webnovel

Tamparan Kelapan (12)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Riak wajah Ning Rui tiba-tiba berubah. Tetapi Fan Jin dan Fan Zhuo tidak memberikan reaksi dan terus merenung lelaki berbisa itu.

"Betul! Apa yang kamu katakan tu betul! Kalau saya suruh Gu Ying membunuh Fan Qi pun apa salahnya? Saya sudah berasa sedih selama bertahun-tahun ini. Atas dasar apa orang tua tak guna tu serahkan Akademi Zephyr pada si dungu Fan Qi? Selain dia diterima sebagai anak murid sedikit awal daripada saya, dari segi apa saya tidak setanding dengannya?" Ning Rui tiba-tiba memutuskan untuk berputus asa dalam mempertahankan tindakannya dan terus mengakui bahawa dialah yang telah merancang pembunuhan Fan Qi!

Pada mulanya dia mahu menyembunyikan hakikat itu. Pertamanya, demi mengekalkan tenaga pengajar di dalam kampus utama Akademi Zephyr. Ini akan membolehkan akademi itu mempunyai bilangan guru yang cukup ketika mereka menarik lebih ramai pelajar baru ke akademi itu. Tapi kini, kata-kata Fan Jin telah membawa Ning Rui ke dalam situasi yang tidak boleh ditanganinya dan guru-guru di situ sudah tidak yakin dengannya. Tiada siapa di antara mereka yang harus kekal kecuali Gongcheng Lei yang telah bersubahat dengannya!

Keduanya, dia perlu menggunakan jawatannya sebagai Pemangku Guru Besar Akademi Zephyr untuk menghantar semua pelajar ke Cenuram Penghujung Syurga. Namun semua jalan yang dirancangnya tidak mungkin akan berlaku, kecuali satu. Kalau semua pelajar menentang dia sekarang ini pun dan enggan pergi ke Cenuram Penghujung Syurga, mereka masih perlu lihat sama ada Gu Ying akan setuju dengan keputusan ini!

Kuasa Gu Ying ini pernah Ning Rui rasai sendiri dan dia amat arif tentangnya. Rakan-rakan yang datang ke sini bersama-sama dengan Gu Ying akan tiba tidak lama lagi. Sebaik mereka tiba, Ning Rui tidak lagi bimbang tentang para pelajar yang tidak mahu tunduk pada mereka!

Setelah memikirkan hal ini, Ning Rui tidak lagi perlu berpura-pura.

Pengakuan bersalah Ning Rui telah mengejutkan para guru yang masih berbelah bahagi. Mereka tidak pernah menyangka bahawa Naib Guru Besar yang mereka kenali sebagai seseorang yang ramah dan lemah lembut itu sebenarnya menyembunyikan seseorang yang berfikiran jahat!

Sesiapa pun di dalam Akademi Zephyr tahu yang Guru Besar dan Naib Guru Besar itu mempunyai hubungan rapat seperti adik-beradik.Tapi setelah berpuluh tahun hidup sebagai rakan seguru dan bersahabat baik, Ning Rui tetap tidak teragak-agak untuk membunuh Fan Qi. Malah dia juga mahu menghapuskan kedua-dua orang anak Fan Qi!

Kekejaman dan keganasannya membuatkan mereka menggigil tanpa sedar.

"Kalau memang saya yang bunuh dia pun apa masalahnya? Apa yang kamu berdua boleh lakukan terhadap saya?" kata Ning Rui dengan nada mengejek.

Mulut Fan Jin mengukir senyuman dingin manakala wajah Fan Zhuo tidak lagi tersenyum. Mata Fan Zhuo kini mengecil sedikit. Kilauan kemarahan yang membara terpancar di matanya.

"Maksudnya Pak Cik memang sengaja berniat untuk membawa semua guru dan pelajar akademi ini ke Cenuram Penghujung Syurga?" Fan Jin bertanya secara tiba-tiba.

Semua orang masih lagi berasa terkejut dengan hakikat bahawa Ning Rui telah membunuh Fan Qi. Setelah mendengar kata-kata Fan Jin, mereka berpaling memandang Ning Rui dengan mata yang terbeliak kerana terkejut.

[Cenuram Penghujung Syurga!]

[Tempat itu telah mengorbankan wira-wira yang tidak terkira jumlahnya!]

Para pelajar yang bersemangat ini semuanya tahu tentang kisah-kisah keberanian dan kejadian aneh. Jadi tentulah mereka ada mendengar cerita tentang Cenuram Penghujung Syurga dan menyedari bahaya yang menyelubungi tempat itu.

Ekspedisi ini telah diumumkan secara mengejut oleh Ning Rui, kononnya untuk membawa para pelajar ini ke satu tempat di mana ujian latihan akan dijalankan. Hal ini bertentangan dengan peraturan akademi dan telah mengejutkan mereka. Tetapi memandangkan Ning Rui berkuasa penuh di dalam Akademi Zephyr pada ketika itu, para pelajar ini tidak berani merungut. Mereka patuh menyertai latihan tambahan mengejut itu dan memikirkan hal ini tidaklah begitu bahaya.

Ramai yang menyangka ujian latihan ini pasti lebih mudah berbanding latihan di Hutan Pertempuran Roh.

Mereka tidak menyangka tempat latihan itu ialah Cenuram penghujung Syurga yang amat berbahaya dan menggerunkan!

Jangan kata anak-anak muda yang tidak berpengalaman ini, pakar-pakar berkuasa yang terkenal pun telah terkorban di Cenuram Penghujung Syurga! Ning Rui pasti sudah gila!

[Dia benar-benar mahu menghantar mereka ke Cenuram Penghujung Syurga!]

Ning Rui tergamam seketika. Dia tidak menyangka Fan Jin kembali sedar, malah turut mengetahui yang mereka akan ke Cenuram Penghujung Syurga. Ning Rui tersenyum sinis.

"Kalau betul pun, apa masalahnya?"