webnovel

Bos, Kami Sudah Jumpa Bo Xiao

Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili berpura-pura tenang dan menekan butang 'enter' berkali-kali sebelum berkata, "Apa kata laluan kamu? Saya tak dapat buka."

Ou Ming merenung Yu Lili seketika, kemudian menutup dan mengambil laptopnya sebelum duduk di sofa tanpa menjawab soalan itu.

Jururawat itu melihat Ou Ming kembali lalu menyapanya dan keluar. Ou Ming sudah menukar pakaiannya. Pasti dia telah menemui tempat untuk mandi dan menukar pakaian. Sekarang dia lebih bersih dan segar.

Yu Lili berpura-pura sakit hati terhadap Ou Ming lalu berbaring dan menyelubungkan wajahnya dengan selimut. Namun dia tidak membelakangi lelaki itu, sebaliknya mengintai melalui selimutnya.

Ou Ming menyedari perkara itu dan menoleh. Yu Lili segera menutup matanya dan berpura-pura tidur. Ou Ming bertambah tidak sedap hati lalu memasukkan kata laluannya. Halaman pada skrin laptopnya kelihatan berbeza daripada ketika dia meninggalkannya. Laptopnya telah dibuka oleh seseorang.

Kata laluan…

Dia mengecilkan mata ke arah Yu Lili yang masih berpura-pura tidur.

"Apa yang kamu nampak?" tanya Ou Ming.

Yu Lili berasa bersalah tetapi tetap berpura-pura tenang. Dia membuka matanya dan memandang Ou Ming dengan wajah keliru. "Apa?"

Ou Ming mengangkat keningnya dan tersenyum tetapi riak wajahnya kelihatan dingin. "Lain kali jangan sentuh barang saya lagi." Suaranya jelas tidak gembira.

Riak wajah Ou Ming membuatkan Yu Lili semakin berasa bersalah, tetapi dia berkata, "Siapa nak sentuh barang kamu!" Walaupun berkata begitu, dia berasa agak sedih. Dia membelakangi Ou Ming dan menutup matanya.

Yu Lili, kau memang bodoh dan terlalu lembut hati!

*****

Sebaik terjaga dari tidur, Li Sicheng melihat beberapa mesej WeChat pada telefonnya. Ia dihantar oleh Ou Ming.

Selepas menelefon Ou Ming beberapa kali tetapi tidak dijawab, Li Sicheng meletakkan telefonnya ke tepi dan berpaling untuk memeluk isterinya. Su Qianci sedang nyenyak tidur, tetapi apabila dipeluk, dia masuk ke dalam pelukan suaminya dan tertidur kembali. Tangan Li Sicheng menyentuh pinggang isterinya.

Berat isterinya sudah bertambah. Comel.

Su Qianci mengerang dan menolak tangan Li Sicheng.

Li Sicheng menundukkan kepalanya dan berkata, "Bangun Puan Li."

"Janganlah bising." Su Qianci menggumam tanpa membuka matanya.

Li Sicheng naik ke atas tubuh isterinya dan memicit hidungnya. "Kamu dah semakin malas."

"Em… pergilah. Saya nak tidur." Su Qianci mengerutkan dahinya dan menepis tangan suaminya.

Li Sicheng ketawa kecil dan berhenti mengusik. Selepas menggosok gigi dan membasuh muka, dia keluar ke halaman rumah untuk berlari bersama anak-anaknya. Namun dia hanya sempat berlari selama beberapa minit sebelum mendapat panggilan daripada Ou Ming.

Li Jianyue yang melihat ayahnya menjawab telefon terus menjadi malas dan meminta Abang Mosen untuk menangkap serangga.

Selepas menamatkan panggilan, Li Sicheng melihat anak-anaknya yang sedang mengejar satu sama lain. Ketika dia baru sahaja mahu menyimpan telefon ke dalam poket, ia kembali berdering. Kali ini ia panggilan daripada Cheng You.

Cheng You telah beberapa minggu kembali bekerja dengannya. Mungkin disebabkan mengikuti Rong Rui, kemahiran kerjanya lebih hebat dan lebih efisien berbanding dahulu. 

Sebaik sahaja menjawab panggilan itu, Li Sicheng mendengar berita gempar.

"Bos, kami dah jumpa Bo Xiao."

Bo Xiao...

Mendengar nama itu, Li Sicheng terkejut dan terus bertanya, "Di mana?"