webnovel

Tamparan Keenam (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Mu Chen yang selama ini diam saja, saling bertukar pandangan dengan Jun Wu XIe tanpa disedari sesiapa. Dia kemudian bangun dan berkata, "Tuan Pemerintah, saya ingin bertanya jika kami, para Tuan Tua, ada bersikap tidak wajar sehingga Tuan berwaspada dengan kami. Kalau tujuan Tuan untuk mengurangkan kuasa dan pengaruh barisan Tuan Tua, keluarkan perintah saja. Tak perlulah Tuan gunakan tipu helah seperti ini. Tuan ini pemimpin kami, dan kata-kata Tuan dianggap sebagai perintah. Arahan Tuan saja sudah cukup untuk melenyapkan barisan Tuan Tua."

Kata-kata Mu Chen itu menusuk ke jiwa Tuan Tua lain. Apa yang dia ucapkan itu mengingatkan Tuan Tua lain tentang apa yang berlaku dan pada masa yang sama turut memarahi Qin Yue kerana terlibat dengan kejadian yang meragut nyawa para pengikut mereka.

Kepala Qin Yue berpaling untuk menghadap seorang lagi musuh yang berusaha sedaya mungkin untuk menjatuhkannya.

Tuan Tua lain mula bertindak dan mereka serentak membuka mulut untuk bersuara. Mereka menghamburkan kata-kata teguran dan marah kepada Qin Yue.

Siapakah Qin Yue ini? Tuan Tua lain tak pasti bagaimana pemerintahan Kumpulan Qing Yun jatuh ke tangannya, tetapi mereka dapat mengagak apa yang sebenarnya telah berlaku.

Seorang lelaki yang begitu dahagakan kuasa sehingga sanggup membunuh Guru sendiri. Lelaki seperti ini pastinya mampu bertindak menentang Tuan Tua lain untuk mengecilkan kuasa dan pengaruh mereka.

Seketika kemudian, dewan utama Kumpulan Qing Yun membara dengan kemarahan apabila semua Tuan Tua menuding jari ke arah Qin Yue!

Qin Yue tiba-tiba menjadi musuh mereka semua.

Jun Wu Xie melihat kejadian yang berlaku di depan matanya ini dan pandangan matanya menjadi dingin.

Setelah dimarahi oleh semua Tuan Tua itu, Qin Yue mengamuk lalu menjerit ke arah "Ke Cang Ju" yang hanya diam memerhati, "Ke Cang Ju! Sebagai Tuan Tua Puncak Awan Tersembunyi, kau menghasut Tuan Tua lain menentang aku! Apa tujuan kau sebenarnya?"

Qin Yue hampir naik gila. Dia tahu"Ke Cang Ju" tidaklah begitu bodoh untuk membiarkan Qin Yue musnah. Dia pasti tahu apa yang perlu dilakukan! Ke Cang Ju sepatutnya tahu kalau Qin Yue tak dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Pemerintah, Tuan Tua lain tidak akan membiarkan Ke Cang Ju terlepas begitu sahaja.

Tuan Tua lain juga akan menyerangnya dengan ganas!

"Ke Cang Ju" berdiri perlahan-lahan dan memandanfg Qin Yue yang sedang meradang itu dengan tenang, "Saya tak ada tujuan tersembunyi. Saya hanya nyatakan fakta."

Qin Yue mengetap giginya dan berkata, "Fakta apa? Kenapa kau menentang aku!? Kenapa?"

"Ke Cang Ju" tersenyum tetapi tidak membalas. Pada ketika itu Jun Wu Xie bangun. Matanya merenung tepat pada Qin Yue dan dia menjawab dengan tenang.

"Sebab dia bukan Tuan Tua Puncak Awan Tersembunyi."

"Apa!?" Qin Yue menjadi kaku dan merenung susuk tubuh kecil molek di hadapannya itu dengan perasaan tidak percaya.

"Hua Yao, biar Tuan Pemerintah ini melihat rupa kamu yang sebenar." Jun Wu Xie tersenyum. Simfoni bencana ini hampir bermula, melodinya bergema di seluruh puncak Kumpulan Qing Yun!

Sebaik kata-kata Jun Wu Xie itu didengari oleh orang-orang yang ada di situ, mata mereka menyaksikan satu kejadian yang menakjubkan!

Mereka melihat badan "Ke Cang Ju" yang bongkok teruk itu mula lurus dan tubuh badannya semakin meninggi. Rupa parasnya yang hodoh itu berubah dan raut wajahnya mula menjadi lebih tampan. Semakin lama semakin cantik wajahnya.

Hua Yao membuang jubah berwarna gelap itu. Tubuh badannya yang tinggi lampai diselubungi pakaian berwarna ungu muda.

Beberapa ketika kemudian, di hadapan mata mereka sendiri, lelaki bongkok pertengahan usia itu sudah bertukar di menjadi seorang anak muda yang sangat tampan!

Dewan utama yang luas itu diselubungi kesunyian. Semua mata terpaku memandang pemuda cantik tidak dikenali ini yang tiba-tiba berdiri di hadapan mereka.

Perubahan yang berlaku ini sangat sukar dipercayai dan tidak pernah mereka dengar sebelum ini!

"Kau….. kau bukan Ke Cang Ju!" Dengan wajah pucat lesi, Qin Yue menuding jarinya yang sedang menggeletar itu ke arah Hua Yao.

"Memang bukan pun." Jun Wu Xie ketawa kecil. Bunyi ketawa itu membuatkan wajah Jun Wu Xie yang halus molek itu menjadi berseri-seri sehinggakan pada ketika itu dia kelihatan amat mempesonakan.