Jun Wu Xie memandang Fan Jin lalu berkata tanpa perasaan, "Tak ada bezanya kalau mereka masih ada sekalipun."
Kalau dia sendiri merasakan rawatan ini agak melecehkan, Kumpulan Qing Yun langsung tak akan tahu apa yang patut dilakukan.
Pengetahuan dangkal Kumpulan Qing Yun dalam bidang perubatan dianggap remeh saja di mata Jun Wu Xie.
"Huh?" kata Fan Jin. Dia terkejut dengan jawapan Jun Xie.
"Kalau kamu percayakan saya, benarkan saya rawat adik kamu," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.
Fan Jin langsung tidak teragak-agak sewaktu dia menjawab, "Tentulah boleh! Tapi…." Fan Jin terdiam.
"Keadaan kesihatan Fan Zhuo selalunya diuruskan oleh ayah kami. Saya perlu berbincang dengan dia dahulu."
Jun Wu Xie mengangguk.
Fan Jin terus tersenyum, "Saya tak sangka kamu ada kebolehan sebegini. Kamu dah banyak bantu Fan Zhuo. Saya tak tahu macam mana nak berterima kasih."
Fan Jin pada mulanya bersetuju untuk menjadi mentor Jun Xie disebabkan permintaan Gu Li Sheng. Kemudian dia tegas membela budak ini kerana dia benar-benar sukakan budak yang amat berdikari ini. Jun Xie mungkin berperwatakan dingin, tetapi tidak sukar untuk bergaul mesra dengannya. Jun Xie suka berterus-terang, tidak bemuslihat atau melakukan tipu helah. Fan Jin suka pada perwatakan Jun Xie.
Pada ketika ini, Jun Xie sudah menyelamatkan Fan Zhuo dan ini membuatkan Fan Jin berasa amat berterima kasih.
"Sewa," kata Jun Wu Xie dengan ringkas.
Lama Fan Jin terdiam sebelum dia sedar apa maksud Jun Xie.
"Kamu kata kamu selamatkan Fan Zhuo sebab dia benarkan kamu tinggal di sini?"
Nyawa adik kesayangannya ini sebagai ganti duit sewa….
Fan Jin tidak pasti mahu menangis atau ketawa mendengarkan logik Jun Xie. Dia memanglah budak yang bijak, tapi kadangkala kelakuannya membuatkan Fan Jin mahu tergelak besar.
Jun Wu Xie mengangguk dengan wajah yang serius.
Fan Jin tak dapat menahan dirinya lagi lalu ketawa terbahak-bahak sehingga mengalir air mata. Dia mengangkat tangannya dan menepuk-nepuk bahu Jun Xie.
"Jun Xie, kamu ni memang istimewa. Bilik ni terlalu kotor. Biar saya bersihkan dan kamu pergilah berehat." Dia tahu yang Jun Xie bencikan kekotoran dan bau busuk dalam bilik itu jadi Fan Jin menyuruh Jun Xie keluar dan pergi berehat.
Jun Wu Xie langsung tak berasa malu-malu. Sebaik mendengar kata-kata Fan Jin, Ju Wu Xie terus menerima tawaran itu dan berlalu pergi sambil membawa kucing hitam kecilnya.
Selaku anak sulung Guru Besar Akademi Zephyr, inilah pertama kali sepanjang hidupnya Fan Jin membersihkan sebuah bilik. Lama dia merenung keadaan bilik itu yang bersepah dan kotor, tetapi dia kemudiannya menundukkan kepala dengan tegas dan mula melakukan tugas yang tak biasa baginya ini.
Setelah bilik itu kelihatan agak bersih, Fan Jin yang keletihan merebahkan badannya ke kerusi. Baru sahaja dia mahu minum segelas air, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi jeritan dari arah belakangnya.
Fan Jin berpaling dan terlihat Ah Jing berdiri di depan pintu dalam keadaan marah sambil memegang pisau pemotong daging.
Mereka berdua merenung satu sama lain. Masing-masing tergamam dengan apa yang mereka lihat.
"Ah Jing! Kamu buat apa ni?" Fan Jin masih lagi terkejut memandang Ah Jing. Dia tak tahu pula Ah Jing yang biasanya bercakap penuh lemah lembut dan sering patuh, mempunyai sisi yang agak gila seperti ini.
"Tu….. Tuan Muda Sulung….." Ah Jing tergagap-gagap sewaktu terlihat Fan Jin di dalam bilik itu. Keberanian yang dipaksanya keluar tadi lenyap sepenuhnya apabila matanya terpandang Fan Jin. Ah Jing terus rebah ke lantai. Pisau pemotong daging yang dipegangnya tadi jatuh berkelentang.
"Tuan Muda Sulung! Akhirnya Tuan Muda sampai ke sini….. Si…..si Jun Xie tu nak bunuh Tuan Muda! Tuan Muda Sulung perlu selamatkan Tuan Muda!" Ah Jing menangis-nagis sambil melutut dan merayu di kaki Fan Jin.
Fan Jin tak tahu bagaimana mahu memberikan reaksi. Sebelum dia sempat membuka mulutnya, satu susuk tubuh kecil telah muncul di muka pintu.
Jun Wu Xie bersandar malas di pintu itu sambil berpeluk tubuh. Dia merenung dingin ke arah Ah Jing yang sedang menangis-nangis di kaki Fan Jin.
"Jun Xie, kenapa kamu tak berehat?" Fan Jin bertanya sambil memalingkan kepala dan memandang Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie menggigit bibirnya dengan kurang sabar dan hanya berkata, "Bising."