webnovel

Tanah Maut (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie perlahan-lahan berjalan menuju salah satu bongkah batu hitam itu. Sepantas kilat Ye Sha muncul di sebelah Jun Wu Xie dan menariknya jauh dari situ!

Sebelum Jun Wu Xie sempat pulih daripada berasa terkejut, batu hitam yang berada berdekatan dengannya tadi tiba-tiba dihancurkan oleh satu bayang hitam yang besar!

Batu hitam yang keras itu menjadi debu dalam sekelip mata!

"Cik Muda! Kita tak boleh berlengah di sini lagi!" kata Ye Sha dengan tergesa-gesa. Dia berdiri di hadapan Jun Wu Xie untuk melindunginya sambil merenung bayang-bayang hitam yang perlahan-lahan sedang menghampiri mereka. Mata Ye Sha dipenuhi kebimbangan.

Bayang-bayang hitam itu diselubungi kabus putih dan saiznya seperti gergasi. Cahaya dari Glob Api Roh mereka pun tidak membolehkan rupa sebenar bayang-bayang hitam ini dapat dilihat sepenuhnya.

Satu aura yang kuat dan menekan tiba-tiba melanda mereka, melangkaui apa yang pernah dirasai sebelum ini dan mencengkam hati mereka!

"Apa… apa benda tu…" Qiao Chu terpaku memandang bayang hitam besar di sebalik kabus itu. Walaupun dia tidak dapat melihat rupa "benda" dengan jelas, berdasarkan saiznya sahaja, pasti ia sama besar dengan bentuk sebenar Tuan Embek Embek!

"Mungkinkah itu satu lagi Binatang Roh Gred Penjaga?" Hua Yao berasa terkejut.

Sewaktu Mu Qian Fan bertembung dengan raksasa di dasar cenuram ini, dia tidak dapat lihat pun apa rupa bentuk sebenar raksasa tersebut.

Kini mereka sedar yang pasti raksasa inilah yang telah ditemui oleh Mu Qian Fan ketika itu!

Raksasa ini amat besar. Ketika ia berdiri, cahaya Glob Api Roh tak dapat mencecah kepalanya. Apa yang mereka dapat lihat hanyalah kaki yang besar dan kuku-kuku yang tajam. Kaki itu dipenuhi sisik berwarna hijau yang berkilauan dengan amat menggerunkan di bawah sinaran cahaya!

"Embek!"

Tuan Embek Embek mengembek dengan kuat, seolah-olah dapat merasakan kehadiran yang menggerunkan itu.

Kalau Binatang Roh Gred Penjaga ini pun berasa cemas, pasti raksasa itu sama kuat dengannya!

Raksasa itu bergerak ke hadapan dengan perlahan-lahan. Setiap langkah yang diambilnya membuatkan tanah di bawah kaki mereka bergegar!

Awan-awan kabus yang tebal menyelubungi raksasa itu. Sambil ia bergerak, kabus itu tidak menipis, malah nampaknya menjadi semakin tebal.

Kabus tebal seolah-olah sedang ditarik oleh angin. Jun Wu Xie dan ahli kumpulannya dapat merasakan satu bahang kepanasan.

Raksasa itu amat besar dan menggerunkan.

"Lari! Cepat!" Ye Sha berpaling dan berkata dengan cemas. Dia tidak menyangka makhluk ini dibawa turun ke Alam Bawahan untuk berkawal di sini. Tuhan saja yang hanya seorang lelaki sahaja dalam dunia ini yang mampu mengawalnya!

[Macam mana orang-orang dari Rejim Kegelapan dapat meletakkan makhluk ini di sini!?]

Menyedari krisis ini, mereka semua menjadi cemas dan tidak ada seorang pun yang mempersoalkan keputusan Ye Sha ketika itu. Hampir serentak dengan jeritan Ye Sha, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya terus berpusing dan pantas memecut untuk kembali ke arah mereka datang tadi.

"Raksasa tu tak begitu pantas. Cuba sebaik mungkin untuk lari dari sini. Lagi jauh lagi baik!" Ye Mei yang melindungi kumpulan itu di satu sisi saling bertukar pandangan dengan Ye Sha. Masing-masing tersenyum kelat.

Kalau mereka berdua serentak menyerang raksasa itu pun mustahil mereka dapat mengalahkannya!

Sekarang ini satu-satunya pilihan yang mereka ada hanyalah melarikan diri sepantas yang boleh. Itulah sahaja peluang mereka untuk terus hidup.

Semua orang berlari bagai nak gila. Tetapi mereka perlu mengikut jalan yang mereka telah ambil untuk ke sini tadi. Kalau tidak, sedikit kesilapan sahaja mungkin membuatkan mereka jatuh ke dalam lubang benam yang ada di seluruh kawasan itu.

Kawasan itu dipenuhi perangkap dan mereka pula sedang dikejar oleh raksasa yang membuatkan Binatang Roh Gred Penjaga juga berasa gerun. Ketika itu semua ahli kumpulan tersebut dicengkam perasaan cemas!

Tiba-tiba bahang kepanasan di belakang mereka tadi kini dirasakan semakin kuat.

Jun Wu Xie cepat-cepat berpaling dan terlihat satu bebola api hijau meluru ke arahnya!

"Embek~! ! ! ! ! ! ! ! !"