webnovel

Tamparan Kesembilan (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah dimarahi dengan tegas oleh Feng Yue Yang, Xiong Ba menjadi bingung seketika.

"Senior Feng, apa… apa yang kamu cakap ni?" kata Xiong Ba dengan kecewa.

"Apa yang saya cakap!? Saya nak cakap yang kamu tu berani layan penyelamat nyawa Cik Muda kita ni dengan begitu kasar. Kamu memang betul-betul melampau kali ni!" kata Feng Yue Yang dengan nada tidak puas hati.

"Ap… apa… penyelamat… Cik Muda?" Mata Xiong Ba terbeliak. Dia syak ada yang tak kena dengan pendengarannya.

"Kamu tak nak turunkan dia?" Feng Yue Yang menjeling garang pada Xiong Ba.

Fikiran Xiong Ba tiba-tiba menjadi kosong dan dia hanya mampu menurut sahaja kata-kata Feng Yue Yang. Dia menurunkan Jun Wu Xie. Boleh dikatakan tindakannya kali ini begitu lembut, seolah-olah sangat berhati-hati.

Setelah kakinya kembali menjejak lantai, Jun Wu Xie dengan tenangnya merapikan pakaiannya dan membetulkan kolar bajunya yang direnyukkan oleh Xiong Ba tadi.

Feng Yue Yang terus pergi berdiri di sisi Jun Wu Xie. Dia menyilangkan tangannya di hadapan dan membongkokkan badan untuk memberikan tunduk hormat 90 darjah pada Jun Wu Xie!

Situasi itu mengejutkan semua orang yang berada di dalam bilik itu.

Status apa yang Feng Yue Yang pegang? Di dalam hati tabib-tabib di situ, dia ibarat berada di kemuncak kekuatan, seperti pemilik Roh Ungu! Pada hari ini di hadapan semua orang, Feng Yue Yang yang sudah beruban dan memiliki kemahiran serta ilmu perubatan yang tiada tandingan itu telah tunduk hormat pada seorang gadis muda yang baru berusia lima belas tahun!

Semua orang di dalam bilik itu terus menjadi kucar-kacir.

"Orang tua ini terlalu buta untuk melihat kegemilangan Cik Jun. Saya bersalah kerana bersikap seperti katak di bawah tempurung dan sudah tersalah faham pada Cik Jun. Saya mohon kemaafan daripada Cik Jun." Nada suara Feng Yue Yang juga tidak lagi kedengaran sombong dan bersahaja seperti tadi. Malah suaranya sedikit bergetar. Getaran itu disebabkan perasaan teruja dan bersemangat yang dirasainya pada ketika itu.

"Tak apa," balas Jun Wu Xie dengan selamba. Dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut. Dia tidak teragak-agak untuk menerima permohonan maaf yang ikhlas daripada Feng Yue Yang.

Semua orang di dalam bilik itu menggelabah merenung Feng Yue Yang. Mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mengapa pula tiba-tiba sahaja Feng Yue Yang menunjukkan sikap hormat pada Jun Wu Xie dengan tunduk dan memohon maaf padanya!?

"Senior Feng?" Wajah Xiong Ba menggerenyet sedikit. "Apa maksud kata-kata kamu tadi? Apa maksudnya bila kamu kata… penyelamat Cik Muda?"

Feng Yue Yang menjeling Xiong Ba sekali lagi dan berkata, "Kamu dan otak bingung kamu tu. Kalau tangan kamu tu tadi mengapa-apakan Cik Jun, saya pasti akan laporkan pada Ketua Besar bila kita balik ke Bandar Seribu Binatang nanti. Biar kamu renung balik tindakan kamu tu."

Xiong Ba berasa amat terkilan dengan situasi itu. Walaupun telah menerima teguran dan peringatan yang tajam daripada Feng Yue Yang, Xiong Ba masih tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Feng Yue Yang mengeluh dan berkata, "Orang tua ni pun sama dungu. Saya hampir buat kesilapan yang sama seperti kamu. Mujurlah Cik Jun ni berbesar hati dan sudi memaafkan."

Jun Wu Xie mengangkat bahu tanpa perasaan.

Feng Yue Yang meneruskan kata-katanya, "Kamu tahu apa hasil yang saya dapat sewaktu saya periksa nadi Cik Muda sekali lagi tadi?"

Xiong Ba menggelengkan kepala.

Feng Yue Yang berkata, "Cik Muda dah sembuh sepenuhnya dari kecederaannya. Sekarang ni dia cuma kurang darah sikit. Titik meridian jantungnya sudah sembuh dan kuasa rohani di dalam badannya pun dah kembali normal."

"Apa?" Xiong Ba berkata dengan tidak percaya. Matanya terbeliak kerana terkejut.

Pemuda bernama Qing Yu juga kelihatan sedikit gelisah ketika bertanya lebih lanjut, "Maksud Senior Feng…"

Feng Yue Yang berkata, "Walaupun saya tak tahu apa yang Cik Jun buat tadi, Cik Muda kita memang dah sembuh. Dia cuma perlu dirawat sedikit, eloklah dia nanti. Sekarang ni kamu sedar tak tindakan bodoh kamu tu tadi, si dungu! Kamu hampir cederakan penyelamat Cik Muda kita! Berani pula kamu nak jeling saya, ya!?"

Belum habis Feng Yue Yang bercakap, seluruh bilik itu dipenuhi dengan bunyi nafas yang tertahan!