webnovel

Rumah Lelong Roh Api (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Lelaki yang berdiri di sebelah Jun Wu Xie, Jun Wu Yao!

Jun Wu Yao mengenakan pakaian yang teramat biasa, berwarna hitam dan reka bentuk pakaiannya juga ringkas tanpa ada sebarang hiasan. Tetapi wajah yang sempurna tanpa cela itu sudah cukup untuk menarik mata semua orang untuk memandangnya. Sepanjang perjalanan, susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu begitu memukau dan telah menawan serta memenjarakan tidak terkira hati para gadis. Mereka yang lebih berani turut mengekori dua orang itu dan sampai ke Rumah Lelong Roh Api. Sebaik terlihat Jun Wu Yao masuk ke tempat itu, mereka semua bergegas mengikutnya walaupun langsung tidak berminat dengan sebarang lelongan.

Dengan adanya satu entiti yang begitu berseri-seri dan hebat di sisinya, sukar untuk Jun Wu Xie tidak menonjolkan diri. Sebagai seorang gadis, dia mengenakan pakaian lelaki untuk memudahkan urusannya. Tetapi disebabkan susuk tubuhnya yang kecil dan dengan adanya seseorang yang dengan gembiranya memeluknya sepanjang jalan, mereka tidak begitu pastu dengan jantinanya. Kalau mereka tidak begitu meneliti pakaiannya untuk memastikan yang dia sebenrnya seorang "lelaki", pasti dia sudah dikecam dengan hebat oleh barisan para gadis yang mengekori mereka dengan rapat.

Selepas menentukan "jantina" Jun Wu Xie, mereka yang sedikit gusar dengan kecenderungan jantina Jun Wu Yao cepat-cepat memberi penjelasan yang dia hanyalah seorang yang baik hati. Mereka bukan sahaja meyakinkan diri yang tidak ada apa-apa yang salah dengan cara Jun Wu Yao memegang erat seorang pemuda tetapi mereka turut memberitahu diri sendiri yang dia hanyalah bersikap lemah-lembut dan cuba melindungi rakannya yang kecil dan lemah itu daripada kerumunan orang ramai.

Tampan, lemah-lembut dan baik hati. Dengan senyuman menawan yang bermain-main di bibirnya, Jun Wu Yao terus membuatkan gadis-gadis itu hampir pengsan dalam keghairahan. Mereka tidak mampu mengalihkan pandangan darinya.

Hanya selepas Jun Wu Xie pergi ke rumah lelong itu bersama-sama Jun Wu Yao barulah dia sedar betapa luasnya tempat itu. Di tingkat bawah, beratus-ratus tempat duduk semuanya sudah dipenuhi. Walaupun bilik peribadi di tingkat dua kelihatan sedikit sama dengan bilik peribadi di Rumah Lelong Chan Lin, jumlah dan keluasan bilik-bilik itu mengejutkan Jun Wu Xie. Jika dipandang dari bawah, jelas dapat dilihat bahawa semua bilik peribadi di tingkat dua itu juga sudah penuh.

Jun Wu Xie dan Jun Wu Yao dapat mencari tempat duduk untuk diri mereka di satu sudut dewan itu yang paling jauh.

Sewaktu Jun Wu Yao duduk, banyak mata-mata para gadis yang merenungnya. Pandangan mata mereka itu berpura-pura malu sewaktu mereka mengintai lelaki yang tampan tanpa tandingan itu. Kalau tidak kerana adab yang mengatakan anak-anak gadis ini perlu menahan diri mereka, pasti semua sudah mengerumuninya untuk berbual-bual.

Walaupun dia menjadi tumpuan para gadis, Jun Wu Yao nampaknya tidak menyedari apa-apa. Satu-satunya reaksi yang ditunjukkan ialah matanya sedikit mengecil sewaktu dia menemani Jun Wu Xie ke lelongan itu.

Kalau Jun Wu Xie mahukan barangan berharga lain, dia boleh mengarahkan seseorang mendapatkannya. Tapi kalau berkaitan dengan herba, dia langsung tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Kalau tidak, pasti dia tidak akan membenarkan Jun Wu Xie datang ke tempat yang bising dan kecoh seperti ini. Melihatkan ekspresi muram di wajah kecil itu. Jun Wu Yao tahu yang gadis itu tidak suka keadaan yang sesak. Tanpa sedar, Jun Wu Yao menggunakan badannya untuk menghalang seberapa banyak kekecohan di sekeliling mereka.

Pada ketika itu, jurulelong di atas pentas itu sedang menjalankan lelongan untuk satu kepingan jed yang berharga dan cantik. Barangan ini sentiasa diminati oleh para gadis. Namun mata semua gadis di situ tertumpu pada satu tempat tertentu. Ini menyebabkan barangan yang sepatutnya mendapat bidaan sengit langsung tidak dipedulikan.

Sebaik melihat yang barangan di atas pentas itu bukanlah apa yang dia mahukan, Jun Wu Xie terus menundukkan mata. Di dalam mindanya, dia menyemak senarai herba yang diperlukan untuk membuat eliksir tersebut.

Di dalam salah sebuah bilik peribadi di tingkat dua, seorang gadis muda yang duduk di tepi tingkap pada mulanya sedang membuat bidaan bagi jed yang cantik di atas pentas itu. Tiba-tiba ekor matanya menangkap satu susuk tubuh menawan. Dia terpegun seketika sebelum berpaling untuk memandang ke tingkat bawah.