Berdepan dengan "desakan" Jun Xie, Yan Bu Gui menjadi tidak berdaya dan tiada pilihan selain menurut sahaja. Tetapi secara diam-diam, dia mengarahkan anak muridnya yang lain memerhatikan dan melindungi Jun Xie.
Disebabkan Jun Xie memiliki roh berkontrak yang agak unik, Yan Bu Gui tidak memberikan tunjuk ajar yang biasa dalam pemupukan kuasa rohaninya. Dia hanya menyuruh Jun Xie pergi ke kolam teratai dan menemani Teratai Salji yang sedang dalam proses pemulihan.
Qiao Chu dan yang lain-lain sedang mencari-cari jalan untuk menentukan lokasi enam lagi peta kulit manusia yang lain. Dua Belas Istana telah merampas peta-peta ini, tetapi tidak berani menyimpannya. Sebaliknya, Istana Dua Belas berkomplot secara rahsia dengan pelbagai kuasa di Alam Bawahan dan telah memberikan peta berkenaan kepada kuasa-kuasa ini supaya dapat bertindak bagi pihak mereka dan mencari makam Maharaja Kegelapan.
Taktik licik seperti ini memang biasa digunakan oleh Dua Belas Istana.
Harta-harta di dalam makam Maharaja Kegelapan itu akan mengurniakan kuasa yang mampu menghapuskan Dua Belas Istana kepada sesiapa sahaja yang menemuinya.
Qiao Chu dan rakannya yang lain mahu membalas dendam. Matlamat Jun Wu Xie pula kebetulan hampir sama dengan mereka kerana dia mahu memusnahkan Istana Syaitan Api.
Selain itu, sejak Jun Wu Xie menjadi anak murid Yan Bu Gui, dia mula menyedari keadaan daif Tuan Guru itu serta anak-anak muridnya yang lain.
Mereka semua mempunyai kuasa yang kuat, tetapi terpaksa menyembunyikan kuasa ini kerana bimbang akan menarik perhatian yang tidak diingini. Objektif setiap misi yang mereka lakukan amat jelas iaitu hanya bertujuan mencari peta-peta tersebut berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.
Selain daripada itu, lima orang penghuni Sayap Timur Akademi Phoenix ini tidak mempunyai kemahiran hidup yang lain. Kemahiran dari segi mendapatkan wang langsung tidak wujud.
Beberapa tahun yang lalu, keadaan mereka tidaklah terlalu teruk. Yan Bu Gui telah memajak sebahagian harta yang dibawanya dari Alam Pertengahan. Namun wang ini tidak bertahan lama dan habis tidak lama kemudian. Yan Bu Gui tidak ada apa-apa lagi yang boleh ditukarkan dengan duit. Jadi beberapa tahun kebelakangan ini, mereka berlima hidup dalam keadaan papa kedana.
Contoh yang paling ketara ialah mereka berlima tidak memakai pakaian baru sekurang-kurangnya sejak dua tahun yang lalu.
Sebaliknya, Jun Wu Xie tidak memahami keadaan mereka kerana dia tidak pernah kesempitan wang di dalam kehidupannya yang dahulu dan sekarang. Di dalam kehidupannya sebelum ini, dia mungkin agak muda sewaktu meninggalkan sarang si syaitan itu, tetapi kemahirannya yang tidak terjangkau dalam bidang perubatan membolehkan dia hidup senang. Selepas kelahiran semulanya, walaupun Istana Lin berdepan dengan bahaya yang tidak berkesudahan, mereka tidak mengalami kekurangan dari segi kewangan..
Sehinggakan sewaktu Jun Wu Xie terlihat Tuan Guru serta rakan-rakan segurunya yang lain menyangkung dalam satu bulatan di halaman dan berbincang cara untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada guru besar, mindanya benar-benar kosong. Ini sangat jarang berlaku pada Jun Wu Xie.
"Apa kata Fei Yan dan saya keluar sekejap? Kami boleh cuba merompak?" Qiao Chu memberikan cadangan tanpa rasa bersalah.
Tanpa berkata apa-apa, Yan Bu Gui mengetuk kepala Qiao Chu dengan kuat!
Qiao Chu menggosok-gosok kepalanya yang berdenyut kesakitan. Dia mengangkat bahunya, cuba mengisyaratkan yang dia hanya bergurau.
"Ular tulang berkepala dua masih lagi dalam proses pemulihan. Kalau tidak saya boleh mengumpulkan herba dari bukit." Hua Yao berkerut sambil berfikir panjang. Sewaktu mereka berada di dalam keadaan amat terdesak sebelum ini, Hua Yao ada beberapa kali menghantar ular tulang berkepala dua itu ke kawasan bukit secara senyap-senyap pada waktu malam. Ular itu akan menggali sedikit herba yang kemudiannya boleh dijual untuk mendapatkan wang.
Tetapi ular tulang berkepala dua itu masih belum pulih lagi dan Hua Yao tak sanggup membuatkan roh berkontraknya bekerja keras pada ketika ini.
"Kita betul-betul kehabisan wang…..aduhai….." Pada ketika itu, Fei Yan sudah hampir mahu menangis.
Rong Ruo selalunya yang paling tenang di antara mereka. Tapi kini keningnya juga berkerut ketat.
"Aduhai….. Lupakan sajalah! Saya akan pergi berjumpa dengan guru besar dan meminta tempoh penangguhan beberapa hari lagi." Hati Yan Bu Gui menjadi perit melihatkan wajah-wajah pilu anak-anak muridnya ini dan dia cuba meringankan beban mereka. Sebagai Tuan Guru kepada anak-anak yang malang ini, dia merasakan masalah-masalah ini perlu diuruskannya sendiri.
Sayangnya, mereka ini ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Sebelum Yan Bu Gui sempat berjumpa dengan guru besar itu untuk membuat rayuan, orang yang bertanggungjawab ke atas Sayap Selatan, He Qiu Sheng, merempuh masuk ke dalam Sayap Timur dengan muka yang marah.
He Qiu Sheng ialah Tuan Guru bagi Sayap Selatan dan pemuda yang dibelasah oleh Jun Wu Xie itu adalah anak muridnya. Sewaktu anak muridnya itu telah pergi ke Sayap Timur untuk memaksa mereka membayar hutang seperti biasa, siapa sangka anak-anak murid Sayap Timur yang tak bertamadun ini akan menyerang anak muridnya itu secara terang-terangan. Sehingga kini anak muridnya itu hanya terlantar di atas katil!