webnovel

Tamparan Ketiga (5)

Editor: EndlessFantasy Translation

Tenaga rohani berwarna jingga yang terpancar daripada badan Jun Wu Xie tersebar ke luar dan membentuk lingkaran cahaya yang meneranginya. Sembilan orang ahli delegasi Kumpulan Qing Yun itu memandang Jun Wu Xie dengan terkejut.

Seorang pengguna roh tahap jingga dapat melepaskan tenaga rohnya sehingga ke tahap ini?

Mustahil!

Gadis di hadapan mereka ini hanya mempunyai roh tahap jingga. Dia lebih lemah berbanding Jun Xian dan yang lain-lain. Tetapi atas satu sebab yang tidak diketahui, apabila mata yang dingin itu tertumpu pada mereka, dapat dirasakan seolah-olah mereka telah jatuh ke dalam jurang neraka yang berapi.

Roh tahap jingga yang melepasi batasannya. Roh berkontrak yang tidak dapat ditentukan tahapnya. Kombinasi kedua-duanya agak sukar dipercayai.

Sambil masih bertempur, Jun Qing mencuri pandang ke arah Jun Wu Xie. Dia masih ingat lagi yang roh berkontrak Jun Wu Xie baru saja bangkit beberapa bulan dulu. Kini Jun Wu Xie sudah mencapai roh tahap jingga?

Kepantasan kemajuan pencapaian Jun Wu Xie turut membuatkan Jun Qing terkejut!

Jun Wu Xie bersedia untuk memulakan langkah dan bergerak menuju pengikut Kumpulan Qing Yun, apabila satu jalur putih meluru dari arah belakangnya.

"Biar saya uruskan sampah kecil ini. Cik tak sepatutnya mengotorkan tangan." Suara pemuda itu yang tegas dan jelas itu sampai ke telinga Jun Wi Xie. Angin yang bertiup membawa haruman wain yang berlegar-legar di hidung Jun Wu Xie yang kecil dan mancung itu.

Jun Wu Xie berhenti bergerak dan merenung susuk tubuh berwarna putih yang meluru ke arah kekecohan itu.

Teratai Mabuk!

Jubah putih pemuda itu berterbangan ditiup angin. Wajahnya tampan dan pipinya berseri-seri kemerah-merahan. Dia terus menyertai pertempuran itu. Ke mana saja dia pergi, seolah-olah ada ribut yang mengikutinya. Kebanyakan mereka yang diserang, termasuklah Jun Xian, tiba-tiba merasakan ada satu kuasa yang kuat menarik lengan baju mereka dan tanpa disedari, mereka sudahpun dicampak keluar dari medan peperangan!

Dalam sekelip mata, Long Qi dan rakan-rakan seperjuangannya yang telah dikepung, mendapati diri mereka melayang ke udara setelah dicampak keluar dari situ.

Seorang pemuda yang berpakaian putih sepenuhnya berdiri di dalam bulatan yang dikelilingi oleh orang-orang Kumpulan Qing Yun. Jubahnya yang longgar, terbuka sedikit dan menunjukkan kulitnya yang cerah. Bahunya diangkat dan dia berpeluk tubuh sambil jari-jarinya memegang balang berukir yang berisi wain.

Teratai Mabuk memijak tanah yang lembap itu sambil berkaki ayam. Darah yang melekit membasahi kakinya, Dia mengangkat matanya dan kemarahannya meluap-luap sambil dia merenung orang-orang Kumpulan Qing Yun itu.

"Datuk! Pak Cik!" Apabila anak-beranak Keluarga Jun itu dicampak, Jun Wu Xie telah memancarkan tenaga rohaninya dan menyambut mereka. Dia kemudiannya meletakkan mereka ke tanah dengan perlahan-lahan.

"Wu Xie, siapa pemuda itu?" Jun Qing memapah Jun Xian sambil memandang Teratai Mabuk yang telah dikepung itu. Dia langsung tidak perasan kehadiran sesiapa sebelum dia tiba-tiba tercampak ke udara. Melihat keadaan di medan peperangan itu kini, pasti kejadian tadi berpunca daripada pemuda itu.

"Itu Teratai Mabuk," balas Jun Wu Xie dengan bersahaja. Wajahnya berkerut sambil dia memeriksa tubuh badan anak-beranak itu. Hanya selepas tidak menemui sebarang kecederaan parah barulah dia mengeluh lega. Tetapi kemarahannya membara melihatkan pakaian mereka yang berlumuran darah. Sebaik menemui beberapa lagi luka kecil, api kemarahannya semakin menyala-nyala!

Jun Wu Xie berpaling ke arah Teratai Mabuk dan binatang hitam yang berada di medan peperangan itu, lalu memberikan arahan dengan suara yang menggerunkan.

"Jangan biarkan sesiapa sekalipun terlepas."

Mereka berani mencederakan Jun Xian dan Jun Qing? Mereka akan bayar dengan darah!

"Baik! Tuan!" Satu senyuman kejam muncul di mulut Teratai Mabuk. Dia menikmati kesan wain itu dan terus bertindak menggila!

"Siapa kau?" Pemuda itu tiba-tiba mengganggu pertempuran mereka dan memusnahkan momentum mereka. Pengikut Kumpulan Qing Yun berasa amat marah sambil mereka merenung pemuda yang mempunyai niat jahat yang tidak terselindung itu.

Mula-mula, ada binatang hitam yang bergerak sepantas kilat itu. Kemudian kemunculan tiba-tiba pemuda ini. Kejadian-kejadian yang tidak disangka ini membuatkan mereka lebih berwaspada.

Kalau mereka katakan binatang hitam itu bergerak terlalu pantas, sekurang-kurangnya mereka masih tetap dapat melihatnya. Tetapi bila masa pula pemuda ini sampai ke sini?

Tiada siapa di antara mereka yang menyedari kehadirannya!

Malah pakar roh indigo itu juga hanya menyedari kehadiran pemuda tampan itu setelah Teratai Mabuk berhenti bergerak dan berdiri tegak.

Teratai Mabuk memandang lelaki di sekelilingnya dan menghayunkan balang wain itu ke mulutnya. Dia meneguk wain itu, kemudian menyapu mulutnya dengan tangan sebelum berkata dengan dingin, "Ingat ya. Hari ini, orang yang hantar kamu semua ke neraka ialah saya, Tuan Teratai Mabuk!"