webnovel

Tiba di Cenuram Penghujung Syurga (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Ye Mei menggelengkan kepala.

"Tuanku tidak meninggalkan apa-apa arahan tentang hal ini dan kita tak boleh buat keputusan sendiri. Lagipun…" Kening Ye Mei berkerut sewaktu dia berkata, "Saya rasa sebab mengapa Tuanku Jue1 tidak mendedahkan identiti sebenarnya kepada Cik Muda adalah untuk mengelakkan dia mendapat sebarang bahaya. Orang-orang itu masih tak berputus asa memburu Tuanku."

Ye Sha menumbuk tapak tangannya dengan marah.

"Kalaulah kita tak termasuk perangkap ketika itu, serangga-serangga hina tu tak akan mampu buat apa-apa pada Tuanku! Sayangnya setelah lama dikurung, kuasa Tuanku sudah berkurangan. Kalau tidak, sayalah orang pertama yang akan mengikut Tuanku Jue dalam serangannya untuk menghapuskan penghinaan yang dialami!"

Segala yang berlaku pada Jun Wu Yao pada ketika itu kini ibarat duri yang tertusuk di hati Ye Sha dan sahabat-sahabatnya.

Baginda dihina sebegitu semuanya kerana kelemahan orang-orang bawahannya!

Kalaulah mereka tidak terikat dengan tanggungjawab untuk mencari Jun Wu Yao pada ketika itu, pasti mereka sudah mengambil nyawa sendiri sebagai balasan kerana gagal melindungi Tuanku.

"Itu semua sudah berlalu. Kita perlu tunggu sehingga Tuanku kembali untuk membuat keputusan bagaimana untuk menguruskan hal ini. Tapi berdasarkan apa yang saya lihat, Cik Muda nampaknya bersungguh-sungguh mahu turun ke dasar Cenuram Penghujung Syurga. Kalau kita tak boleh dedahkan hal sebenar padanya, sekurang-kurangnya kita patut pergi bersama-sama mereka. Pertama sekali, ini akan memberikan kita peluang untuk mengawasi Cik Muda dengan ketat. Kedua, kita boleh memastikan sama ada tempat di dasar Cenuram Penghujung Syurga ini benar-benar hasil buatan Rejim Kegelapan." Selepas mempertimbangkan segala pilihan yang ada, Ye Mei menyedari itulah satu-satunya pilihan paling logik.

Ye Sha tak dapat memikirkan idea yang lebih bernas, jadi dia bersetuju sahaja.

Mereka berdua kembali dan berbincang dengan Jun Wu Xie, meminta supaya dibenarkan ikut bersama dalam perjalanan turun ke dasar Cenuram Penghujung Syurga. Alasannya, mereka tidak dapat berhadapan dengan Jun Wu Yao nanti jika ada apa-apa bahaya menimpa Jun Wu Xie.

Sebaik mereka menyebut nama Jun Wu Yao, Jun Wu Yao tidak dapat membantah lagi.

Lagipun, Ye Sha mempunyai kemahiran yang tinggi. Melihatkan cara Ye Mei berinteraksi dengan Ye Sha, dia juga tidak kurang hebatnya. Memiliki dua pakar tempur hebat bersama-sama mereka pasti akan lebih menjamin keselamatan kumpulan ini.

Kumpulan Jun Wu Xie membawa sebanyak sepuluh gulungan tali yang kuat sebagai persediaan menghadapi apa-apa yang tidak dijangka. Mereka memberikan dua tali yang berbaki itu kepada Ye Sha dan Ye Mei.

Mu Qian Fan tinggal di puncak cenuram untuk menjaga peralatan sementara Jun Wu Xie dan yang lain sudah pun memasang tali dengan kukuh. Mereka mencampakkan satu lagi hujung tali itu melepasi pinggiran cenuram. Tali yang panjang itu jatuh jauh ke bawah dan terus tidak kelihatan lagi setelah ditelan kabus putih yang tebal.

"Izinkan kami turun dulu," kata Ye Sha.

Jun Wu Xie mengangguk.

Ye Sha dan Ye Mei mengambil dua utas tali yang paling hujung dan paling berkemungkinan akan terdedah pada bahaya. Pada masa yang sama, Ye Sha mengambil Tuan Embek Embek dan menyumbatkan binatang roh itu ke dalam bajunya untuk mengurangkan beban Jun Wu Xie.

Beberapa ketika selepas Ye Sha dan Ye Mei memulakan perjalanan turun ke dasar, Jun Wu Xie terdengar laungan mereka. Jun Wu Xie dan rakan-rakannya menggenggam tali masing-masing dan turut memulakan perjalanan mereka turun ke dasar.

Jarak dari puncak cenuram dan bahagian dasarnya itu teramat jauh. Malah mereka terpaksa bermalam sambil tergantung pada tali-tali tersebut. Ahli-ahli kumpulan ini sudah pun menukar pakaian yang lebih tebal dan memakai kot yang disapu lapisan kalis air di bahagian luarnya. Walaupun mereka tak dapat membuatkan pakaian mereka kalis lembapan sepenuhnya, sekurang-kurangnya lebih baik daripada tidak ada perlindungan langsung.

Jun Wu Xie yang memakai sarung tangan kain guni yang kasar menggenggam tali dengan kuat dan perlahan-lahan turun dari puncak cenuram.

Mereka tidak bergerak dengan pantas. Perjalanan mereka masih jauh. Kalau mereka terlalu cepat menggunakan tenaga yang banyak, mereka akan kehabisan tenaga pada separuh perjalanan.

Mereka baru sahaja turun kira-kira sepuluh meter apabila Jun Wu XIe merasakan suhu di sekelilingnya turun secara mendadak. Tali yang mereka campakkan sebentar tadi sudah pun dilapisi embun. Kalau mereka tidak membuat persediaan rapi dengan membeli tali serta sarung tangan yang lebih kasar untuk meningkatkan daya geseran dan menguatkan cengkaman, pasti kelembapan pada tali ini akan memberikan masalah besar pada mereka. 

Jun Wu Xie mendongak memandang puncak cenuram dan mendapati dia tidak lagi dapat melihatnya. Semua yang berada di hadapan matanya telah diselubungi kabus yang tebal.