webnovel

Jangan Cari Maut dan Kamu akan Hidup (2)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

"Kamu akan uruskan? Tapi… macam mana kamu nak uruskannya?" Lei Chen merenung Jun Xie dengan sedikit perasaan ragu-ragu. Dia sudah menyiasat identiti Jun Xie sebelum ini. Walaupun Teknik Pemulihan Roh miliknya itu menarik perhatian ramai, hakikatnya dia masih lagi seseorang yang berusia terlalu muda.

Kini setelah hal ini semakin melampau sehinggakan Lei Chen pun tak mampu menghadapinya, penyelesaian bagaimana yang ada pada Jun Xie?

Jun Wu Xie membalas dengan bersahaja, "Mereka hanya mahu kekecohan ini berterusan. Itu saja. Sebenarnya, mudah saja nak tamatkan kekecohan ini."

Lei Chen agak terkejut. Khabar angin di Ibu Negara Diraja itu tersebar kerana lawan-lawan Jun Wu Xie menarik diri secara berturut-turut. Sebab mengapa hal ini mencapai kemuncak adalah kerana salah seorang lawannya itu bukan sekadar telah menarik diri tetapi turut kehilangan nyawa. Pokoknya, dalam situasi ini, jika mereka mahu khabar angin itu reda mereka hanya perlu membuatkan Jun Xie bertempur dengan lawannya di pusingan seterusnya.

Tapi...

"Memandangkan orang itu mempergunakan hubungan di antara Beta dan Akademi Zephyr untuk menimbulkan isu, dia pasti akan menghantar orang untuk menguruskan lawan kamu bagi pusingan seterusnya. Walaupun Beta ada beberapa orang suruhan, mereka tak akan setanding dengan orang suruhannya…" kata Lei Chen. Dia berasa agak bingung. Lei Chen benar-benar mahu menghentikan pergolakan yang dicetuskan oleh orang itu, tetapi orang tersebut berada di kemuncak pemerintahan Negara Yan. Ini bukannya kuasa yang mampu ditentang oleh seorang Putera Mahkota.

"Saya tak perlukan kamu," kata Jun Wu Xie.

Lei Chen memandang Jun Xie dengan ragu-ragu. Dia benar-benar ingin tahu bagaimana budak ini mahu menyelesaikan masalah. Kalau hal ini berterusan, Lei Chen tahu bahawa nama dan reputasinya pasti akan musnah manakala Akademi Zephyr akan dikutuk serta dibenci. Jun Wu Xie pula, sebagai orang yang menjadi sasaran dalam rancangan ini, akan berada dalam situasi yang menyedihkan seperti Lei Chen.

Lei Chen berniat mahu bertanyakan beberapa soalan lagi, tetapi Jun Xie nampaknya tidak berminat untuk meneruskan perbualan mereka dan telah mengusir Lei Chen keluar daripada Lof Dewa.

Selepas Lei Chen beredar, Jun Wu Xie terus memanggil Fei Yan dan bertanyakan siapakah lawan yang akan menentang Jun Wu Xie dalam pusingan seterusnya.

"Zhao Xun daripada Akademi Hua Wan. Kenapa kamu tanya tentang dia?" Sebagai sumber maklumat kumpulan itu, Fei Yan boleh dikatakan telah meneliti sebahagian besar senarai nama para peserta Kejohanan Pertempuran Roh. Fei Yan berasa pelik kerana Jun Wu Xie tiba-tiba mencarinya untuk bertanya tentang lawan di pusingan seterusnya.

Menurut apa yang berlaku dalam perlawanan Jun Wu Xie sebelum ini, pihak lawan sama ada terlalu takut untuk mengambil bahagian atau pun mati secara misteri. Berdasarkan keadaan ini, Jun Wu Xie mungkin tak perlu berlawan dengan pesaing seterusnya.

"Tolong saya cari tempat-tempat yang dia biasa pergi sejak kebelakangan ni," kata Jun Wu Xie dengan ringkas.

Fei Yan mengangkat bahu dan terus keluar menyiasat.

Kuasa rohani Zhao Xun tidaklah begitu teruk. Tetapi disebabkan dia belajar di Akademi Hua Wan yang tidak begitu terkenal, tak ramai yang pernah mendengar namanya. Pada Kejohanan Pertempuran Roh kali ini, prestasinya agak baik. Dia sudah pun menarik perhatian beberapa orang pencari bakat. Tambahan pula… lawannya untuk pusingan sepenuhnya adalah Jun Xie, pemuda yang dikaitkan dengan khabar angin yang sedang bertiup. Sebaik cabutan undian selesai, nama Zhao Xun tiba-tiba tersebar di seluruh daerah pertempuran pertama.

Di sebuah restoran mewah Ibu Negara Diraja, Zhao Xun dan beberapa orang pemuda lain sedang bersesak-sesak di sekeliling sebuah meja di tingkat dua.

"Senior Zhao, dengarlah cakap saya. Senior sepatutnya melawan si Jun Xie itu esok. Baik kamu berhati-hati. Putera Mahkota menyokong budak itu. Orang lain yang dipadankan dengannya semuanya ditimpa malang. Lawannya pada pusingan sebelum ini telah… Senior pun tahulah," kata salah seorang pemuda itu sambil memandang Zhao Xun dengan bimbang. Nama Jun Xie agak terkenal juga di dalam Kejohanan Pertempuran Roh kali ini, tetapi bukan atas sebab yang baik. Namanya telah menggemparkan seluruh kejohanan.