webnovel

Rumah Batu (1)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Binatang hitam itu membawa Jun Wu Xie dan Tuan Embek Embek di belakang badannya lalu mengekori Teratai Mabuk untuk menuju rumah batu yang ditemuinya tadi.

Daripada segi luaran, rumah batu itu tidaklah kelihatan besar. Struktur binaannya ringkas sahaja. Rumah batu itu dibina hanya dengan menimbunkan pelbagai jenis batu yang berbeza saiz.

Beberapa kepingan batu bersurat berselerakan di dalam rumah batu tersebut. Tidak ada sebarang katil, meja atau kerusi di dalam rumah itu. Hakikat yang rumah batu sebegini wujud di dasar Cenuram Penghujung Syurga sememangnya amat pelik.

Walaupun rumah batu itu amat tidak sempurna, sekurang-kurangnya tempat ini masih mampu menghalang sedikit kedinginan.

Teratai Mabuk mengangkat tangannya. Beberapa helai daun teratai yang lebar muncul dalam genggamannya. Dia mengekstrak dan menyerap air sehinggakan daun-daun itu kering, kemudian menyusun semuanya secara bertindan-tindan di satu sudut rumah batu itu. Semakin banyak daun teratai dihasilkan dan bilangan daun-daun kering juga bertambah. Akhirnya Teratai Mabuk berjaya menghasilkan sebuah katil daripada timbunan daun-daun teratai tersebut.

Walaupun daun teratai tidak lembut dan sedikit miang, dalam keadaan sekarang ini sekurang-kurangnya daun-daun itu mampu menghalang kedinginan tanah daripada meresap ke dalam tubuh.

Jun Wu Xie mengeluarkan beberapa helai pakaian daripada Beg Kosmos dan menyuruh Teratai Mabuk menghamparkan pakaian-pakaian itu ke atas timbunan daun-daun teratai tersebut. Selepas itu barulah dia duduk sambil memeluk Tuan Embek Embek.

Daun-daun teratai yang disusun ringkas itu mungkin tidak begitu selesa, tetapi agak lembut juga. Kalau dibandingkan dengan sekadar duduk di atas tanah yang keras dan dingin, keadaan ini jauh lebih baik.

Setelah duduk di atas daun-daun teratai itu, Jun Wu Xie meletakkan Glob Api Roh ke tepi. Kabus di dalam rumah batu itu sangat nipis. Terdapat satu bongkah batu di tepi pintu. Teratai Mabuk dengan mudahnya mengalihkan batu tersebut untuk menutup pintu masuk.

Angin dingin tidak lagi bertiup ke dalam rumah batu itu dan suhu di dalamnya mula meningkat. Kabus lenyap perlahan-lahan dan kini rumah itu dirasakan lebih selesa.

"Saya nak keluar dan meronda kawasan sekitar. Kalau Cik perlukan apa-apa, suruh sahaja Hitam Kecil mengaum," kata Teratai Mabuk sambil memandang Jun Wu Xie yang sedang duduk di satu sudut. Mata Teratai Mabuk kelihatan terseksa sewaktu melihat keadaan Jun Wu Xie. Fikirnya, lebih lama dia berada di dalam rumah batu itu, lebih sukar untuk dia menahan diri daripada membalas dendam pada raksasa itu.

Jun Wu Xie mengangguk.

Selepas Teratai Mabuk melangkah keluar, dia mengalihkan kembali bongkah batu yang besar itu untuk menutup semula pintu masuk ke rumah batu itu. Teratai Mabuk meninggalkan celahan kecil untuk membolehkan peredaran udara berlaku di dalam rumah batu tersebut.

Luka Jun Wu Xie berdenyut-denyut kesakitan. Dia sudah menelan beberapa biji eliksir satu demi satu dan badannya kini mula hangat. Jun Wu Xie tidak berani mengambil ubat-ubatan penahan sakit kerana pengurangan kadar kesakitan akan menjejaskan kesedarannya tentang keadaan badannya. Ini akan menghalang dia daripada melakukan penilaian tepat dalam melakukan proses rawatan.

Demi mengelakkan daripada berfikir tentang kesakitannya, Jun Wu Xie memaksa dirinya memerhatikan seluruh kawasan rumah batu itu.

Pemerhatiannya itu menyebabkan dia menemui sesuatu yang agak mengejutkan.

Jun Wu Xie menyedari terdapat beberapa garis potongan yang kemas di atas permukaan batu-batu yang sudah terluluhawa. Dia menyapu habuk yang menyelubungi beberapa ketul batu dan mendapati bahagian batu itu yang telah dipotong dengan kemas. Walaupun saiz batu-batu itu berbeza, tetapi semuanya sengaja dipotong menjadi bentuk bongkah segi empat tepat dan disusun bertindih-tindih.

Jun Wu Xie memilih sebiji batu kerikil lalu cuba menghancurkannya. Tetapi walaupun dia sudah menggunakan seluruh kekuatannya, dia langsung tidak mampu untuk menyerpihkan batu kecil itu walau sedikit pun!

Semuanya bukan batu-batu biasa!

Walaupun telah tercedera, Jun Wu Xie tidak banyak menggunakan kuasa rohaninya. Dia menggunakan seluruh tenaga rohaninya dan tidak mampu pun menghancurkan batu kerikil kecil itu. Situasi ini agak pelik.

Di dasar Cenuram Penghujung Syurga terdapat sebuah kediaman batu yang dibina menggunakan bongkah-bongkah batu yang teramat kuat...

Tangan siapa yang bertanggungjawab ke atas semua ni?

Jun Wu Xie berkerut lalu mengangkat tangannya sekali lagi untuk memeriksa bongkah-bongkah batu yang berdekatan dengannya. Pada salah satu bongkah tersebut, dia akhirnya dapat merasai kewujudan alur yang jelas!

Seseorang telah menggunakan alatan tertentu dan menggoreskan beberapa kesan yang nampaknya dipisahkan kepada lima bagi setiap kumpulan.