webnovel

Tamparan Kelapan (20)

Editor: EndlessFantasy Translation

Seketika kemudian, kuasa rohani Jun Wu Xie lenyap sepenuhnya. Pada mulanya dia bergabung tenaga dengan Fan Zhuo dan mereka dapat menahan serangan musuh. Tetapi memandangkan semakin lama pertempuran itu berlaku kuasa rohani Jun Wu Xie menjadi semakin lemah, musuh mereka terus dapat mengesannnya. Dia mengambil kesempatan ini sebelum Fan Zhuo dapat bertindak dan terus menembak satu tenaga rohani yang terang, tepat ke arah Jun Xie!

Jantung Fan Zhuo tersentak sedetik dan dia benar-benar mahu menangkis serangan itu, tetapi sudah terlalu lambat!

Fan Zhuo melihat letusan tenaga rohani itu hampir menghentam Jun Wu Xie. Namun sebelum sempat Fan Zhuo mengelipkan mata, Jun Wu Xie tiba-tiba hilang dari tempatnya!

Jun Wu Xie sudah bersiap sedia untuk menerima serangan dan menderita kesakitan yang bakal tiba. Namun tanpa disangka, kesakitan itu sedikit pun tidak dirasainya. Malah, dia merasai sesuatu yang berbeza. Jun Wu Xie tiba-tiba mendapati dirinya didakap erat dalam satu pelukan yang hangat, menyenangkan dan tidak asing baginya.

"Adik Xie betul-betul dah dewasa! Dah boleh guna kuasa roh ungu? Tapi kamu baru belajar menggunakannya. Jangan terburu-buru, ya?" Kedengaran satu suara penuh perasaan bangga dan gembira dari atas kepalanya!

Jun Wu Xie terkejut lalu mendongak. Satu wajah yang tampan tanpa cela terlihat jelas di matanya.

"Abang….." Mata Jun Wu Xie sedikit terbeliak. Dia kelihatan terkejut. Jun Wu Xie tertanya-tanya bila pula Jun Wu Yao berjaya merangkulnya dalam situasi tadi!?

"Kenapa? Tak suka jumpa Abang?" Bibir Jun Wu Yao menguntum senyuman girang sewaktu dia mengusik si kecil molek dalam pelukannya itu.

[Baru berapa lama saya pergi dan dia sudah pun menyebabkan kekecohan besar berlaku. Kalau Ye Mei tak cari saya, sampai bila pun saya tak tahu kesayangan saya ni mampu melakukan hal-hal yang mengejutkan.]

"Bukanlah." Jun Wu Xie membantah tanpa sedar.

Jun Wu Yao ketawa dengan kuat dan mengangkat tangannya untuk mengusap-usap kepala Jun Wu Xie dengan penuh kasih-sayang. "Kalau bukan begitu, lega hati Abang. Sabar sekejap ya sementara Abang pergi membela kamu." Jun Wu Yao memegang Jun Wu Xie dengan hanya sebelah tangan. Dia berpaling untuk merenung lelaki-lelaki yang sedang melawan Ye Sha serta Fan Zhuo dan Fan Jin. Jun Wu Yao memerhatikan mereka sebelum akhirnya merenung tepat pada lelaki yang sebelum ini cuba mencederakan Jun Wu Xie.

Pada ketika itu, keriangan lembut pada matanya telah lenyap sepenuhnya dan digantikan dengan kilauan gelap yang kejam.

"Kamu berani nak apa-apakan dia? Nampaknya kamu dah hidup lama sangat ni. Sekejap lagi saya beri balasan." Suara lunak Jun Wu Yao perlahan-lahan kedengaran. Para penonton belum lagi pulih daripada berasa terkejut dengan kejutan kemunculannya apabila mereka terlihat satu bayang-bayang kecil meluru keluar dari jari-jari Jun Wu Yao. Bayang-bayang kecil itu menuju tepat pada lelaki yang telah bertempur dengan Jun Wu Xie tadi!

Fan Zhuo berada paling dekat dengan lelaki tersebut. Sebelum dia sempat sedar apa yang berlaku, tiba-tiba dia terlihat bayang-bayang tersebut terbang dan menusuk leher lawannya!

Dalam sekelip mata, kepala lelaki itu terpenggal sepenuhnya!

Potongan yang rata dan licin di leher lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan darah yang memancut tinggi ke udara!

Darah itu jatuh ke lantai bagaikan hujan. Kekecohan dalam kalangan para pelajar Akademi Zephyr tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Tidak ada satu bunyi pun yang terlepas dari mulut mereka!

Semuanya berlaku sepantas kilat!

Dua orang lelaki yang sedang bertempur dengan Ye Sha dan Fan Jin tiba-tiba mendapati diri mereka diserang bau darah yang kuat. Mereka berpaling lalu terlihat rakan mereka sudah pun dipenggal. Satu pancutan darah menderu keluar dari lukanya dan menghujani kawasan itu dengan warna darah yang terang dan menggerunkan!

Ketika itulah mereka berdua terlihat seorang lelaki yang tampan dan tidak dimakan usia di sebelah Jun Xie. Lelaki itu memegang susuk tubuh kecil molek itu sambil menguntum senyuman yang agak menggoda dan menawan. Tapi mata yang dikecilkan itu sebaliknya kelihatan seperti tasik beku musim luruh yang tidak terduga dalamnya. Hati mereka terus dicengkam perasaan gerun!

[Siapa lelaki ni!? Dalam sekelip mata sahaja dia dah bunuh rakan kita!]

Ketua kumpulan itu terkejut merenung Jun Wu Yao. Matanya jelas menunjukkan perasaan tidak percaya!

"Adik Xie nak simpan dua orang lagi ni?" Mata Jun Wu Yao tidak memandang orang lain, hanya tertumpu pada Jun Wu Xie. Dia langsung tidak peduli dengan lelaki yang telah dibunuhnya dengan begitu mudah dan terus bertanyakan pendapat Jun WU Xie dengan nada yang lembut.