Selepas beberapa hari membuat persiapan terakhir, Kejohanan Pertempuran Roh yang menjadi perhatian berpuluh ribu pasang mata itu akhirnya dibuka secara rasmi. Pada hari pertama kejohanan itu, para pelajar dari pelbagai akademi dibahagikan kepada sepuluh lokasi berbeza untuk menjalani pertempuran liga di sepuluh daerah berlainan. Seorang pelajar akan mewakili akademi masing-masing di setiap daerah. Pemenang terakhir dari setiap daerah akan mara ke Kejohanan Pertempuran Roh sebagai sepuluh peserta terbaik!
Sepuluh orang ini pula akan merebut kedudukan di Kejohanan Besar Pertempuran Roh.
Bagi kebanyakan anak muda ini, saat inilah yang membuatkan semangat mereka berkobar-kobar. Mereka ternanti-nanti sambil menggosook-gosok penumbuk, tidak sabar mahu mempamerkan kebolehan mereka kepada semua orang.
Setiap akademi membahagikan sepuluh peserta mereka ke sepuluh daerah berbeza, kecuali Akademi Zephyr. Memandangkan mereka hanya ada enam orang peserta berdaftar bagi kejohanan tahun ini, mereka hanya boleh menyertai pertempuran di enam daerah.
Situasi ini amat jarang berlaku dalam sejarah penganjuran Kejohanan Pertempuran Roh.
Tidak ada satu akademi pun yang sanggup melepaskan salah satu daripada sepuluh tempat yang diberikan. Disebabkan situasi ini, Akademi Zephyr sudah pun menarik perhatian semua orang sebelum pertandingan itu bermula lagi.
Awal pagi hari pertama, Jun Wu Xie mengenakan pakaian seragam Akademi Zephyr. Bahagian dadanya dihiasi lambang jed, menunjukkan nombor penyertaan yang telah diberikan padanya. Dia bergerak menuju medan tempur bagi salah satu kejohanan peringkat daerah. Jun Wu Xie berpecah dengan Hua Yao dan rakan-rakannya yang lain sejak di Lof Dewa. Disebabkan terlalu ramai orang yang menyertai kejohanan ini, tidak ada satu medan tempur pun yang mampu menampung jumlah pertempuran yang begitu banyak. Jadi sepuluh kejohanan peringkat daerah itu diasingkan dan diadakan di sepuluh buah medan tempur berbeza di seluruh Negara Yan.
Daerah yang Jun Wu Xie sertai ialah daerah pertama. Ketika sampai di situ, tempat itu sudah pun dipenuhi para pelajar dari akademi-akademi lain. Memandangkan para pelajar daripada akademi berbeza ini sudah dipisahkan daripada rakan masing-masin, apa yang dapat dilihat hanyalah lawan yang mahu bersaing. Walaupun seluruh tempat itu riuh dan kecoh, para pelajar ini tidak berkumpul-kumpul. Mereka semuanya memakai pakaian seragam yang berbeza dan memerhatikan satu sama lain dengan penuh waspada.
Di tempat ini tidak ada sekutu, hanya ada lawan!
Hanya seorang sahaja yang akan menjadi pemenang dalam kalangan mereka di sini!
Orang lain akhirnya akan hanya menjadi batu loncatan bagi si pemenang.
Kejohanan ini belum lagi bermula dan keadaan di kawasan medan tempur itu sudah pun tegang. Ramai peserta yang tak sabar-sabar mahu bergaduh di antara satu sama lain.
Jun Wu Xie kecil molek sahaja orangnya. Tidak lama selepas berjalan masuk ke celah-celah kerumunan orang ramai itu, dia sudah pun ditenggelami para pelajar lain yang semuanya bertubuh tinggi lampai. Dia senyap-senyap berundur ke satu sudut dan memerhatikan situasi di medan tempur itu.
Lebih seribu orang pelajar telah dibahagikan ke sepuluh medan tempur berbeza. Setiap lokasi mempunyai lebih daripada seratus orang peserta. Semua peserta ini akan menyertai pertempuran selama dua puluh hari sehinggalah munculnya pemenang terakhir.
Kejohanan di setiap daerah ini akan dijalankan mengikut proses penyingkiran. Setiap pertempuran akan melibatkan dua peserta individu dan pemenangnya akan mara ke pusingan seterusnya. Peserta yang kalah pula akan kehilangan peluang untuk terus bertanding di dalam kejohanan ini.
Para peserta mencabut undi untuk menentukan lawan masing-masing. Bagi sesetengah peserta, cabutan undi itu tidak begitu bermakna. Namun bagi peserta lain pula, tuah cabutan undian itu akan menentukan sejauh mana mereka boleh mara dalam Kejohanan Pertempuran Roh kali ini.
Pada tahun-tahun sebelum ini, hampir semua peserta dari pelbagai akademi ini akan berdoa dalam diam sewaktu mencabut undi. Mereka tidak mahu mendapat mana-mana peserta dari tiga akademi elit itu sebagai lawan. Kalau tidak, mereka akan tersingkir dari kejohanan ini daripada pusingan pertama lagi.
Ada beberapa contoh kejadian di mana terdapat peserta yang amat bertuah. Kemahiran dan kuasa mereka hanya sederhana, tetapi cabutan undi telah membenarkan mereka berlawan dengan pesaing yang memiliki kekuatan yang hampir sama. Akhirnya mereka dapat meningkatkan kedudukan di dalam carta dan hanya tewas di pusingan terakhir. Walaupun tidak mendapat kedudukan sepuluh teratas, mereka mampu mencapai kedudukan dua puluh terbaik. Mencapai kedudukan dua puluh teratas daripada lebih seribu peserta tetap membolehkan mereka mendapat kemasyhuran dan kehormatan.