Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya melihatkan Ning Xin cuba bergelut buat kali terakhir.
Yin Yan terduduk di atas lantai dengan wajah yang menunjukkan riak kecewa serta tidak percaya. Dia merenung kosong pada Ning Xin, seolah-olah tidak pernah mengenali gadis ini.
Adakah gadis di hadapannya ini, yang kelihatan seperti hampir hilang kewarasan, merupakan Senior Ning yang pernah menariknya keluar dari jurang kegelapan?
Setiap patah perkataan yang Ning Xin luahkan dalam tuduhannya membuatkan Yin Yan semakin tertekan.
Pada ketika itu, Long Qi terlihat pandangan mata Jun Wu Xie. Dia melangkah ke hadapan lalu menghulurkan tangan untuk mencengkam Yin Yan.
Yin Yan terus tersedar dan merangkak ke belakang.
"Bukan saya! Bukan! Senior Ning, kenapa buat saya begini? Saya selalu patuh dengan arahan Senior Ning. Kamu yang mahu saya pergi menyebarkan khabar angin jahat tentang Jun Xie dan menyuruh saya menggalakkan Li Zi Mu untuk mencemarkan nama Jun Xie. Saya buat semua yang kamu suruh! Selepas itu kamu suruh saya gunakan nama Jun Xie yang telah tercemar itu untuk menjatuhkan reputasi Fan Jin. Saya lakukannya seperti yang kamu suruh! Kenapa buat saya begini sekarang? Saya sangat setia dengan kamu selama ini!" Yin Yan diselubungi perasaan gerun pada ketika itu dan dengan cuainya telah mendedahkan segalanya tentang Ning Xin memberi arahan untuk dia melakukan perbuatan-perbuatan jahat tersebut.
Dia takut, teramat takut. Ketika di Hutan Roh Pertempuran, dia hilang keberaniannya. Selepas kembali ke Akademi Zephyr, dia terus menjadi penakut. Setiap kali terlihat Jun Xie, dia mendapati dirinya diselubungi perasaan gerun yang tidak dapat dijelaskan.
Long Qi sedang berdiri di hadapannya dan lelaki ini kelihatan amat menakutkan. Yin Yan langsung tidak ragu-ragu yang jika dia tidak menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut, lelaki yang tinggi lampai ini pasti akan membunuhnya!
"Semuanya sebab kamu... kamu yang mahu membunuh Fan Jin. Kamu yang mahu orang-orang dari Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan itu mati. Saya tidak ada kena-mengena dan hanya mengikut arahan kamu."
Sebaik Ning Xin menolak segala beban kesalahan itu pada Yin Yan, Ning Rui sedar yang tindakan itu merupakan kesilapan besar. Tetapi dia tidak sempat menghentikannya dan Yin Yan yang dalam ketakutan itu mula mendedahkan setiap butiran.
Pada ketika itu Ning Rui terus menjadi pucat!
Habislah! Semuanya sudah berakhir!
Selepas Yin Yan mendedahkan segala-galanya, Ning Rui tidak akan dapat menyelamatkan Ning Xin lagi!
Kata-kata Yin Yan itu bukan sahaja membuatkan wajah anak beranak Ning itu menjadi pucat, tetapi juga hampir membuatkan Fan Qi, yang cuba sehabis daya untuk melindungi mereka, berundur kerana terkejut.
"Apa… apa kamu kata tadi? Membunuh Fan Jin... apa yang sebenarnya sedang berlaku!?" Fan Qi merenung Yin Yan. Seluruh tubuhnya tiba-tiba menggigil.
Yin Yan tahu hubungannya dengan Ning Xin kini sudah putus dan kalau dia terus membantu Ning Xin menyembunyikan hal sebenar, dia yang akan dibunuh nanti. Dia cepat-cepat merangkak ke sisi kaki Fan Qi lalu meraung, "Ning Xin cemburu dengan Senior Fan! Sejak Jun Xie dimasukkan ke akademi, Ning Xin berterusan menyebarkan khabar angin jahat tentangnya. Senior Ning mahu menggunakan khabar angin yang menyelubungi Jun Xie untuk merosakkan reputasi Senior Fan! Sewaktu Perburuan Roh, dia juga telah mengaturkan orang-orang untuk cuba membunuh Senior Fan! Guru Besar! Saya akan beritahu semuanya! Tolong selamatkan nyawa saya! Pasti saya sudah dipukau oleh Ning Xin! Adakah kamu percaya yang pelajar biasa seperti saya akan melakukan sesuatu yang ganas dan gila seperti ini!?"
Fan Qi mengangkat kepalanya. Matanya kelihatan kecewa dan penuh perasaan tidak percaya sewaktu dia berpaling memandang Ning Xin.
Boleh dikatakan yang dia sudah melihat Ning Xin membesar dari kecil sehingga menjadi seorang gadis muda hari ini. Ning Xin dan Fan Zhuo hampir sebaya dan mereka telah ditunangkan sejak kecil. Selama ini, Fan Qi sentiasa melayan Ning Xin seperti anaknya sendiri. Jadi pemikiran sebegitu tidak pernah terlintas di fikirannya walau sekali.
Ning Xin begitu cemburu dengan Fan Jin sehingga perasaannya itu bertukar menjadi benci. Malah dia juga tergamak cuba mengambil nyawa Fan Jin!
"Fan Jin, benarkah… apa yang dia katakan ini…" Fan Qi tidak dapat mempercayai apa yang sedang berlaku. Dia hanya mampu berpaling dan memandang anaknya yang hanya mendiamkan diri.