webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Pertama (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Zi Mu masih enggan menjawab pertanyaan rakan-rakan sepasukannya. Tepat pada ketika itu, beberapa susuk tubuh muncul dari atas dan mendarat di atas tanah, betul-betul di hadapan mereka semua!

Kemunculan tiba-tiba ini mengejutkan para pemuda yang keletihan itu.

Tetapi seketika kemudian, sebaik melihat dengan jelas susuk tubuh tersebut, mereka segera kembali tenang.

Orang-orang yang baru muncul ini memakai pakaian seragam yang menunjukkan mereka datang dari kampus cawangan Akademi Zephyr. Sebaik para pemuda ini melihat itu cuma pelajar-pelajar kampus cawangan yang dianggap lebih rendah tarafnya, wajah mereka serta-merta berkerut. 

Namun begitu, apabila dua orang lagi muncul selepas itu, para pemuda ini terkejut besar.

Sewaktu Jun Wu Xie dan Fan Jin mendarat di atas tanah, Li Zi Mu yang sedang duduk di situ terus melompat bangun. Dia meneliti pakaian Jun Xie yang masih bersih. Ketika terlihat Fan Jin berdiri di sebelah Jun Xie dan jelas bersifat pelindung, Li Zi Mu merasakan perasaan cemburu yang tidak dapat dijelaskan membuak-buak dari dalam hatinya.

Dia merasakan dialah yang selayaknya menerima perlindungan. Kenapa pula Fan Jin, yang memegang kedudukan keempat pada Kejohanan Roh yang lalu, begitu melindungi Jun Xie?

Sebelum ini, Li Zi Mu tidak pernah berperasaan begini. Tetapi dia dan ahli kumpulannya telah dikejar sekawanan besar anjing liar sepanjang malam. Ramai dalam kalangan mereka yang sudah tercedera dan dia pula perlu menelan maruahnya, terpaksa membodek ahli-ahli kumpulannya. Jun Xie pula? Selamat di bawah perlindungan Jun Xie tanpa tercalar sedikitpun. Malah bajunya juga tidak renyuk!

Kalau dari mula lagi Jun Xie tidak berada di sini, tidak wujudlah sandiwara tentang rampasan kedudukan sebagai pelajar di fakulti Pemulih Roh. Fan Jin juga mungkin menjadi mentor Li Zi Mu!

Kalau Fan Jin menjadi mentornya, dia akan selamat dari sebarang bahaya di dalam Hutan Roh Pertempuran. Sewaktu terpandang Jun Xie dan beberapa pelajar lain dari kampus cawangan berada bersama-sama Fan Jin dan kelihatan bersih serta cukup rehat, timbul perasaan cemburu yang menggila.

Pemikiran-pemikiran ini memenuhi minda Li Zi Mu sepenuhnya. Matanya yang memandang Jun Xie itu tiba-tiba kelihatan ganas.

"Senior Fan! Ini kali pertama saya berada di Hutan Roh Pertempuran dan saya sangat tak biasa dengan keadaan sekeliling. Boleh tak saya ikut dan berjalan dengan kamu selepas ini? Kuasa rohani saya mungkin tidak begitu kuat, tetapi roh berkontrak saya serta teknik Pemulihan Roh yang saya ada sangatlah membantu. Senior Fan mahu saya ikut bersama-sama?" Li Zi Mu membuat keputusan yang dia mahu mengikut Fan Jin yang berkemahiran tinggi itu. Dia langsung tidak peduli yang dia telah mengatakan semua ini di hadapan ahli-ahli kumpulannya. Li Zi Mu benar-benar percaya jika dia cukup lama berdampingan dengan Fan Jin, akhirnya Fan Jin akan menyedari yang pelajar fakulti Pemulih Roh seperti dia ini jauh lebih baik berbanding Jun Xie daripada pelbagai segi!

Selepas Li Zi Mu berkata begitu, Fan Jin tidak memberikan sebarang reaksi. Namun pelajar senior yang menjadi mentor Li Zi Mu tiba-tiba mendapati kemarahannya memuncak!

"Li Zi Mu! Kamu ni budak yang keji dan tak mengenang budi!" Dia hampir cedera parah kerana cuba menyelamatkan Li Zi Mu tapi budak ini melupakan sahaja pengorbanannya sebaik Fan Jin muncul. Dia tak pernah bertemu dengan orang yang lebih pentingkan diri daripada Li Zi Mu!

Li Zi Mu mengetap gigi dan langsung tidak berpaling untuk memandang mentornya. Sebaliknya, dia terus memberikan pandangan merayu pada Fan Jin.

Fan Jin merenung Li Zi Mu sambil berkerut. Raut wajahnya menunjukkan perasaan jijik. Dia amat benci pada orang yang tidak mengenang budi seperti ini.

Fan Jin menyedari bahawa selepas diserang oleh kawanan anjing liar itu, keadaan semua ahli kumpulan ini agak teruk. Mereka lebam-lebam dan pakaian mereka tercarik-carik. Tetapi sebaliknya, Li Zi Mu langsung tidak cedera berbanding ahli-ahli kumpulannya yang dipenuhi luka berdarah. Jelas sekali yang kumpulan ini menjaga keselamatan Li Zi Mu. Dia pula dengan selamba meminta untuk bertukar ke kumpulan lain…. Manusia tak guna betul!