Hati Long Qi dan orang-orang bawahannya tersentak! Sebelum mereka sempat bertindak, beberapa susuk tubuh lain tiba-tiba muncul dari celah-celah pokok!
Beberapa orang anak muda yang tampan sedang duduk di atas seekor beruang yang besar, meluru melepasi Long Qi dan yang lain!
"Rolly! Halang Binatang Roh itu! Abang Hua! Fei Yan! Rong Ruo! Seru roh berkontrak kamu!" Qiao Chu melompat turun dari badan Rolly dan menggigit hujung ibu jarinya. Darah mengalir keluar dan dia menekan ibu jarinya ke dahi, tepat di antara keningnya. Dia menyapukan darah itu di tengah bahagian kedua-dua matanya. Seketika kemudian, satu cahaya ungu memancar dari tubuhnya!
Roh ungu!
Semua orang yang sedang memerhatikan medan peperangan itu tiba-tiba terkejut!
Roh tahap ungu yang tidak pernah dilihat sejak seratus tahun yang lalu, muncul di hadapan mata mereka! Malah roh ungu ini dimiliki anak muda yang berusia kira-kira enam belas atau tujuh belas tahun!
Namun begitu, sebelum mereka sempat pulih dari keadaan terkejut ini….
Tiga lagi pancaran cahaya ungu meletus satu demi satu! Tiga lagi pemuda yang muncul bersama pemuda pertama tadi, semuanya bercahaya dengan kilauan berwarna ungu yang terpancar dari kuasa rohani mereka!
Empat pengguna roh tahap ungu!
Mereka semua masih terlalu muda!
Semua ini sukar dipercayai!
Seekor ular tulang berkepala dua muncul dengan deruan yang kuat. Sejurus kemudian, seekor Rama-rama Neraka berwarna putih perak mengepak-ngepak di udara manakala seekor beruk gergasi menempikkan raungan yang membingitkan telinga!
Semuanya menumpukan perhatian terhadap Binatang Roh Gred Penjaga itu!
Panahan demi panahan cahaya dilepaskan secara berterusan dan menerangi kawasan hutan itu. Bunyi ledakan yang meletus itu bergema di udara!
Binatang Roh Gred Penjaga yang bersaiz gergasi itu tiba-tiba mendapati dirinya diserang secara selaras dan bertubi-tubi. Ia melepaskan satu tempikan yang menggegarkan bumi!
Ye Sha melompat ke tengah-tengah medan pertempuran itu dan menembak beberapa pancaran cahaya yang ditumpukan pada mata Binatang Roh Gred Penjaga tersebut. Pancaran cahaya itu meledak berturut-turut!
Jun Wu Xie dan binatang hitam itu terus mengelak serta berpusing-pusing di kaki Binatang Roh itu. Binatang hitam itu menggunakan perkerakannya yang lincah untuk menghentikan langkah Binatang Roh tersebut!
Rama-rama Neraka yang tidak terkira banyaknya mengelilingi Binatang Roh itu sambil mengepak-ngepakkan sayap tanpa henti. Debunga-debunga yang mengebaskan dan melumpuhkan saraf jatuh dari sayap-sayap berkenaan. Sementara itu, Rolly dan beruk gergasi itu menyerang dari hadapan. Kedua-dua roh berkontrak bersaiz besar yang mempunyai kekuatan yang hebat ini bertempik dengan kuat sambil menolak kaki-kaki hadapan Binatang Roh tersebut dan menghentikan langkahnya!
Ular tulang berkepala dua itu menyusur sambil rangka tulangnya yang teguh membelit sembilan ekor kepunyaan Binatang Roh itu!
Qiao Chu, Hua Yao, Fei Yan dan Rong Ruo tidak berhenti-henti menyerang dengan panahan tenaga rohani mereka. Ledakan demi ledakan ini membuatkan pokok-pokok berdekatan bergoncang kuat!
Medan peperangan ini diterangi cahaya ungu terang sewaktu panahan kuasa rohani ini berterusan dilepaskan ke atas Binatang Roh itu!
Dalam sekelip mata, Binatang Roh Gred Penjaga yang telah menyeksa semua orang itu tiba-tiba dihentikan hasil serangan gabungan yang selaras di antara Jun Wu Xie dan ahli kumpulannya!
Long Qi dan orang-orangnya yang mendapat peluang untuk berehat tiba-tiba berdiri. Mereka terpegun menyaksikan kejadian di depan mata mereka ini. Semuanya tidak mampu berkata apa-apa!
"Jeneral Long, siapa mereka semua ni? Mengapa mereka bantu Cik Muda kita menentang Binatang Roh itu?" Semua askar Tentera Rui Lin tergamam. Mereka baru sahaja berdepan dengan kekuatan melampau Binatang Roh Gred Penjaga itu dan mereka tidak akan percaya dengan apa yang mereka lihat ini, jika tidak menyaksikannya sendiri.
Pengguna roh tahap ungu yang berusia enam belas atau tujuh belas tahun?
Roh berkontrak yang begitu kuat sehinggakan tidak mampu ditentukan grednya?
Binatang Roh yang teramat kuat itu pula sedang ditekan?
Semuanya ibarat mimpi sehingga membuatkan mereka semua berasa seolah-olah sedang berada di alam khayalan.
Jantung Long Qi sedang berdegup kencang dan nafasnya tersekat-sekat. Dia tiba-tiba berpusing dan mengambil semua botol ubat yang Jun Wu Xie campakkan pada mereka tadi. Sepantas mungkin dia bergerak dan mengedarkan botol-botol tersebut kepada orang-orang bawahannya.
"Sembuhkan diri kamu sekarang! Cik Muda kita sekarang ini sedang bergadai nyawa untuk menyelamatkan kita! Tak mungkin kita boleh berdiam diri tanpa bertindak!" Long Qi menjerit pada orang-orangnya!
Rong Heng dan pengikut Puncak Menjejak Awan sedang berhimpit-himpit di antara satu sama lain, saling berpelukan kerana berasa gerun. Mendengarkan jeritan Long Qi, mereka tersedar dan bergegas tampil untuk membantu askar-askar Tentera Rui Lin itu menggunakan ubat-ubatan tersebut.