webnovel

Tersembunyi Daripada Musuh (2)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Qin Yu Yan tidak mengesan apa-apa pada Bai Yun Xian yang menunjukkan sebaliknya. Bai Yun Xian benar-benar berhasrat mahu mereka menyelamatkan Mo Xuan Fei!

Kalau mereka boleh sembuhkan Mo Xuan Fei, dia akan bebas daripada manipulasi Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie memerhatikan segala-galanya dengan pandangan tajam, tetapi dia langsung tidak bimbang.

Kumpulan Qing Yun mengakui diri mereka sebagai yang terbaik di seluruh dunia, dalam bidang perbuatan. Jun Wu Xie mahu lihat, kalau mereka ada kemahiran untuk menyembuhkan racunnya.

Jiang Chen Qing mencuba sedaya upaya untuk menahan dirinya daripada muntah, sambil dia memeriksa nadi Mo Xuan Fei. Wajahnya jelas menunjukkan perasaan jijik. Namun setelah memeriksa denyutan nadi lelaki itu, dia berdiri terpaku. Dia kelihatan tergamam.

"Bagaimana ini boleh berlaku?"

Kata-kata Jiang Chen Qing yang kedengaran terkejut, menarik perhatian Qin Yu Yan dan Bai Yun Xian.

"Pak Cik Jiang, ada apa?" tanya Qin Yu Yan.

Wajah Jiang Chen Qing benar-benar tidak percaya. Dia sudah melupakan perasaan jijiknya terhadap tangan Mo Xuan Fei. Dia memeriksa nadi Mo Xuan Fei sekali lagi dengan penuh hati-hati, dan ekspresi wajahnya tetap sama. Seolah-olah tidak percayakan dirinya sendiri.

"Cik Sulung, ini….baik Cik Sulung ke mari dan lihat sendiri." Jiang Chen Qing bingung.

Bai Yun Xian menjadi semakin gelisah melihatkan reaksi Jiang Chen Qing. Dia berdiri dan menggenggam tangannya dengan erat. Dia tak boleh bertanya mereka secara terus terang, dan hanya mampu memberi pandangan tidak berdaya.

Qin Yu Yan teragak-agak seketika. Dia cuba mengawal emosinya dan mengekalkan wajah yang tenang sebelum pergi memeriksa nadi Mo Xuan Fei.

Dia meletakkan jari-jarinya dengan lembut ke atas pergelangan tangan Mo Xuan Fei, dan ekspresi wajahnya menunjukkan perasaan tidak percaya, sama seperti Jiang Chen Qing.

Lelaki ini dapat dilihat sedang mereput dan hampir mati, tetapi bacaan nadinya sama seperti orang yang sihat. Kalau keadaan dirinya tidak kelihatan begitu ketara, Qin Yu Yan pasti sudah mengatakan lelaki ini sihat sahaja!

Apa yang sedang berlaku?

"Cik Sulung, bolehkah dia diselamatkan?" Bai Yun Xian tidak dapat menahan dirinya lagi.

Qin Yu Yan mengetap bibirnya dan berundur dari Mo Xuan Fei.

"Bacaan nadinya normal. Keadaan ini mungkin bukan disebabkan oleh racun."

Bai Yun Xian merasakan seolah-olah dunianya runtuh, sinar harapannya yang terakhir telah dipadamkan.

Memang betul. Dia telah mengambil bacaan nadinya sendiri setelah diracun oleh Jun Wu Xie dan diagnosisnya sama seperti Qin Yu Yan.

Tidak ada yang luar biasa!

Kini sudah jelas yang Qin Yu Yan dan Jiang Chen Qing tidak dapat menyembuhkan racun itu.

"Tuanku, hasil pemeriksaan kami ke atas Adinda Tuanku, kami mendapati keadaan dirinya ini bukanlah disebabkan oleh racun. Kami tidak dapat menyembuhkan dia. Apa yang kami boleh lakukan hanyalah memanjangkan nyawanya dan mengurangkan kesakitannya." Qin Yu Yan berjalan menuju Mo Qian Yuan, langsung tidak kelihatan kesal kerana tidak dapat membantu Mo Xuan Fei.

Mo Qian Yuan menunjukkan wajah yang muram dan mengeluh, "Beta anggap ini takdir. Kami sudah menyusahkan kamu berdua."

Angin Qin Yu Yan benar-benar teruk. Dia tidak peduli yang dia tidak dapat menyembuhkan Mo Xuan Fei. Niat sebenar dia ialah menyelamatkan Mo Xuan Fei dulu dan membuatkan Mo Qian Yuan terhutang budi pada Kumpulan Qing Yun. Ini akan memudahkan dia mencapai matlamat lain yang membuatkan dia datang ke sini. Tapi memandangkan dia tak dapat menyembuhkan Mo Xuan Fei, satu-satunya pilihan yang tinggal ialah berterus-terang dengan Mo Qian Yuan.

Setelah membuat keputusan itu, dia mengeluarkan satu botol berisi eliksir dan menyerahkannya kepada Mo Qian Yuan.

"Ini Eliksir Naga Senyap. Resepinya dikawal rapi dalam Kumpulan Qing Yun. Eliksir ini boleh memanjangkan nyawa seseorang dan memberi manfaat kepada kuasa rohani mereka." Qin Yu Yan menjelaskan.

Mo Qian Yuan terkejut. Dia terfikir yang tindakan Qin Yu Yan ini benar-benar di luar jangkaan. Qin Yu Yan menawarkan diri untuk menyelamatkan satu nyawa, kemudian dia dengan senang hatinya memberikan eliksir yang mengagumkan. Sukar untuk percaya yang dia tidak perlukan apa-apa daripada Mo Qian Yuan, dan hanya melakukan semua ini atas kebaikan dan kemuliaan hatinya. Sampai mati sekalipun Mo Qian Yuan tak akan percaya.

"Bagaimana Beta boleh menerima harta berharga seperti ini?" Mo Qian Yuan menolak dengan sopan. Setelah bertemu Jun Wu Xie, dia tidak mempedulikan ubat, pil dan apa-apa sahaja barang milik Kumpulan Qing Yun.