Ah Jing baru saja mahu menyambung kata-katanya apabila Jun Xie terdengar suara Fan Zhuo pula mencelah.
"Ah Jing! Saya tak nak dengar lagi kamu cakap tentang hal ni. Saya percaya pada abang saya dan Jun Xie. Gosip yang datang dari mulut orang lain tak sama dengan apa yang saya lihat dengan mata saya dan dengar dengan telinga saya sendiri di sini setiap hari. Sepanjang tempoh Jun Xie tinggal di sini, ada dia kacau sesiapa? Jangan kata kamu tak tahu dari mana datangnya tonik-tonik di dapur tu," kata Fan Zhuo sambil memandang Ah Jing. Wajahnya yang sentiasa kelihatan lembut kini menunjukkan perasaan tidak senang.
Mungkin Jun Xie tak suka banyak bercakap dan sukar bergaul dengan orang lain. Tetapi itu tidak bermakna dia ialah seseorang yang menyimpan niat jahat.
Selepas Jun Xie berpindah ke hutan buluh itu, Ah Jing sering menemui tonik-tonik berharga di dapur. Semuanya muncul entah dari mana. Barang-barang yang mahal ini selalunya tersimpan di mana-mana bahagian dapur tersebut dan dibiarkan begitu sahaja, seolah-olah seperti sayur-sayur biasa. Mulanya Ah Jing menyangkakan Guru Besar yang telah mengaturkan orang untuk menghantar barang-barang ini ke hutan buluh. Tetapi sewaktu Ah Jing bertanyakan pengawal yang menghantar barang pada mereka setiap hari, pengawal itu menyatakan dia tak pernah melihat barang-barang tersebut sebelum ini.
Ah Jing kemudiannya bertanyakan pada Fan Zhuo tentang kejadian pelik ini dan Fan Zhuo terus dapat meneka dengan tepat identiti orang yang bertanggungjawab ke atas perkara ini.
Barang-barang itu pastinya telah ditinggalkan di dapur oleh Jun Xie secara rahsia. Walaupun Jun Xie selalu kelihatan dingin, hatinya lembut.
Ah Jing tak boleh mengatakan apa-apa untuk membantah kata-kata Fan Zhuo. Kalau tak kerana dia terdengar khabar angin yang tersebar di seluruh akademi itu, Ah Jing sebenarnya sukakan Tuan Muda Jun. Namun apabila khabar angin tersebut kerap didengari berulang kali, ramai yang mula menganggap khabar angin itu benar. Sewaktu Ah Jing mendapat tahu yang Tuan Muda Sulung difitnah tanpa belas kasihan dan dipersalahkan akibat hubungan rapatnya dengan Jun Xie, Ah Jing terus menyalahkan Jun Xie.
"Saya akan anggap kamu tak pernah cakap apa-apa dan saya tak mahu Jun Xie dengar tentang hal ini." Fan Zhuo memberikan teguran.
Ah Jing menundukkan kepala dan berkata dengan perlahan, "Tapi Tuan Muda Sulung…."
"Kalau abang saya pun tak kisah, saya juga tak mahu dengar. Orang lain mengatakan badan saya yang lemah ini hanyalah satu beban. Kalau kita percaya dengan khabar angin yang disebarkan oleh orang lain, bukankah ayah dan abang saya sepatutnya menghalau saya keluar sejak mula lagi dan biarkan saja saya pandai-pandai hidup sendiri?" Fan Zhuo meneruskan.
Ah Jing menggeleng-gelengkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh setelah mendengarkan kata-kata ini.
Fan Zhuo mengeluh panjang. Dia baru sahaja mahu memberikan beberapa arahan pada Ah Jing apabila tiba-tiba dia berpeluh sejuk. Wajah Fan Zhuo yang pucat itu mula berubah dan dia menggenggam kuat bajunya di bahagian dada sebelum jatuh tersembam ke meja.
"Tuan Muda! Tuan Muda!" Ah Jing mula menggelabah.
Terdengar satu bunyi yang kuat!
Pintu yang terkunci rapat itu tiba-tiba ditendang sehingga terbuka. Sebelum Ah Jing dapat menenangkan diri, dia terlihat susuk tubuh Jun Xie meluru masuk ibarat puting beliung dan terus menuju Fan Zhuo yang sudah tidak sedarkan diri. Jun Xie mengangkat Fan Zhuo ke katil.
Kaki dan tangan Fan Zhuo tersentak-sentak. Dia terbaring di atas katil dengan mulutnya tertutup rapat. Bibirnya kelihatan lebam dan wajahnya berkerut. Ah Jing hampir mahu menangis dan hanya mampu berdiri kaku.
Jun Wu Xie terus memeriksa nadi Fan Zhuo. Sewaktu jari-jarinya dapat mengesan denyutan nadi tersebut, kening Jun Wu Xie terus berkerut.
Beberapa hari sebelum ini, Jun Wu Xie terserempak dengan Fan Zhuo di halaman. Dia kemudiannya dengan senyap-senyap telah memeriksa denyutan nadi Fan Zhuo kerana dia ada beberapa pendapat berkenaan keadaan kesihatan pemuda itu. Walaupun pada ketika itu denyutan nadi Fan Zhuo lemah, namun tidak seteruk denyutan nadinya sekarang. Pada mulanya keadaan ini seolah-olah berlaku disebabkan penyakit Fan Zhuo. Namun jika diteliti, sebenarnya keadaan ini disebabkan adanya anasir luaran.
Kejadian ini bukannya disebabkan penyakit Fan Zhuo yang semakin teruk. Ini merupakan kesan racun!
Jun Wu Xie tiba-tiba teringatkan Mo Qian Yuan. Denyutan nadi Fan Zhuo kini sama seperti denyutan nadi Mo Qian Yuan dulu. Walaupun Mo Qian Yuan juga telah diracun, namun keadaan tubuh badannya lebih baik berbanding Fan Zhuo. Badan Fan Zhuo yang amat lemah itu mungkin tak dapat menahan kesengsaraan akibat diracun.