webnovel

Menjelmanya Awan Gelap (1)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Kediaman kecil di dalam hutan buluh itu kini kembali berpenghuni. Tetapi kali ini, orang yang tinggal bersama-sama Jun Wu Xie di situ adalah Gu Ying, bukannya Fan Zhuo. Entah bagaimana caranya Gu Ying berjaya membuatkan Ah Jing yang sudah hilang akal itu menjadi orang suruhannya. Tiga kali sehari hidangan mereka disediakan oleh Ah Jing. Setiap kali Jun Wu Xie memandang Ah Jing, pemuda itu hanya menjeling sekilas pada Jun Wu Xie dengan gerun dan cepat-cepat menundukkan kepalanya. Setiap kali Gu Ying muncul, Ah Jing akan mula menggigil dengan kuat.

"Sudah dua hari Senior kembali. Tak mahu pergi melawat fakulti Pemulih Roh?" Gu Ying bertanya sambil tersenyum lebar. Dia baru sahaja menolak pintu dan masuk ke dalam bilik Jun Wu Xie tanpa kebenaran.

Jun Wu Xie tidak mempedulikannya dan berjalan keluar untuk pergi ke fakulti Pemulih Roh. Gu Ying mengekorinya dengan selamba. Sepanjang perjalanan, mereka bertembung dengan ramai para pelajar Akademi Zephyr. Sebaik para pelajar ini terlihat Gu Ying, mereka semua lari lintang-pukang, seolah-olah burung yang terlihat kucing. Gu Ying hanya ketawa sahaja melihatkan aksi mereka.

Sebaik mereka sampai di fakulti Pemulih Roh, semua pelajar di situ menundukkan kepala dan tidak berani bertentang mata dengan Gu Ying.

Berdasarkan reaksi para pelajar lain, pasti Gu Ying telah mengakibatkan huru-hara tercetus di Akademi Zephyr. Kalau tidak, kenapa pelajar di seluruh akademi ini begitu takut padanya?

Jun Wu Xie diam sahaja selama ini. Sebaik sampai ke pintu pejabat Gu Li Sheng, dia berpaling dan berkata pada Gu Ying, "Saya ada hal nak bincangkan dengan dia."

Gu Ying mengangkat keningnya.

"Senior pergilah selesaikan urusan. Saya tunggu di luar."

Gu Ying langsung tidak kisah membiarkan Jun Wu Xie bertemu dengan Gu Li Sheng sendirian. Di seluruh Akademi Zephyr ini, Gu Ying hanya berasa bimbang terhadap Wen Xin Han. Sebaliknya, Wen Xin Han hanya mengambil peduli tentang nyawa Fan Jin dan tidak berminat untuk masuk campur dalam urusan lain di akademi.

Jun Wu Xie dan Gu Li Sheng adalah dua orang yang perlu kekal berada di Akademi Zephyr, jadi tak ada apa yang Gu Ying risaukan.

Jun Wu Xie tidak merasakan tindakan Gu Ying itu pelik. Melalui pemerhatiannya, Jun Wu Xie sudah dapat memahami pemikiran Gu Ying.

Di minda Gu Ying, Jun Wu Xie dan Gu Sheng ibarat burung yang terperangkap di dalam sangkar.

Jun Wu Xie mengetuk pintu pejabat Gu Li Sheng. Setelah keadaan sunyi seketika, kedengaran suara Gu Li Sheng bergema. Jun Wu Xie menolak pintu itu sehingga terbuka. Setelah masuk ke dalam bilik itu, dia menutup pintu dengan rapat untuk menghalang mata Gu Ying yang kelihatan gembira itu daripada pandangan mereka.

"Jun Xie!" Wajah Gu Li Sheng kelihatan amat bimbang dan gelisah. Tetapi sebaik terliat Jun Wu Xie, dia kembali berseri-seri. Gu Li Sheng terus bangun dan melangkah menuju Jun Wu Xie.

"Kenapa kamu kembali ke sini?" Suara Gu Li Sheng tidak terlalu kuat, seolah-olah dia sengaja memperlahankannya.

"Urusan saya dah selesai, jadi saya pulang ke sini," balas Jun Wu Xie.

Gu Li Sheng tersenyum kelat dan berkata, "Lebih baik kamu tak pulang. Akademi Zephyr ni dah banyak berubah. Bukan lagi tempatnya untuk seseorang itu tinggal lebih lama." Gu Li Sheng mengeluh sambil matanya memandang pintu yang tertutup rapat itu.

Gu Li Sheng memandang Jun Wu Xie. Matanya menyatakan apa yang mulutnya tidak mampu ucapkan.

Jun Wu Xie mengangguk.

Gu Li Sheng kelihatan pucat.

"Benar apa yang saya sangkakan. Semalam saya dengar orang tu dah berpindah ke hutan buluh. Saya terfikir tindakannya itu agak pelik. Sekarang melihatkan kamu di sini, tahulah saya sebab di sebalik tindakannya itu."

"Kamu tahu siapa yang lakukannya?" tanya Jun Wu Xie dengan perlahan.

Gu Li Sheng menggelengkan kepala sambil tersenyum pahit. "Dia datang ke Akademi Zephyr lebih setengah bulan yang lalu. Mula-mula dulu katanya dia ni sepupu Ning Rui. Ketika itu Guru Besar berasa amat bersalah dengan kematian Ning Xin. Setelah Ning Rui merayu padanya, Guru Besar akhirnya bersetuju membenarkan orang tu masuk ke fakulti Pemulih Roh. Guru Besar sendiri yang beritahu hal ini pada saya. Ketika itu saya tidaklah terlalu memikirkan hal ni. Walaupun saya rasa situasi ini agak pelik, saya tak mahu menyusahkan Guru Besar. Jadi akhirnya saya benarkan orang tu masuk ke fakulti Pemulih Roh, kononnya sebagai pelajar…"