Wen Xin Han tidak membuka mulutnya tetapi suaranya sampai ke telinga Jun Wu Xie.
Penghantaran suara melalui roh!
Kemahiran ini hanya boleh digunakan oleh pakar roh ungu!
Jun Wu Xie memandang Wen Xin Han yang sudah lama tidak dilihatnya. Dia mendapati rupa paras Wen Xin Han langsung tidak berubah, tetapi aura berkuasa dan mengagumkan di sekelilingnya itu amat berbeza daripada sebelum ini!
Hanya dengan berdiri di situ sahaja, kehadiran Wen Xin Han sudah membuatkan mereka dapat merasai kuasa yang menekan mereka.
Tahap roh indigo dan tahap roh ungu ibarat hanya berbeza satu langkah. Tetapi jurang satu langkah itu merupakan satu lonjakan yang mustahil dapat dilakukan oleh kebanyakan orang!
Jun Wu Xie tidak terus menjawab pertanyaan Wen Xin Han. Matanya memandang sekilas ke pintu. Wen Xin Han memahami maksudnya lalu membalas, "Saya sudah pun gunakan kuasa roh untuk mengasingkan kita. Dia tak akan dapat dengar perbualan ini."
Sambil bercakap, mata Wen Xin Han secara sembunyi anak muda kecil molek di hadapannya ini. Pemuda ini kecil sahaja kalau dibandingkan dengan pemuda lain yang seusia dengannya, malah kelihatan agak kurus. Raut wajahnya yang halus itu berbeza dengan apa yang Wen Xin Han ingat. Wajah di dalam memorinya mampu meruntuhkan kota dan memusnahkan negara. Tapi entah mengapa, ketika terpandang sepasang mata yang dingin seperti air di musim luruh itu, Wen Xin Han merasakan mata tersebut tidak asing baginya.
Sama dengan mata yang dilihatnya sebelum ini. Sama dengan mata gadis muda itu!
"Cucu kamu dah sembuh?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Wen Xin Han. Soalan pertamanya itu sudah pun membuatkan Wen Xin Han terkejut.
[Dia tahu!]
[Dia benar-benar datang dari Istana Lin?]
Wen Xin Han melenyapkan riak terkejut dari matanya dan mengangguk kecil.
"Dah lebih baik sekarang. Perlu sedikit rawatan saja lagi untuk sembuh sepenuhnya."
Gu Li Sheng merenung Wen Xin Han dengan perasaan terkejut sebelum berpaling merenung Jun Wu Xie dengan bingung. Dia tahu tentang penyakit cucu Wen Xin Han yang telah menyebabkan Wen Xin Han berkhidmat dengan Kumpulan Qing Yun buat seketika. Tetapi selepas Kumpulan Qing Yun lenyap, tak ada berita tentang Wen Xin Han. Menurut perbualan dua orang ini, nampaknya cucu Wen Xin Han sudah sembuh?
"Kamu bersumpah pada hari itu yang jika eliksir itu boleh menyelamatkan nyawa cucu kamu, mulai saat itu nyawa kamu adalah milik saya. Kamu masih berpegang pada kata-kata kamu itu?" tanya Jun Wu Xie.
Wen Xin Han yang amat dihormati itu pun tidak dapat mengelak daripada menunjukkan riak wajah terperanjat di mukanya yang sudah berkedut itu.
Tentulah dia masih ingat kata-kata tersebut. Paling penting lagi, dia ingat pada siapa dia telah mengucapkannya!
"Kamu Jun Wu Xie? Cik Muda Istana Lin?" Mata Wen Xin Han bersinar dengan perasaan terkejut dan gembira.
Jun Wu Xie mengangguk.
Melihatkan Jun Wu Xie mengangguk setuju, Gu Li Sheng mendapati dirinya tiba-tiba menjadi seperti batu. Dia hanya mampu merenung Jun Wu Xie sambil terbeliak hairan. Mindanya kosong.
[Istana Lin?]
[Jun Wu Xie?]
[Apa yang sedang berlaku ni?]
Wen Xin Han terus menunduk hormat di hadapan Jun Wu Xie, "Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga pada Cik Muda Keluarga Jun kerana telah membantu menyelamatkan nyawa cucu saya! Saya memang sudah berniat untuk pergi ke Istana Lin dan berterima kasih pada Cik Muda, tetapi menurut Duke Jun, Cik Muda tidak ada di situ. Kesal betul saya jadinya. Tak sangka saya dapat bertemu dengan Cik Muda di sini! Izinkan Wen Xin Han menunjukkan taat setia pada Cik Muda di sini!"
Wen Xin Han terus melenyapkan auranya yang menekan itu dan tunduk hormat di hadapan Jun Wu Xie.
Gu Li Sheng hampir hilang akal.
Wen Xin Han adalah seorang pakar yang paling dihormati dan berkemahiran tinggi memandangkan dialah orang pertama yang berjaya mencapai tahap roh ungu sepanjang satu dekad yang lalu. Orang yang dipandang tinggi dan dipuja-puja ini tidak teragak-gak untuk merendahkan diri di hadapan Jun Wu Xie, budak yang usianya lebih muda daripada cucu Wen Xin Han sendiri…
Pemikiran Gu Li Sheng menjadi kucar-kacir sehingga dia mengesyaki yang matanya telah tersalah pandang!
[Pemilik roh ungu yang dihormati bukan sahaja melupakan sikap formal dan protokol di hadapan anak muda belasan tahun ini, malah turut menundukkan dan merendahkan dirinya…]
[Dunia ni benar-benar dah gilakah?]
"Tak perlu. Saya cuma mahu tanya sama ada kamu masih berpegang pada kata-kata kamu." Jun Wu Xie tidak peduli jika Wen Xin Han berterima kasih padanya atau tidak. Dia cuma kisahkan tentang sama ada Wen Xin Han ini adalah orang yang berpegang pada janji!