taman.

Raja Yu, Ji Chengyu sedang memakai pakaian kasual dan rambut panjangnya dilepaskan. Dia memegang debu kristal di tangannya sambil berjalan perlahan-lahan di sekitar kolam yang terletak di tengah-tengah taman. Dari masa ke semasa, dia akan mencubit sedikit debu kristal dan mencampakkannya ke dalam kolam.

Apabila debu kristal masuk ke dalam kolam, ikan-ikan yang pelbagai warna di dalam air berebut-rebut untuk makan debu kristal itu.

Ada seekor ikan merah yang tak sempat makan debu kristal itu dan ia tubuhnya menggeletar kemarahan. Mulutnya terbuka luas dan mendedahkan giginya yang tajam. Ia menelan ikan yang berjaya makan debu kristalnya itu.

Bau darah dari tengah-tengah kolam merebak ke udara...

Raja Yu menunjukkan ekspresi gembira di wajahnya, tapi pandangannya agak dingin apabila dia melihat ikan merah itu memakan ikan yang lain.

"Kalau seekor ikan tahu berlawan, bagaimana seseorang daripada keluarga diraja boleh ada belas kasihan? Setiap pertarungan mesti ada pertempuran berdarah... "

Raja Yu menggumam dengan perlahan. Tiba-tiba, bunyi tapak kaki kedengaran di belakangnya.

Beberapa orang muncul di belakangnya. Mereka semua memakai jubah hitam dan daya tenaga menyelubungi di sekeliling mereka.

"Akhirnya, kau di sini." Mulut Raja Yu tersenyum semasa dia melemparkan debu kristal yang tinggal ke dalam kolam dan dia berpusing ke belakang dengan perlahan.

Salah seorang daripada mereka mengangkat tangannya dan menarik hudnya untuk mendedahkan muka yang cengkung. Matanya pun cengkung dan seolah-olah ada api semangat di dalam anak matanya.

"Pengarah Kanan Sekta Jiwa, Hun Qianyun, menyambut kehadiran Raja Yu."

avataravatar
Next chapter