webnovel

Menguruskan Masalah (4)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

"Buka mulutnya." Jun Wu Xie memberi arahan dengan dinign.

Bai Yun Xian yang sudahpun dalam ketakutan hampir menjadi gila mendengarkan kata-kata itu. Dia menendang dan mencakar para pengawal yang memegangnya, sambil menjerit sekuat-kuat hati. Air matanya mengalir laju membasahi mukanya, membuatkan dia kelihatan amat malang.

"Tidak….. tidak…..TIDAK….. Saya tak mahu mati! Tolong….. Tolong….. Tolong lepaskan saya. Saya….. Saya tak akan menentang kamu lagi….." Bai Yun Xian teresak-esak sambil merayu. Dia faham dan kini tahu kesan racun yang Mo Xuan Fei makan….. Dia tidak akan berani menentang Jun Wu Xie lagi…..

Racun yang membuatkan seluruh badan mereput secara berterusan, seperti mayat hidup….. Terlalu menggerunkan!

Walaupun dia ialah anak murid daripada Kumpulan Qing Yun yang terkenal, dia tidak pernah menemui racun dengan kesan yang begitu menakutkan.

Bai Yun Xian menjerit sehingga suaranya serak, tetapi tidak dapat lari daripada nasibnya. Pengawal Tentera Rui Lin memaksa racun itu masuk ke dalam mulutnya. Bai Yun Xian tergamam sewaktu menelan pil itu, menggigil dengan kuat dan langsung tidak mampu bergerak.

"Racun ini tidak akan membunuh kamu, cuma akan membuatkan daging kamu menjadi reput sedikit demi sedikit. Tapi jangan risau. Kamu tak akan mati. Apabila daging kamu sudah reput sehingga ke tulang, daging kamu akan tumbuh semula. Yakinlah yang racun ini tidak akan membuatkan kamu mati." Jun Wu Xie memandang dingin ke arah Bai Yun Xian, setiap kata-katanya membuatkan gadis itu meraung tanpa segan-silu.

Hidup seperti ini….. Kematian itu lebih manis…..

Adakah ini bermaksud dia terpaksa menghabiskan seluruh umurnya sebagai raksasa yang hodoh?

Perasaan terdesak untuk terus hidup memberikan dia kekuatan untuk melepaskan diri daripada genggaman para pengawal itu. Dia merebahkan diri di kaki Jun Wu Xie. Dia meraung sambil merayu, "Tolonglah lepaskan saya. Tolonglah, saya merayu pada kamu. Tolonglah. Saya akan lakukan apa saja yang kamu mahu kalau kamu lepaskan saya…. Apa saja! Senior….rakan seguru senior saya akan tiba di Kerajaan Qi tidak lama lagi. Jangan bunuh saya dan saya janji tak akan menceritakan tentang perkara ini…."

Bai Yun Xian benar-benar sedang menggelabah. Rama-rama Min telah kembali, membawa berita yang orang-orang dari Kumpulan Qing Yun akan tiba di Kerajaan Qi dalam masa lima hari lagi. Bai Yun Xian telah memegang berita itu sebagai harapan terakhir untuk dia diselamatkan. Tetapi racun Jun Wu Xie telah memadamkan sinar harapan terakhir itu, dan dia cuma nampak masa depan yang suram dan sepi.

Kalau dia ditakdirkan untuk hidup sebagai raksasa yang sangat hodoh, dia lebih rela mati!

Jun Wu Xie memandang Bai Yun Xian yang sedang merayu itu, dan memberikan isyarat kepada pengawal Tentera Rui Lin. Dua orang askar mengangkat Bai Yun Xian supaya dia boleh berdiri di hadapan Jun Wu Xie.

"Ubat ini akan mengekang racun di dalam badan kamu. Dos ubat ini perlu sentiasa diambil. Kalau tidak, racun pereputan itu akan mula mengambil alih dan tak ada apa yang dapat menyelamatkan kamu ketika itu." Jun Wu Xie mengeluarkan sebiji pil kecil dan menunjukkannya pada Bai Yun Xian. Gadis itu membuka mulutnya dengan luas, kelihatan begitu cemas dan mahu cepat-cepat mengambil ubat itu.

Selepas Bai Yun Xian menelan ubat itu, satu kilauan dingin muncul seketika di mata Jun Wu Xie.

"Ingat apa yang kamu janji pada saya hari ini. Jika kamu mungkir janji, saya akan pastikan nasib kamu lebih teruk daripada Mo Xuan Fei." Jun Wu Xie memberi amaran dengan dingin.

Bai Yun Xian mengangguk dengan kuat. Setelah terseksa di tangan Jun Wu Xie, Bai Yun Xian sudah hilang semangat dan tidak berani lagi untuk menentang gadis itu dengan apa cara sekalipun.

Jun Wu Xie menyuruh para pengawal memasukkan kembali Bai Yun Xian dan Mo Xuan Fei ke dalam kurungan masing-masing, dan mengarahkan Bai Yun Xian untuk memberikan segala maklumat yang dia ada tentang orang-orang daripada Kumpulan Qing Yun yang hampir tiba di Bandar Diraja..

Bai Yun Xian melutut di atas lantai batu di dalam bilik kurungannya sambil memegang alat tulis. Ada kertas kekulit di atas lantai. Telinganya mendengar suara Mo Xuan Fei yang sedang mengerang. Sewaktu dia mengangkat kepalanya, matanya terlihat keadaan Mo Xuan Fei yang dahsyat. Daging lelaki itu sudah mereput sehingga ke tulang. Setiap kali terfikirkan apa yang dilihatnya ini, Bai Yun Xian akan menggeletar ketakutan.