webnovel

Pasti ini benar! Puncak Awan Tersembunyi tak akan menyeksa mereka sebegini tanpa sebab. Ini pastinya ujian buat mereka. Kalau mereka boleh bertahan, tak lama lagi mereka akan menjadi pengikut sebenar Puncak Awan Tersembunyi!

Selepas memberitahu diri mereka yang mereka akan dirawat oleh Tuan Tua itu sendiri sekiranya mereka jatuh sakit, segala rungutan keletihan tadi terus lenyap. Ada yang teruja menantikan tubuh mereka menjadi begitu letih sehingga layak menerima 'rawatan' Tuan Tua Ke dan ini membuatkan mereka memaksa tubuh mereka sehingga melangkaui had.

Fantasi yang menyelubungi pemuda-pemuda naif ini memberikan mereka kekuatan dan tubuh badan mereka yang sudah keletihan itu tiba-tiba mampu bergerak. Pemuda-pemuda ini mengorak langkah, bersungguh-sungguh mahu berjaya.

"Sampah bodoh." Pengikut Puncak Awan Tersembunyi itu bergumam sewaktu berdiri di pintu masuk ruang tempat tinggal. Matanya tetap merenung korban naif yang terus menapak untuk mengalami seksaan lagi. Mereka tidak sedar kematian yang menanti di penghujung nasib baik mereka yang mengecewakan.

"Kita hantar dua orang ini kepada Tuan Tua?" Beberapa orang pengikut Puncak Awan Tersembunyi bertanya dengan selamba sambil berjalan ke situ. Mereka menyepak pasangan yang terbaring tidak bergerak di atas tanah itu.

"Hantar sajalah. Saya tak sangka ada yang begitu lemah dalam kalangan kambing biri-biri ni, begitu terkesan dengan seksaan pada malam pertama lagi. Malang sungguh nasib mereka." Tanpa perasaan simpati kepada pasangan itu, dua orang pengikut Puncak Awan Tersembunyi mengangkat Qiao Chu dan Jun Wu Xie, lalu bergerak masuk lebih dalam ke kawasan puncak gunung itu.

Sewaktu dalam perjalanan, para pengikut itu tidak mempedulikan pasangan yang tercedera itu dan membawa mereka dengan kasar. Selepas beberapa ketika, mereka sampai ke bangunan yang sama Qiao Chu dan Jun Wu Xie menyelinap masuk malam tadi.

Pintu bangunan itu terbuka dan para pengawal di situ membenarkan pengikut-pengikut ini masuk tanpa halangan apabila terlihat pengikut-pengikut ini membawa dua orang yang tercedera itu.

Selepas mereka masuk, Qiao Chu dan Jun Wu Xie dicampak begitu sahaja ke atas lantai yang keras.

Kedengaran bunyi yang kuat dan pintu bangunan itu kemudiannya ditutup.

Qiao Chu tertiarap di atas lantai, mukanya melekap pada permukaan lantai yang kotor. Wajahnya pucat dan dia menyeringai.

Ada orang boleh terangkan apa yang sedang berlaku padanya?

Kenapa dia tiba-tiba pengsan? Apa yang lebih menakutkan ialah, selepas dia rebah, dia masih lagi dalam keadaan sedar dan mendengar setiap butir kata dalam perbualan pengikut-pengikut senior itu. Tidak kira betapa kuatnya dia mencuba, dia tidak dapat menggerakkan walau satu jari sekalipun.

Dia kekal sedar dan matanya yang separuh tertutup itu membolehkan dia melihat segala-galanya yang sedang berlaku. Tetapi dia langsung tak boleh...bergerak!

Eliksir jenis apa yang Jun Xie berikan padanya? Kenapa keadaannya jadi begini?

Ketika Qiao Chu berada dalam keadaan tidak berdaya dan keliru di atas lantai yang keras itu, dia menyedari ada bayang-bayang yang tiba-tiba muncul di depan matanya. Bayang-bayang itu melompat dengan lincah melintasi bilik itu dan akhirnya berhenti di depan satu rak yang penuh dengan balang berisi ubat-ubatan.

Bayang-bayang itu ialah seekor kucing hitam kecil yang dadanya dihiasi warna keemasan yang berkilauan!

Kucing hitam kecil itu menyedari pandangan mata Qiao Chu dan menjilat kakinya dengan perlahan sambil menggoyang-goyangkan ekornya dengan malas. Kucing hitam itu kemudiannya melompat untuk bersembunyi di sebalik balang berisi ubat-ubatan itu.

Beberapa detik masa berlalu sebelum pintu bangunan itu terbuka kembali. Sinar cahaya matahari masuk melalui pintu dan menerangi bilik yang malap itu. Satu susuk tubuh yang bongkok berjalan dengan menyeret kakinya lalu berdiri di hadapan pintu bilik itu sambil cahaya matahari bersinar di belakangnya.

"Berjaga-jaga dan perhatikan keadaan dengan teliti. Aku tak mahu ada sebarang gangguan." Kedengaran satu suara kejam yang menggerunkan. Suara yang membuatkan sesiapa sekalipun berasa seolah-olah telah direndam di dalam air dingin di dalam tasik musim sejuk.

Sebelum cahaya matahari itu dapat menghangatkan lantai yang keras dan sejuk, pintu bilik itu ditutup rapat sekali lagi!

Bunyi loceng yang bergemirincing nyaring kedengaran di telinga Jun Wu Xie dan Qiao Chu dan bunyi itu semakin menghampiri mereka yang sedang terbaring kaku. Gemerincing loceng itu mendebarkan jantung mereka, rimanya selari dengan degupan jantung kedua-duanya.