webnovel

Tamparan Kelapan (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Kemunculan Fan Zhuo secara tiba-tiba ini mengakibatkan kekecohan tersebar dalam kalangan kerumunan pelajar itu!

Mata semua orang terbeliak merenungnya. Mulut mereka semua ternganga memandang Fan Zhuo yang kelihatan elegan itu sewaktu dia melangkah keluar di bawah sinaran matahari yang hampir terbenam.

"Topeng" di wajah Ning Rui merekah sedikit. Dia telah menghantar sejumlah orang untuk pergi mencari Fan Zhuo sejak sekian lama tetapi usahanya sia-sia. Ning Rui tidak sangka Fan Zhuo akan tiba-tiba muncul di saat-saat kritikal!

Kalaulah dia muncul beberapa ketika kemudian, para pelajar Akademi Zephyr semuanya akan berada di dalam kereta-kereta kuda dan meninggalkan akademi itu!

Dengan adanya Fan Zhuo yang berdiri di hadapan mata mereka, para pelajar Akademi Zephyr mula berdebat dan berbalah. Semua orang tahu tentang peraturan di Akademi Zephyr yang menyatakan jika Guru Besar akademi itu meninggal dunia, kedudukan tertinggi di akademi itu akan diwarisi oleh anak-anaknya. Fan Jin hanya anak angkat dan tuduhan sebagai "pembunuh" Fan Qi membuatkan dia tidak layak memegang jawatan itu. Pada masa yang sama, kebetulan pula anak kandung Fan Qi iaitu Fan Zhuo telah hilang dan tidak dapat dicari. Ini membolehkan Ning Rui merampas kedudukan sebagai Pemangku Guru Besar Akademi Zephyr. Dia mengambil alih dan mengawal segala urusan Akademi Zephyr, sama ada kecil atau besar.

Tapi kini… Fan Zhuo sudah kembali…

Berpasang-pasang mata berpaling dan menjeling penuh syak pada Ning Rui sebelum kembali memandang Fan Zhuo. Pandangan mata mereka bertukar-tukar di antara dua orang yang berada di hadapan mereka ini!

Riak wajah Ning Rui bertukar gelap. Kalaulah dia dapat mencari Fan Zhuo sebelum ini, pasti dia sudah menghantar pembunuh upahan untuk menyingkirkan Fan Zhuo sebelum hal sebegini boleh berlaku. Kalaulah Fan Zhuo pulang pada masa-masa lain, Ning Rui masih ada peluang untuk menyingkirkan dia menggunakan cara lain yang tidak dapat dikesan. Tetapi Fan Zhuo memilih saat ini untuk secara terang-terangan menunjukkan kepulangannya di hadapan para pelajar lain. Mustahil Ning Rui boleh membunuh dia sekarang ini!

"Fan Zhuo? Akhirnya kamu pulang! Sudah lama Pak Cik tak lihat kamu. Risau Pak Cik dibuatnya." Sebaik menyedari dia tidak akan dapat melakukan apa-apa pada Fan Zhuo ketika itu, Ning Rui terus menunjukkan riak wajah prihatin dan cuba menampilkan dirinya sebagai orang tua yang dalam kerisauan ketika bercakap dengan Fan Zhuo.

Wajah Fan Zhuo tetap lembut dan dihiasi senyuman. Sama seperti riak wajah patuh dan hormat yang sentiasa ditunjukkannya pada Ning Rui selama ini.

"Pak Cik Ning, dah lama kita tak bertemu. Pak Cik sihat?"

Ning Rui menyedari yang wajah Fan Zhuo masih tersenyum seperti dahulu. Fan Zhuo juga memanggilnya "Pak Cik Ning" dengan mesra. Ini membuatkan Ning Rui menganggap yang Fan Zhuo tidak tahu tentang hal sebenar di sebalik kematian Fan Qi. Dalam diam hati Ning Rui berasa lega.

Fan Zhuo tidak seperti Fan Jin. Perwatakannya lebih lembut dan lemah. Setelah hidup terasing di dalam hutan buluh kecil itu, Ning Rui menganggap Fan Zhuo pasti lebih naif berbanding Fan Jin. Memandangkan dia dapat memanipulasi Fan Jin, Ning Rui berasa amat yakin setelah bertemu Fan Zhuo.

"Baik, baik. Semuanya baik. Cuma ayah dan abang kamu…" kata Ning Rui dengan teragak-agak. Wajahnya kelihatan amat sedih.

Fan Zhuo nampak terkejut. Wajahnya berkerut menunjukkan kebimbangan.

"Apa yang berlaku pada ayah dan abang saya?"

Ning Rui ketawa di dalam hatinya. Namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi di luaran. Sambil mengeluh dia berkata, "Ayah kamu dibunuh kira-kira setengah bulan yang lalu. Orang yang membunuhnya ialah abang kamu! Siapa sangka? Saya lihat Fan Jin membesar sejak kecil dan saya tak sangka dia akan jadi begitu bercita-cita tinggi. Dia sedar kesihatan kamu semakin pulih lalu berasa risau yang kedudukan Guru Besar itu tidak akan diberikan padanya. Jadi dia membuat rancangan jahat ketika kamu tidak ada di sini untuk memaksa ayah kamu menyerahkan jawatan Guru Besar itu padanya. Namun ayah kamu enggan tunduk. Tiada siapa yang menyangka penghinaan itu menyebabkan Fan Jin menjadi berang dan dia berani membunuh ayah kamu!"

Ning Rui menceritakan semua ini dengan suara yang bernada hiba. Wajahnya kelihatan sedih. Namun tersembunyi jauh di dalam matanya ialah sinar kekejaman yang penuh cemuhan.

[Keadaan kesihatan Fan Zho amat lemah. Selepas mendengar berita yang mengejutkan ini, pasti dia terperanjat. Paling kurang pun dia akan pengsan!]

[Sebaik Fan Zhuo menjadi lemah, saya akan bawa dia pergi untuk dapatkan "rawatan" dan buat alasan yang penyakit Fan Zho datang semula. Saya akan hantar dia untuk menyertai Fan Qi!]