webnovel

Rakan Sebilik yang Menjengkelkan (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Akademi Zephyr menempatkan dua orang di dalam satu bilik asrama. Selepas Fan Jin membawa Jun Wu Xie pergi menuntut pakaian seragam, mereka pergi ke bilik Jun Wu Xie.

Di dalam bilik itu ada seorang pemuda yang kelihatan pucat dan muram. Kepalanya ditundukkan sambil membaca buku di tepi tingkap. Sewaktu terdengar bunyi tapak kaki menghampirinya, dia mengangkat kepala lalu memandang ke arah itu dengan raut wajah yang tidak ceria. Pandangan matanya yang boleh membuatkan seseorang berasa tidak selesa. Sebaik melihat Jun Wu Xie, dia berkerut. Apabila terpandang Fan Jin di belakang Jun Wu Xie, matanya bersinar sekilas. Tak lama kemudian, dia mengalihkan pandangannya dan kembali membaca bukunya tanpa sepatah kata..

"Kamu akan tinggal di sini mulai hari ini. Saya ada di tingkat tujuh, bilik terakhir di bahagian paling kanan. Kalau ada apa-apa yang kamu perlukan dari saya, kamu boleh cari saya di sana." Fan Jin berkata sambil tersenyum dan menepuk bahu Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangguk dan Fan Jin beredar setelah mengucapkan selamat tinggal.

Jun Wu Xie memandang perhiasan di dalam bilik itu dan tidak merasakan dia perlu berkata apa-apa.

Asrama di Akademi Zephyr dipisahkan mengikut jantina. Jumlah pelajar perempuan pula nisbah satu kepada sepuluh berbanding pelajar lelaki.

Katil Jun Wu Xie berada di sebelah kanan dan setentang dengan pemuda berwajah muram itu. Jun Wu Xie tidak berminat dalam hal orang lain dan terus mengemas barang-barangnya.

Selain pakaian, Fan Jin juga menyediakan beberapa keperluan harian.

Sejak saat Jun Wu Xie masuk ke bilik itu sehinggalah dia selesai mengemas semua barang-barangnya, rakan sebiliknya langsung tidak berkata apa-apa. Sekali-sekala, kesunyian bilik itu dipecahkan oleh bunyi helaian buku diselak.

Selepas beberapa ketika, seorang pemuda yang memakai lambang jed di dadanya berjalan masuk ke bilik itu. Apabila dia terlihat Jun Wu Xie di situ, dia terkejut seketika sebelum terus berjalan ke sisi pemuda berwajah muram itu.

"Yin Yan, budak ni rakan sebilik kamu yang baru?" Pemuda yang baru masuk itu bertanya pada Yin Yan yang masih menundukkan kepalanya dan membaca buku.

Yin Yan mengangkat kepalanya dan mengangguk sedikit. Raut wajahnya menunjukkan perasaan kurang sabar.

"Susahlah kamu macam ni. Sewaktu baru mula-mula masuk ke sini, semua pelajar baru ni memang menyusahkan. Saya tak tahulah apa yang Guru Besar tu fikirkan. Dia patutnya masukkan saja semua budak baru ni ke kampus cawangan dan biar mereka berusaha sedikit. Entah kenapa mereka ada di sini." Pemuda itu berkata dengan nada mencemuh, seolah-olah menujukan kata-katanya kepada Jun Wu Xie.

Yin Yan membalas tanpa teragak-agak, "Kalau mereka semua tu menyusahkan, mereka patut sedar diri." Kata-kata itu nampaknya untuk Jun Wu Xie, bukannya untuk pemuda seorang lagi itu.

"Oh ya, saya dengar Senior Fan yang bawa budak baru ni ke sini hari ini. Apa yang Fan Jin tu fikirkan!? Tak lama lagi kita nak mulakan Pemburuan Roh. Kenapa pula dia tiba-tiba nak menyusahkan diri dengan beban tak berguna ni?"

Mata Yin Yan tiba-tiba kelihatan ganas. Renungan matanya tertumpu pada Jun Wu Xie yang sedang duduk diam di atas katilnya. Dia telah menyeru kucing hitam kecil itu dan sedang bersandar di tiang katil sambil kucing hitam kecil tersebut berehat di ribanya. Jun Wu Xie kelihatan tenang.

Yin Yan tiba-tiba bangun dan berjalan menuju Jun Wu Xie.

Bayang-bayang Yin Yan menyelubungi katil itu dan Jun Wu Xie mendongak perlahan-lahan. Matanya yang dingin merenung sepasang mata yang muram dan kejam.

"Akademi Zephyr tidak membenarkan penyeruan roh berkontrak secara sembarangan di dalam kawasan akademi. Kamu buta ke? Tak nampak ke dalam peraturan akademi?" Suara Yin Yan kedengaran sungguh ganas sehingga pemuda seorang lagi itu meremang bulu roma.

Mata Jun Wu Xie tidak menunjukkan sebarang perasaan dan dia hanya merenung rakan sebiliknya yang agresif ini tanpa berkata apa-apa.

Pemuda seorang lagi itu terkejut dengan nada benci Yin Yan yang kedengaran amat jelas sekarang ini.

Walaupun semua pelajar senior tidak menyukai pelajar baru, dia merasakan nada Yin Yan sewaktu bercakap tadi kedengaran sedikit provokatif.

Jun Wu Xie berkata dengan suara yang jelas dan dingin, "Di bawah tiga kaki."

Selepas berkata demikian, dia menundukkan kepala dan langsung tidak memandang Yin Yan lagi.