webnovel

Pergi ke Cenuram Penghujung Syurga (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Tempoh tiga hari berlalu dengan pantas. Jun Wu Xie dan rakan-rakannya sudah membuat segala persiapan. Mereka dengan rasminya mengambil langkah pertama dan memulakan perjalanan menuju Cenuram Penghujung Syurga.

Dengan penambahan Mu Qian Fan, kini ada sejumlah tujuh orang dalam pengembaraan ini. Jun Wu Xie telah membeli sebuah kereta kuda bersaiz besar dan mereka semua berhimpit-himpit masuk ke dalamnya. Dia ada berniat untuk mengupah seorang pemandu, tetapi Mu Qian Fan menolak idea itu. Lokasi sebenar Cenuram Penghujung Syurga tidak diketahui oleh ramai orang. Semakin kurang orang yang tahu tentangnya adalah lebih baik. Mu Qian Fan berbuat begitu untuk mengelakkan lokasi itu daripada terbocor dan juga untuk menghindarkan masalah yang tidak diundang.

Tugas sebagai pemandu dilakukan oleh Mu Qian Fan seorang. Dia dengan sopannya menolak pelawaan Qiao Chu dan yang lain untuk bergilir-gilir melakukan tugas tersebut.

Di dalam fikiran Mu Qian Fan, bertemu dengan Jun Wu Xie itu sudah pun mengubah hidupnya secara keseluruhan. Dia akan berusaha sepenuh hati untuk berkhidmat dengan Jun Wu Xie.

Perjalanan dari Bandar Chan Lin ke Cenuram Penghujung Syurga akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. Mereka menempuh perjalanan tanpa henti pada waktu siang dan mendirikan khemah pada waktu malam untuk berehat. Kumpulan anak muda ini bergurau dan ketawa sepanjang perjalanan, membuatkan pengembaraan ini lebih seronok.

Selain Jun Wu Xie, cincin roh Fan Zhuo dan yang lain sudah pun ditempa semula. Sewaktu Fan Zhuo cuba menempa cincin roh untuk Jun Wu Xie yang diberikan giliran terakhir, dia mendapati Perak Hitam itu langsung tidak dapat bergabung dengan cincin roh Jun Wu Xie. Fenomena ini membuatkan Fna Zhuo berasa amat bingung. Hasilnya, hanya Jun Wu Xie sahaja dalam kalangan mereka yang masih memiliki cincin roh dalam keadaan asal. 

Sebenarnya, Fan Zhuo tidak boleh dipersalahkan kerana Teratai Salji telah bertukar rupa menjadi cincin roh halimunan. Malah Jun Wu Xie juga tidak dapat melihat bentuknya. Dia tidak dapat menentukan rupa bentuk cincin itu dan ini menjadikan Fan Zhuo berasa tidak berdaya ketika mahu membuat penempaan semula.

Hari berganti hari dan masa kian berlalu. Sepanjang perjalanan itu, Jun Wu Xie melakukan eksperimen dengan pelbagai jenis bahan untuk cuba memanjangkan tempoh kesan Pengukuhan Roh. Namun hasilnya tidak begitu memberansangkan.

Sewaktu Jun Wu Xie menyebut tentang hal ini pada Fan Zhuo, lama pemuda itu terdiam. Ketika dia cuba menggunakan simbol Pengukuhan Roh yang Jun Wu Xie berikan padanya untuk diukir di cincin roh milkinya, Qiao Chu dan Rong Ruo, dia hanya menemui kegagalan.

Hal ini agak mengelirukan Jun Wu Xie. Dia cuba menulis simbol itu pada Rolly dengan menggunakan air dan kesannya dapat dilihat. Tetapi apabila Fan Zhuo menggunakan set simbol yang sama ketika menempa cincin roh mereka, kesannya langsung tidak kelihatan.

"Adik Xie kita ni dah menemui sesuatu yang begitu mengagumkan, tapi tak boleh digunakan. Sayangnya." Qiao Chu yang duduk di dalam kereta kuda yang sedang bergerak itu memegang dadanya tanda bersedih dengan situasi ini. Sewaktu melihat susuk tubuh Rolly yang tinggi dan megah itu kelihatan amat ganas ketika diselubungi api yang marak hasil penggunaan simbol Pengukuhan Roh, dia hampir meracau kerana terlalu gembira! Namun begitu… kegembiraannya hanya sementara. Hakikat yang simbol-simbol itu menjadi tidak berguna setelah diukir pada cincin roh membuatkan Qiao Chu berasa amat kecewa sehingga hampir menangis.

"Jangan risau. Sebaik Jun Xie belajar cara menempa cincin roh nanti, dia boleh menempa semula cincin roh kamu." Fan Zhuo memujuk Qiao Chu sambil ketawa. Dia berpaling ke satu sudut kereta kuda itu dan terlihat Jun Wu Xie sedang memegang batu dan dakwat.

"Saya percaya simbol-simbol Pengukuhan Roh perlu difahami sepenuhnya sebelum seseorang itu boleh menggunakannya dengan betul. Mungkin saya boleh meniru simbol-simbol yang kamu berikan, tapi saya tak dapat menggunakan kuasa yang sebetulnya untuk membolehkan simbol-simbol itu berkesan. Niat kamu untuk belajar cara menempa cincin roh itu memang bagus. Kalau tak, sayanglah jika pengetahuan ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya."

Setelah melihat sendiri kuasa dan kemungkinan yang boleh dicapai dengan Pengukuhan Roh, Fan Zhuo tak sabar-sabar mahu menurunkan ilmu dan kemahirannya sebagai Penempa Roh itu kepada Jun Wu Xie. Dia amat percaya bahawa setelah dia mengajar Jun Wu Xie segala yang dia tahu, Jun Wu Xie pasti akan dapat menghasilkan dan menempa cincin roh yang akan mengejutkan semua orang.

Jun Wu Xie mengangguk. Apa yang Fan Zhuo katakan itu sama dengan apa yang dia fikirkan.

Dia sudah pun mempelajari asas penempaan cincin roh daripada Fan Zhuho tetapi dia tidak memiliki Roh Api untuk membolehkan dia membuat uji kaji. Roh Api adalah sebati dengan seseorang Penempa Cincin. Melainkan Roh Api itu diwarisi daripada seseorang di dalam keturunan yang sama, Roh Api tersebut akan menjadi tidak berguna walaupun setelah diserahkan sendiri ke tangan orang lain.