webnovel

Tamparan Kelapan (16)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang Gu Ying dengan tenang dan berkata dengan suara yang lembut, "Kalau kamu mahu lakukannya pun, pastikan dulu kamu mampu buat atau tak."

Mata Gu Ying menjadi serius dan dia tiba-tiba meluru untuk menyerang Jun Wu Xie!

Hampir serentak dengan serangan itu, Ye Sha menerkam ke arah yang sama. Dalam sekelip mata, kedua-duanya bertembung. Udara di sekeliling bergetar dengan gelombang yang terhasil akibat pertembungan dua kuasa yang amat kuat ini!

Jun Wu Xie senyap sahaja memerhatikan pertempuran yang berlaku. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang perasaan, seolah-olah yakin kejayaan akan jadi milik mereka.

Sebaliknya, Ning Rui tidak begitu tenang. Melihatkan Gu Ying tidak mampu mengelak serangan Ye Sha, agak mustahil untuk dia membunuh adik-beradik Fan ketika itu. Hati Ning Rui berasa cemas.

"Guru Besar… ap… apa yang kita perlu lakukan sekarang?" Gongcheng Lei begitu takut sehinggakan kakinya menjadi longlai. Walaupun dia juga takut dengan Gu Ying, sekurang-kurangnya kalau Gu Ying menang, Gongcheng Lei akan dapat terus hidup. Tapi kalau Gu Ying kalah… Gongcheng Lei tidak berani terus memikirkan hal ini. Ketika Ning Rui mencemuh mereka yang lain tadi, dia yakin yang Gu Ying akan dapat mengawal keadaan dengan kuasanya. Sebab itulah dia berani mendedahkan segala-galanya. Tapi kalau keadaan berlaku di luar kawalan, apa yang akan terjadi pada mereka?

"Diamlah! Gu Ying tak mungkin akan kalah! Selain Wen Xin Han, tiada siapa yang setanding dengannya!" Ning Rui menjerit seolah-olah memberi amaran pada Gongcheng Lei. Tetapi sebenarnya dia cuba meredakan kebimbangan yang dirasai di dalam hatinya.

Dia tidak terlepas pandang dengan hakikat yang Gongcheng Lei telah sedari.

[KalauGu Ying menang, baguslah. Tapi kalau Gu Ying kalah, bencana akan menimpa!]

Setelah Ning Rui menjerit padanya, Gongcheng Lei terdiam dan menggigil ketakutan. Namun dia masih lagi berasa tidak sedap hati. Mungkin Gu Ying itu kuat. Begitu kuat sehinggakan hanya Wen Xin Han yang mampu menangkis serangannya. Tapi lelaki misteri yang muncul bersama-sama Jun Xie dan rakan-rakannya ini bukan sahaja mampu menghentikan serangan Gu Ying, malah juga mampu bergelut dengannya dalam tempoh masa yang lama. Gu Ying masih lagi tidak dapat melarikan diri daripada lelaki itu. Tambahan pula, lelaki itu memiliki kuasa aneh yang tidak sama dengan tanda-tanda warna yang biasa dilihat di dunia ini. Sebaliknya kuasanya berwarna hitam!

Dia memerhatikan pertempuran di antara Ye Sha dan Gu Ying yang menjadi semakin sengit. Tanpa disedari, perasaan gerun di hati Gongcheng Lei semakin bertambah kuat.

Perkara yang paling ditakuti oleh Ning Rui dan Gongcheng Lei itu sebaliknya menjadi sinar harapan kecil yang tertanam di hati semua orang di Akademi Zephyr. Sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka daripada situasi ini!

Semua orang memerhatikan pertempuran ini dengan berdebar-debar sambil menggenggam tangan mereka dengan kuat. Hanya Jun Wu Xie seorang sahaja yang nampaknya tidak ambil peduli. Seolah-olah menang atau kalah itu tidak bermakna baginya.

Atau…

Dia sudah pun tahu apa yang akan berlaku.

Tak lama kemudian kedengaran bunyi hentaman yang kuat!

Kedua-dua lawan yang bergelut dalam pertempuran itu tiba-tiba tercampak. Satu gelombang sisa kuasa menyelubungi para penonton yang sedang ralit. Gelombang itu terhasil akibat pertembungan yang kuat!

Ye Sha mendarat dengan stabil di sisi Jun Wu Xie. Sedikit darah mengalir di sudut mulutnya dan luka-luka yang tidak terkira jumlahnya dapat dilihat pada tubuhnya.

Di sudut bertentangan pula, Gu Ying juga turut mendarat. Keadaannya nampak lebih baik berbanding Ye Sha. Tidak banyak luka-luka pada badannya. Darahnya juga tidak kelihatan.

Ketika melihat keadaan kedua-dua lawan ini, wajah Ning Rui berseri-seri kegembiraan.

[Gu Ying menang!]

[Gu Ying sudah menang!]

[Betul tekaan saya! Tak ada siapa di sini yang mampu menandingi Gu Ying!]

Sebaik Ning Rui mahu melangkah ke hadapan untuk memuji Gu Ying, tiba-tiba pemuda yang berwajah tegas itu memuntahkan darah!

Ketika darah itu tersembur keluar, badan Gu Ying terhuyung-hayang dan dia memegang dadanya dengan kuat. Wajahnya berkerut ketika merenung Jun Xie yang berdiri di belakang Ye Sha. Mata Gu Ying membara. Dia begitu ingin membakar Jun Xie pada ketika itu.

"Siapa kamu?" Seluruh tubuhnya merasai kesakitan yang tidak pernah dialaminya. Gu Ying tahu pada dasarnya, kecederaan Ye Sha nampak lebih parah berbanding kecederaannya. Tetapi itu hanya jika mereka membandingkan luka luaran tanpa mengambil kira kecederaan dalaman kritikal yang Gu Ying terima dalam pertempuran ini!