webnovel

Jun Wu Xie tidak mempedulikan reaksi terkejut Qiao Chu dan berpusing untuk mengambil herba yang lebih besar lagi daripada timbunan yang ada. Dia terus berlalu untuk menyelesaikan tugasan itu.

Qiao Chu masih berdiri terpegun sehinggalah Jun Wu Xie sudah berjalan jauh daripadanya. Kemudian barulah dia pulih daripada keadaan terkejut itu dan berlari untuk mendapatkan Jun Wu Xie.

"Saya tahu tugasan ini biasa-biasa saja bagi kamu. Tapi kamu tak sepatutnya biarkan mereka mengambil kesempatan ke atas kamu seperti itu." Qiao Chu tidak meragui kebolehan Jun Wu Xie, tetapi dia sakit hati memikirkan pembuli tak guna itu terlepas begitu sahaja.

Bertemu Jun Wu Xie merupakan satu kejutan manis untuk Qiao Chu.

Selepas pertemuan pertama mereka, sewaktu dia pulang daripada Bandar Hantu dan membawa balik Mutiara Timur, dia telah memberitahu rakan-rakannya tentang apa yang berlaku di Bandar Hantu. Dia kemudiannya diusik dan dimarahi kerana bersikap dungu. Rakan-rakannya yang tak guna itu telah menyuruh dia kembali ke Bandar Hantu dan melihat sama ada pemuda yang mempunyai kemahiran pembuatan eliksir yang hebat itu akan muncul lagi. Qiao Chu dipaksa menanti selama sebulan sebelum akhirnya mengalah setelah langsung tidak terlihat kelibat Jun Wu Xie.

Siapa sangka? Berbulan-bulan dia berusaha untuk mencari Jun Wu Xie, namun sia-sia sahaja. Satu pertemuan secara kebetulan di kawasan Kumpulan Qing Yun pula telah membawa Jun Wu Xie kepadanya!

Qiao Chu bertekad. Kali ini, dia akan melekat dengan Jun Wu Xie dan tidak akan membiarkan genius kecil ini terlepas dari tangannya lagi!

Sebagai pelindung kepada Jun Wu Xie, jawatan yang dilantik oleh diri Qiao Chu sendiri, sewaktu pembuli itu mengambil kesempatan ke atas Jun Wu Xie, Qiao Chu merasakan seolah-olah dia yang telah dibuli. Kalaulah dia tak ada urusan penting di puncak gunung Kumpulan Qing Yun, dia sudah mengheret dua orang pembuli itu ke dalam semak dan membelasah mereka!

Jun Wu Xie berazam mahu menghabiskan tugasannya manakala Qiao Chu pula terus bersungut tanpa henti. Jun Wu Xie menarik nafas dalam dan berpusing untuk menghadap Qiao Chu.

Qian Chu berhenti, matanya terkebil-kebil.

"Barang milik saya tidak mudah dirampas," Jun Wu Xie berpusing dan menyerahkan herba di tangannya kepada pengikut Kumpulan Qing Yun. Selepas diperiksa, Jun Wu Xie dibenarkan untuk terus mara dan Qiao Chu bergegas menyerahkan herbanya pula. Dia masih tertanya-tanya apa maksud kata-kata Jun Wu Xie tadi.

Sewaktu Qiao Chu masih lagi bingung, dia tiba-tiba terdengar bunyi makian dari jauh. Dia mendongak dan terlihat dua orang pembuli yang telah merampas herba Jun Wu Xie tadi, sedang bertengkar dengan pengikut Kumpulan Qing Yun yang telah memeriksa herba mereka.

Di dalam tangan salah seorang pembuli itu bukan lagi herba yang sama Jun Wu Xie lemparkan kepada mereka tadi. Jelas sekali ini cuma rumpai kering. Apa yang menghairankan Qiao Chu ialah, dia terlihat warna kulit tangan pembuli itu sudah menjadi semakin gelap. Itu tandanya dia sudah diracun!

Qiao Chu memikirkan kembali kata-lata Jun Wu Xie tadi dan berpaling daripada mereka sambil menutup mulutnya yang sedang menyeringai dengan kejam.

Budak itu pasti telah merancang semuanya sejak mula lagi, dan tidak berniat mahu menyerah kepada dua orang pembuli itu. Melemparkan herba itu ke muka mereka dan memerhatikan mereka mengambilnya dengan gembira tanpa menyedari yang mereka telah menganggu si syaitan dan akibatnya akan menghancurikan mereka.

Bila masanya Jun Wu Xie menyapu racun pada herba itu? Inilah yang Qiao Chu tidak dapat fikirkan dan membuatkan dia hairan.

Bila dia lakukannya? Nampaknya hanya Jun Wu Xie sendiri yang tahu.

Kuasa rohaninya mungkin telah meningkat dalam masa yang singkat, tetapi roh bertahap jingga hanya biasa sahaja di dunia ini. Jun Wu Xie bukannya datang ke Kumpulan Qing Yun untuk bersiar-siar, tetapi dengan cita-cita untuk menghapuskan satu kumpulan yang terkuat di seluruh dunia ini. Dia perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan persediaannya perlulah berada di tahap bahaya.

Jun Wu Xie memakai satu gelang yang kelihatan biasa sahaja, terselindung di dalam lengan bajunya dan tidak akan menarik perhatian sesiapa.

Dalam gelang yang kelihatan biasa saja itu, tersembunyi tujuh jenis racun. Hanya dengan sedikit putaran, racun di dalam gelang itu mampu membunuh seseorang dalam sekelip mata sahaja.