"Jaga-jaga dengan apa yang kau cakapkan." Jun Wu Yao memberikan amaran dengan jelas dan membawa Jun Wu Xie masuk ke biliknya.
Rong Ruo muncul beberapa ketika kemudian dan terkejut melihat Yan Bu Gui berdiri dengan wajah yang pucat, basah kuyup ditimpa hujan.
"Tuan Guru!"
Yan Bu Gui mengangkat sebelah tangannya dan menggelengkan kepala. "Tak kira apa sekalipun yang kamu lihat, jangan beritahu sesiapa. Dia bukannya orang yang kita mampu tentang."
Maharaja Kegelapan masih hidup dan jika Alam Kegelapan mendapat tahu tentang hal ini, pasti mereka bersedia menerima kehadiran maharaja mereka yang amat dihormati ini untuk memimpin mereka. Tetapi….. Kenapa Tuan Kegelapan ini masih berada di Alam Bawahan. Apa yang berlaku pada ketika itu? Berita kematian Tuan Kegelapan ini sudah tersebar ke seluruh alam pada waktu itu. Bagaimana pula dia berada di Alam Bawahan?
Yan Bu Gui memegang kepalanya yang bingung, kemudian tiba-tiba ketawa.
"Hahaha! Habislah Dua Belas Istana sekarang ni."
Ular hitam Tuan Kegelapan itu mampu masuk ke dalam minda seseorang dan mengetahui semuanya yang orang itu tahu. Tuan Kegelapan tahu yang Yan Bu Gui sudah berpatah arang dengan Istana Seluruh Kehidupan. Ini juga bermakna….. Dia tahu tentang perkara satu lagi itu juga.
Rong Ruo merenung Yan Bu Gui yang tiba-tiba ketawa kuat itu dengan bingung, tetapi dia membuat keputusan untuk mendiamkan diri.
…..
Sewaktu Jun Wu Xie kembali sedar, dia terlihat satu raut wajah yang amat dikenalinya. Matanya yang dingin berkelip-kelip beberapa kali sebelum dia benar-benar sedar.
"Lain kali, jangan buat perkara berbahaya lagi." Jun Wu Yao berbaring di sisi katil sambil menongkat kepalanya dengan tangan. Dia tersenyum.
Sewaktu Jun Wu Xie tidak sedarkan diri tadi, Jun Wu Yao telah memeriksa roh gadis itu. Dia mendapati roh yang pada dahulunya sempurna kini sudah menjadi amat lemah. Jun Wu Xie tidak banyak mendapat luka luaran, tetapi keadaan badannya kini amat lemah. Keadaan itu berpunca daripada kecederaan pada rohnya. Kecederaan pada badan lebih mudah dirawat, tetapi kecederaan pada roh…..
Jun Wu Yao mengecilkan matanya sewaktu dia berfikir dengan serius. Namun menyedari yang Jun Wu Xie sedang memerhatikannya, dia membuang ekspresi bimbang itu dari wajahnya.
"Dia mati disebabkan saya." Jun Wu Xie bangun untuk duduk. "Saya tak tahu pun siapa namanya."
Jun Wu Yao beralih dan duduk di sisi katil. Tiba-tiba dia memegang beberapa tulang ular di dalam tangannya.
"Sayang nak dia hidup semula?"
Jun Wu Xie merenung tulang-tulang ular di dalam tangan Jun Wu Yao dan matanya berkilauan. Rong Ruo mengatakan ular hitam yang membawa mereka semua ke sini telah meninggalkan setimbun tulang selepas mati. Jun Wu Xie tidak melihat tulang-tulang itu, tetapi dia agak yakin yang tulang di dalam tangan Jun Wu Yao ini ialah tulang yang sama Rong Ruo sebutkan sebelum ini.
Jun Wu Yao yang menyedari arah pandangan mata Jun Wu Xie menggenggam tangannya dan kabus hitam menyelubungi tulang-tulang berkenaan. Tulang-tulang itu memanjang dan membesar menjadi susuk tubuh seorang manusia.
Sedikit demi sedikit, sesuatu mula terbentuk. Seorang lelaki berpakaian hitam tiba-tiba muncul di dalam bilik itu. Matanya tertutup dan wajahnya sama seperti lelaki yang telah meletupkan dirinya sendiri untuk menyelamatkan Jun Wu Xie beberapa hari yang lalu!
Jun Wu Xie memandang tanpa berkata apa-apa. Lelaki berpakaian hitam itu membuka matanya. Anak matanya mirip dengan mata ular.
"Mulai saat ini, nama kau Ye Sha." Jun Wu Yao berkata kepada lelaki berpakaian hitam itu.
"Ya! Tuan!" Ye Sha melutut dengan sebelah kaki, wajahnya tidak berperasaan.
Jun Wu Yao mengangkat kepalanya dan berpusing menghadap Jun Wu Xie dengan wajah yang berseri-seri.
"Dulu dan sekarang, namanya Ye Sha."
Jun Wu Xie menutup matanya, membelai-belai kucing hitam kecil di dalam pelukannya.
Itu bukan dia…..
Lelaki ini nampak sama. Malah Jun Wu Xie juga dapat merasakan aura yang sama dari lelaki ini. Tetapi Ye Sha di hadapannya ini masih lagi tidak sama dengan Ye Sha yang telah melindunginya di Puncak Berawan tanpa mementingkan diri sendiri.
Jun Wu Yao menyedari reaksi Jun Wu Xie. Gadis itu tidak berkata apa-apa dan wajahnya juga menunjukkan sebarang perasaan. Tapi Jun Wu Yao tahu apa yang dirasai oleh Jun Wu Xie pada ketika itu.
"Roh Ye Sha dikumpulkan dari tulang ular yang telah ditinggalkan. Ye Sha sudah dilahirkan semula. Dia ialah Ye Sha dan pada masa yang sama, dia bukan Ye Sha."