webnovel

Jamuan Makan (6)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Kalau Lei Chen hanya mahu bersopan dan ambil berat tentang Akademi Zephyr, isu ini tidak akan menjadi begitu besar. Tetapi Lei Chen terlebih dahulu menghantar pengawalnya untuk memberitahu Akademi Pembunuh Naga bahawa Akademi Zpehyr dengan tidak malunya telah memotong mereka dan menjemputnya. Walaupun Akademi Pembunuh Naga tidak begitu memandang penting hal mendapatkan perhatian Lei Chen, tetapi setelah dimalukan secara terbuka seperti itu, mereka tidak akan membiarkannya sahaja.

Mereka tidak peduli dengan siapa Lei Chen mahu berbaik. Tetapi setelah terhina oleh tindakan orang lain tentulah mereka mahu memberi pembalasan.

Sebelum Kejohanan Pertempuran Roh bermula, sebarang bentuk pergaduhan adalah dilarang. Jadi mereka tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas para pelajar Akademi Zephyr ketika jamuan berlangsung. Tetapi memandangkan budak tak guna ini telah keluar seorang diri ke tempat yang lengang, dia hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana mempersembahkan peluang yang sukar ditolak ini kepada mereka!

Beberapa orang pelajar daripada Akademi Pembunuh Naga mengerumuni Jun Wu Xie sambil tersenyum jahat.

"Hei budak. Berlari ke luar dalam gelap-gelap ni bukan tindakan yang bijak," kata salah seorang pelajar itu sambil menggenggam penumbuknya.

Jun Wu Xie memandang dingin pada para pemuda yang mengelilinginya. Wajahnya juga tidak berperasaan.

Di satu sudut yang jauh di taman itu, Lei Yuan sedang berlari sambil termengah-mengah. Sebaik terlihat Jun Xie sudah dikepung, dia berhenti dan berdiri kaku. Wajahnya terukir senyuman. Dia tidak sabar-sabar menantikan "pertunjukan" itu bermula.

"Putera Kedua, kita betul-betul tak akan masuk campur?" Pembantu peribadi yang telah mengikut Lei Yuan ke situ bertanya dengan risau. Dia memandang Jun Xie yang berada di taman tersebut.

Lei Yuan melambaikan tangan secara bersahaja lalu berkata, "Mengapa perlu masuk campur? Akademi Zephyr sudah pun berada dalam keadaan yang teruk. Kita hanya perlu dan lihat saja. Lagipun kejadian ini disebabkan oleh kecuaian Kakanda yang memilih untuk menolak Akademi Pembunuh Naga dan sebaliknya pergi ke Akademi Zephyr yang sudah merosot itu. Beta benar-benar tak faham apa yang Kakanda fikirkan. Tak ada apa yang berharga lagi di Akademi Zephyr."

Pembantu itu membuka mulutnya tetapi tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang Lei Yuan.

Umur Lei Yuan dan Lei Chen hanya berbeza enam bulan dan bonda Lei Yuan merupakan Gundik Diraja ketika itu. Waktu lahir mereka serta status bonda mereka hanya berbeza sedikit tetapi Lei Yuan tidak bernasib baik. Daripada segi kedua-duanya, tarafnya sedikit rendah. Lei Yuan sudah lama berdendam dengan Lei Chen tetapi Lei Chen amat berhati-hati dengan segala perbuatannya selama ini. Dia tidak memberikan Lei Yuan sebarang alasan untuk digunakan bagi menentangnya. Sewaktu Ayahanda mereka iaitu Maharaja menyerah seluruh tanggungjawab menguruskan Kejohanan Pertempuran Roh kepada Lei Chen, Lei Yuan menjadi semakin gelisah.

Putera mana yang tidak menginginkan kedudukan di tahap kemuncak itu? Pada luarannya, Lei Yuan bersikap hormat dan tunduk pada Lei Chen. Tetapi dia menyimpan rancangan lain di dalam hatinya. Insiden di mana Lei Chen mengabaikan Akademi Pembunuh Naga semalam telah disiasat oleh Lei Yuan. Sebaik sahaja Lei Chen melangkah keluar menuju Lof Dewa iaitu tempat penginapan rombongan Akademi Zephyr, Lei Yan turut keluar untuk pergi melawat Akademi Pembunuh Naga. Walaupun ketiga-tiga akademi teratas ini bukan milik negara-negara tertentu, setiap satunya mempunyai para pelajar yang amat berbakat. Para pelajar ini hanya perlu digilap sedikit supaya dapat bersinar dan berkhidmat dengan tuan masing-masing.

"Kakanda Beta menamatkan pengajian daripada Akademi Panji Perang. Hubungannya dengan mereka amat jelas. Beta bimbang Kakanda akan menggunakan kedudukannya sebagai penganjur kejohanan tahun ini untuk menawan hati Akademi Pembunuh Naga. Tanpa disangka Kakanda dengan dungunya memilih Akademi Zephyr pula. Kalau Beta tak ambil peluang sekali seumur hidup ini sekarang, macam mana Beta nak kekal bertahan di masa akan datang?" kata Lei Yuan sambil tersenyum jahat. Akademi Zephyr sudah hampir musnah manakala Akademi Pembunuh Naga pula mahu berdikari. Kalau Lei Yuan berjaya menarik perhatian Akademi Pembunuh Naga, dia masih boleh mewujudkan peluang untuk dirinya.

"Putera Kedua… Kalau buat begini, tidakkah nanti Yang Mulia Putera Mahkota akan menyerang balas?" Pembantu tersebut bertanya dengan bimbang.