Beberapa ketika tadi, jarum-jarum yang budak itu lepaskan daripada tangannya hanyalah jarum perak biasa dan langsung tidak mempunyai racun. Asalkan jarum tidak berguna itu tidak menusuk bahagian badan yang penting, semuanya tidak akan mampu mengapa-apakan dia.
Ke Cang Ju mungkin tidak yakin dapat mengelak semua jarum Jun Wu Xie, tetapi dia pasti yang dia boleh mengelakkan jarum-jarum itu daripada mengenai bahagian penting pada badannya.
Budak tak guna itu imun dengan racun, tapi nampaknya rakan-rakannya tidak begitu bertuah!
Ke Cang Ju menjeling ke arah Qiao Chu yang sedang terhuyung-hayang di belakang Jun Wu Xie.
Qiao Chu telah melepaskan kuasa rohaninya untuk melindungi badannya, tetapi tindakan itu tidak cukup untuk menghalang Asap Tunggal sepenuhnya. Qiao Chu mula menjadi tidak stabil dan kulitnya berwarna merah terang. Ini adalah simptom keracunan Asap Tunggal.
Tak lama lagi, Qiao Chu akan menghadapi kematian.
Selain racun yang menakutkan, Ke Cang Ju tidak mempunyai kemahiran berlawan yang lain. Kalau dia bertempur dalam jarak dekat dengan lawan yang memiliki kekuatan roh yang tinggi, dia tak akan dapat bertahan walau seketika.
Budak muda yang berdiri di hadapannya ini tidak mempunyai roh berkontrak yang kuat dan nampaknya tidak mempunyai kuasa roh tahap tinggi. Dalam usianya yang muda itu, walaupun roh berkontraknya sudah bangkit, kuasa rohaninya hanya akan berada di tahap merah. Pengguna roh tahap merah tidak mampu mengancam Ke Cang Ju.
Ke Cang Ju memikirkan hal ini dan melenyapkan ketakutan dan perasaan teragak-agaknya. Dia kembali tersenyum.
Jun Wu Xie menyedari perubahan yang berlaku pada ekspresi wajah Ke Cang Ju lalu memandang racun yang dipegangnya itu sebelum bertanya, "Jadi kamu panggil pil ini Pil Pereput Tulang?"
Soalan Jun Wu Xie hanya menguatkan lagi sangkaan Ke Cang Ju yang budak tak guna ini tidak mempunyai sebarang pil yang menakutkan. Kalau dia begitu arif tentang racun, bukankah dia sepatutnya mengenali Pil Pereput Tulang? Budak yang tak tahu apa-apa ini, yang tidak dapat mengenalpasti Pil Pereput Tulang sekalipun, tidak akan memiliki sesuatu yang memberi ancaman kepada Ke Cang Ju. Budak itu hanya menentangnya dengan menggunakan tubuh yang imun terhadap racun!
Dengan keyakinan itu, Ke Cang Ju mendapat kembali keangkuhan serta ekspresi wajahnya yang jahat.
"Budak, kau berani menggunakan racun aku untuk menakutkan kau? Memang kau ni naif dan dungu."
"Racun kamu sendiri?" Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya. Tiba-tiba dia melambaikan tangannya sambil memanggil, "Hitam Kecil!"
Satu bayang-bayang hitam yang besar meluru keluar dari belakang Qiao Chu lalu menerkam Ke Cang Ju yang baru sahaja mendapatkan kembali keyakinan dirinya.
Ke Cang Ju langsung tidak sempat mengelak dan mendapati dirinya ditolak ke belakang oleh suatu kuasa yang kuat, lalu rebah ke lantai. Sewaktu dia pulih daripada keadaan terkejut dan kesakitan, dia mendapati dirinya dihimpit oleh kaki binatang hitam itu yang ditekan ke bahunya. Dia tidak dapat bergerak. Dia terlihat rahang seekor binatang hitam yang besar di hadapan matanya. Taring binatang itu yang tajam bersinar-sinar di bawah sinaran cahaya api yang malap!
Keyakinan Ke Cang Ju yang baru sahaja pulih terus lenyap, dicarik-carik oleh binatang hitam di atasnya itu. Ekspresi wajah Ke Cang Ju bertukar menunjukkan ketakutan.
"Kamu kata ini hasil kerja kamu sendiri, apa kata kamu cuba sendiri?" Jun Wu Xie berjalan menuju Ke Cang Ju dengan perlahan-lahan sambil memastikan dirinya berada di tepi. Lelaki ini terlalu kotor. Jika Jun Wu Xie tersentuhnya walau sedikit, dia akan berasa sangat jijik sehingga mahu melapah kulitnya sendiri. Sebab itulah dia menyuruh kucing hitam kecil itu yang menyentuh Ke Cang Ju.
Jun Wu Xie memberi isyarat kepada binatang hitam itu yang kemudiannya mengaum dengan kuat sebelum kaki belakangnya dipijak ke perut Ke Cang Ju!
Ke Cang Ju menjerit kesakitan dan sebaik mulutnya terbuka, Jun Wu Xie menggerakkan pergelangan tangannya dan mencampakkan Pil Pereput Tulang yang kecil itu masuk ke dalam mulut Ke Cang Ju yang sedang ternganga. Binatang Hitam itu terus mengangkat kakinya dan menekan dada Ke Cang Ju, memaksa dia untuk menarik nafas dan menelan pil itu masuk ke perutnya.
Sebaik pil itu sudah ditelan, binatang hitam itu bangun daripada Ke Cang Ju dengan perasaan meluat.
Ke Cang Ju duduk sambil tercungap-cungap. Dia memegang dadanya yang kesakitan dan merenung Jun Wu Xie dengan pandangan kejam.