webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Kedua (7)

Editor: EndlessFantasy Translation

Pemuda yang berasa cemas dan mahu menyelamatkan dirinya itu mula mendedahkan segala-galanya yang dia tahu.

Lama sebelum tibanya hari Perburuan Roh, Yin Yan telah datang bertemu mereka. Kumpulan itu terdiri daripada pelajar-pelajar senior dari fakulti Roh Binatang dan Roh Senjata. Mungkin kekuatan peribadi mereka tidak begitu hebat, tetapi roh berkontrak mereka semuanya mempunyai kelebihan istimewa yang tersendiri. Sama seperti pemuda pertama tadi yang mempunyai roh berbentuk senjata. Kalau tidak kerana campur tangan Fei Yan tadi, mereka pasti berjaya menyekat pergerakan Fan Jin dan seketika kemudian, ahli kumpulan mereka pasti sudah menyelesaikan tugas yang diberikan.

Yin Yan telah menggunakan kedudukannya sebagai pelajar fakulti Pemulihan Roh untuk menjanjikan pelbagai ganjaran. Dia juga memberi gambaran yang sebaik mereka berjaya membunuh Fan Jin, kedudukan mereka di dalam Akademi Zephyr akan menjadi lebih stabil.

"Semua orang tahu yang Yin Yan mempunyai hubungan yang amat baik dengan Senior Ning. Tambahan pula, Senior Ning itu anak perempuan Naib Guru Besar. Jadi kata-kata Yin Yan itu sama sahaja seperti datangnya dari Senior Ning. Kami….kami dibutakan oleh ketamakan! Senior Fan! Selami kebaikan dalam hati kamu dan lepaskan saya kali ini. Saya tak berani melakukannya lagi." Pemuda itu merayu sambil menangis. Kalau tak kerana memikirkan yang mereka pasti mendapat sokongan Senior Ning, pasti mereka tidak akan bersetuju dengan permintaan Yin Yan.

Jangan lupa yang Fan Jin ini ialah anak angkat Guru Besar!

"Ning Xin….. Mana mungkin….. Mana mungkin dialah orangnya?" Sewaktu Fan Jin mendengar nama Ning Xin disebut, wajahnya menjadi pucat. Dia berundur selangkah akibat terkejut dan tidak dapat menerima apa yang pemuda itu baru katakan.

Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Fan Jin, kemudian berpaling pada pemuda itu dan bertanya, "Selain kamu semua yang berada di sini, ada yang lain lagi?"

Pemuda itu menggelengkan kepalanya dan tergesa-gesa menjelaskan, "Tak ada orang lain lagi! Yin Yan beritahu kami yang dia akan memikirkan cara untuk memaksa kamu menyertai Perburuan Roh ini bersama-sama Senior Fan. Jika Senior Fan dibebankan oleh orang yang tak berguna, mudahlah untuk kami menyelesaikan tugasan ini." Pemuda itu berkata dalam ketakutan sambil memandang sekilas pada Jun Xie.

"Apa?" Mata Fan Jin terbeliak dan memandang pemuda itu dengan perasaan tidak percaya.

Kalau apa yang pemuda ini katakan adalah benar, maksudnya Yin Yan memang berniat untuk memaksa Jun Xie menyertai Perburuan Roh. Jadi, pemuda-pemuda yang memecah masuk ke kediaman di hutan buluh itu dan menyumpah-nyumpah Jun Xie, semuanya dihasut oleh Yin Yan?

Pendedahan ini membuatkan Fan Jin menekup mukanya dengan tangannya. Peluh dingin mengalir di belakang badannya.

Jika semua khabar angin kejam yang menyelubungi Jun Xie itu telah disebarkan kerana dia menjadi mentor Jun Xie, kalau mereka menjadikan Jun Xie sebagai sasaran demi membalas dendam ke atas dirinya….

Ini bermaksud orang yang diheret ke dalam kekecohan ini bukannya dia. Sebaliknya dia sendiri yang tanpa disedari telah mengheret Jun Xie masuk ke dalam permasalahan ini!

Kesedaran yang muncul secara tiba-tiba ini membuatkan kepala Fan Jin dirasakan berpusing dan dia hampir rebah.

Lama Fan Jin terdiam. Jun Wu Xie pula menanyakan beberapa soalan lagi kepada pemuda tersebut. Selepas yakin yang pemuda itu tidak mempunyai apa-apa maklumat berguna lagi, Jun Wu Xie memandang Qiao Chu.

Sebelum pemuda itu dapat meneruskan rayuannya lagi, Qiao Chu cepat-cepat memenggal kepala pemuda tersebut.

Walaupun setelah melihat susuk tubuh tidak bernyawa itu tergelimpang di atas tanah, mata Fan Jin menunjukkan yang dia masih keliru dengan apa yang telah berlaku. Tiba-tiba dia mengangkat kepalanya lalu berpusing menghadap Jun Xie dan bertanya, "Selama ini kamu tahu yang situasi ini hanya perangkap?"

Jun Wu Xie mengangguk.

"Kamu memang dah tahu sejak dari saat pemuda yang cedera itu pertama kali muncul di hadapan kita?" Fan Jin merenung tajam pada Jun Xie.

"Tak mungkin seseorang yang berusia tujuh belas atau lapan belas tahun akan berada di dalam kampus cawangan," balas Jun Wu Xie dengan tenang. Lakonan pelajar yang cedera itu mungkin agak meyakinkan, namun usianya membuatkan agak mustahil untuk dia datang dari kampus cawangan. Tambahan pula, hakikat yang seorang pelajar dari kampus cawangan dapat mengenali Fan Jin dengan sekali pandang sahaja memang tidak logik. Situasi itu ialah petunjuk yang kedua.