webnovel

Tamparan Ketujuh (14)

Editor: EndlessFantasy Translation

Di dalam era di mana nilai seorang wanita itu dilihat daripada segi kecantikan dan kelembutannya, gadis mana yang tidak menghargai rupa parasnya? Namun begitu, cemeti Long Qi yang kejam itu nampaknya bersungguh-sungguh mahu memusnahkan wajah yang cantik tetapi kelihatan hipokrit itu!

Ning Xin menangis bersungguh-sungguh di dalam hatinya, memohon dan merayu. Sebabnya, semua mata yang sedang memandangnya itu seolah-olah sedang memberitahunya yang dia kini kelihatan amat hodoh dan menjijikkan.

[Jangan tengok...]

[Tolonglah jangan tengok!!!]

Ning Xin menjerit di dalam mindanya. Kecantikannya serta maruahnya sedang dihancurkan sehingga menjadi debu. Semua yang amat dia sayangi sedang dirampas daripadanya.

Saat ini, sewaktu dia dalam keadaan paling sengsara dan segala penghinaan yang diterimanya dapat dilihat oleh seluruh pelajar Akademi Zephyr, Ning Xin tidak dapat lagi bersembunyi. Sikap hipokritnya didedahkan, kecantikannya sedang dimusnahkan dan tidak ada satu pun bahagian badannya yang tidak tercedera. Pada ketika ini, Ning Xin kelihatan lebih hodoh dan menjijikkan daripada pengemis-pengemis dipenuhi ketuat yang berada di jalanan!

Tiga puluh sebatan… Long Qi sudahpun menyelesaikan dua puluh sembilan sebatan. Walaupun Ning Xin sudah amat lemah, tidak ada satu pun luka yang ada pada badannya itu boleh membawa maut. Ning Rui menggenggam tangannya. Kebencian dan kemarahan yang membara di dalam hatinya membuatkan dia begitu ingin menyiat-nyiat Jun Wu Xie dan yang lain menjadi cebisan di situ juga.

[Satu lagi sebatan, satu saja lagi...]

[Tak apa, keadaan akan jadi lebih baik!]

Selagi Ning Xin masih bernyawa, Ning Rui ada banyak cara untuk membolehkan anaknya mendapatkan semuanya kembali. Walaupun mereka tak boleh berada di Akademi Zephyr lagi, ada banyak tempat lain yang lebih baik untuk dia tempatkan Ning Xin!

Selagi anaknya dapat bertahan dengan sebatan terakhir ini, Ning Rui masih boleh mengubah keadaan!

Ning Rui menggenggam penumbuknya dengan begitu kuat sehingga tangannya kelihatan pucat. Dia merenung cemeti panjang pada tangan Lonq Qi itu dan mula bersiap-sedia. Sebaik sebatan terakhir itu selesai, dia akan bergegas pergi menyelamatkan Ning Xin

Sewaktu Long Qi mahu melakukan hayunan tangan untuk sebatan kali terakhir itu, dia tiba-tiba menarik kembali tangannya. Setelah teragak-agak seketika, dia tiba-tiba mengangkat tangannya sekali lagi!

Sebatan terakhir ini tidak terkena pada muka Ning Xin atau bahagian badannya. Sebaliknya sebatan ini disasarkan ke bahagian pinggangnya!

Bahagian bawah badan Ning Xin sudah pun hancur setelah dipukul dengan kayu pemukul sebanyak seratus kali sebelum ini. Apabila sisa bahagian daging yang masih bercantum itu disebat dengan kuat oleh cemeti Long Qi, badan Ning Xin tersiat dan berkecai disebabkan impak pukulan tersebut!

Badan Ning Xin terbelah dua, terputus di bahagian pinggang disebabkan oleh sebatan Long Qi yang luar biasa kuatnya. Semua organ dalaman dan usus terkeluar dari badannya dan berlonggok di atas tanah!

Ketika itulah Ning Xin menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sehingga saat kematiannya sekalipun, mata Ning Xin dipenuhi kekecewaan dan dendam.

Ning Rui hilang akal!

Dia terhuyung-hayang beberapa langkah, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya!

Ning Rui hanya perlu menunggu satu sebatan terakhir, namun sebatan terakhir tersebut yang meragut nyawa Ning Xin. Badan Ning Xin sudah terbelah dua. Jika ada dewa turun dari langit sekalipun, mereka tak mungkin dapat mencantumkan Ning Xin semula!

Sewaktu dia sedang kecewa tadi, satu sinar harapan kecil telah diberikan padanya. Pada saat terakhir, harapan tersebut telah dirampas. Ini membuatkan Ning Rui berasa seolah-olah telah jatuh ke dalam jurang yang amat dalam.

Ning Rui merasakan kekuatannya telah hilang sepenuhnya. Hanya dengan sokongan para pelajar di situ sahaja dia dapat kekal berdiri. Dia merenung kosong pada badan Ning Xin dan tidak dapat menerima hakikat yang anaknya itu sudah mati.

"Hukuman sudah dijalankan, maka hal ini dianggap telah selesai," Setelah menyaksikan Ning Xin perlahan-lahan menghampiri maut sehingga akhirnya menemui ajal serta menikmati kekecewaan di wajah Ning Rui, Jun Wu Xie bersuara dengan nada meninggi diri.

Wajah Fan Qi pucat lesi. Walaupun dia baru sedar tentang sikap Ning Xin yang bermuka-muka dan kejam itu, menyaksikan sendiri Ning Xin diseksa perlahan-lahan sehingga mati merupakan sesuatu yang amat menakutkan dan menyebabkan trauma ke atas dirinya.

Sepanjang tempoh hukuman itu dijalankan, Jun Wu Xie langsung tidak berkelip. Fan Qi tiba-tiba menjadi gerun dengan kedinginan tanpa perasaan Cik Muda Keluarga Jun ini.

"Ya….. Ya….." Fan Qi yang sedang dipapah oleh Fan Jin, membalas dengan lemah. Suaranya perlahan, seolah-olah berbisik.