webnovel

Perubahan Rejim (3)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

"Datuk jangan risau. Dia tak akan kata apa-apa." Jun Wu Xie meyakinkan Jun Xian dengan tenang.

"Dia tak akan kata apa-apa?" Jun Xian kelihatan ragu-ragu.

"Saya tahu apa yang perlu dilakukan tentang hal itu dan saya akan uruskannya selepas upacara naik takhta." Pastilah dia akan membiarkan Bai Yun Xian terus hidup. Bukan sahaja Bai Yun Xian, tetapi juga Maharaja dan Putera Kedua. Dia akan membuatkan mereka hidup terseksa dan mengharapkan kematian.

Mereka membuatkan Keluarga Jun hidup terseksa selama lebih satu dekad. Mereka tidak boleh dilepaskan dengan mudah.

Setelah mendengar segala-galanya, pasangan anak beranak Keluarga Jun itu tidak ada apa-apa lagi soalan. Hanya ada satu lagi perkara yang mereka fikirkan.

Selama beberapa hari ini, Mo Qian Yuan telah menghantar pelbagai hadiah ke Istana Lin. Begitu banyak yang diberikan sehingga mereka sudah tidak ada tempat untuk menyimpan semuanya. Penghargaan yang tidak diminta ini agak merunsingkan.

Jun Wu Xie sering bersama dengan Mo Qian Yuan sebelum ini dan kini dia sudahpun membantu Mo Qian Yuan menaiki takhta. Mo Qian Yuan pula nampaknya menurut sahaja segala kehendak Jun Wu Xie.

Hal ini kelihatan amat pelik.

Mo Qian Yuan sudah dewasa. Selama ini, sebagai Putera Mahkota, dia tidak mempunyai seorang wanita sekalipun di sampingnya. Malah dia juga tidak mempunyai Gundik Diraja Putera Mahkota.

Dia tidak banyak ada hubungan dengan wanita, kecuali dengan Jun Wu Xie.

Memandangkan Jun Wu Xie sudah lama tidak keluar dari Istana Lin, dia tidak tahu tentang khabar angin yang sedang tersebar. Khabarnya selepas Putera Mahkota menaiki takhta, baginda akan mengahwini Jun Wu Xie yang kemudiannya akan menjadi Maharani.

Dengan sokongan daripada Istana Lin dan Tentera Rui Lin, tidak syak lagi yang Jun Wu Xie ialah pilihan yang paling sesuai.

Cuma…..

Tidak kira dari segi mana sekalipun yang diperhatikan oleh Jun Xian dan Jun Qing, nampaknya Jun Wu Xie tidak berniat begitu.

Selepas penurunan takhta secara paksa itu, Jun Wu Xie tidak bertemu dengan Mo Qian Yuan walau sekali.

Apa yang gadis ini fikirkan?

Jun Wu Xie langsung tidak memikirkannya. Mo Qian Yuan hanyalah sekutu dalam rancangannya untuk memaksa penurunan takhta dan bilah pedang tajam untuk melindungi keluarganya. Sebab sebenar dia langsung tidak keluar selama beberapa hari ini, tidak lain tidak bukan ialah kucing hitam kecilnya.

Tempoh hari, selepas membaham Singa Emas, kucing hitam kecil itu lesu dan letih dan asyik tidur. Kucing hitam kecil itu tidur enam belas jam sehari.

Melihatkan kucing hitam kecil itu dalam keadaan ini, Jun Wu Xie menjadi sangat risau.

Setelah dapat melepaskan diri daripada pasangan ayah dan anak Keluarga Jun itu, Jun WU Xie kembali ke halamannya. Sudah waktu tengah hari dan matahari sedang memancar terik. Di atas meja batu itu, ada satu bebola berbulu sedang berdengkur perlahan.

Cahaya matahari menyinari bulu hitam yang berkilat itu dan dapat dilihat ada sedikit kilauan warna emas.

Jun Wu Xie menuju meja batu itu dan mengangkat kucing hitam kecil itu dengan tangannya. Setelah tidur di bawah panas terik matahari, badan kucing hitam kecil itu agak hangat. Jun Wu Xie membawanya masuk ke dalam bilik dan menyikat bulu kucing hitam kecil itu dengan lembut.

"Rasa tak sihat….." Kucing hitam kecil itu bergerak sedikit. Matanya yang separuh terbuka itu menunjukkan ketidakselesaannya.

"Kenapa?" tanya Jun Wu Xie.

"Rasa kembung dan panas." Kucing hitam kecil itu beralih kedudukan dan cuba mencari kedudukan lebih selesa tetapi tidak berjaya. Rasa tidak selesa itu langsung tidak reda.

Roh di dalam badannya seolah-olah terbakar dan kepanasan itu tidak membenarkannya tidur dengan selesa.

Jun Wu Xie berkerut dengan risau. Badan kucing hitam kecil itu diperbuat daripada roh-roh yang dikumpulkan. Apa yang membuatkannya rasa begini? Dia memeriksa kucing hitam kecil itu dengan teliti dan baru tersedar yang mereka sudah berada di dalam bilik, jauh dari matahari. Mengapa bulu hitam legam ini masih ada sedikit warna emas?

Warna ini sangat mirip dengan warna keemasan yang ada pada Singa Emas.